Umum mengetahui bahawa Perodua Aruz adalah model rebadge daripada Toyota Rush.
Walaubagaimanapun, spekulasi terbaru dari Otodriver menimbulkan tanda tanya bagi nasib Perodua Aruz. Toyota Rush dikatakan akan digantikan dengan SUV segmen B yang lain iaitu Toyota Yaris Cross.
Hal ini kerana Toyota Rush dibangunkan dengan platform yang sama dengan Toyota Avanza. Laporan kami sebelum ini mendapati gambar intipan Toyota Avanza akan hadir dengan platform baru FWD berbanding platform RWD yang ada sekarang.
Jika platform Toyota Avanza diperbaharui di samping dengan kehadiran SUV segmen B baharu iaitu Toyota Yaris Cross, Toyota Rush mungkin akan digugurkan daripada barisan model SUV Toyota di rantau ASEAN.
Justeru, nasib Perodua Aruz juga kini dalam limbo. Bagaimana pula dengan halatuju Perodua Aruz selepas ini?
Ia mungkin akan menerima kemaskini facelift dan dijual dalam suatu jangka masa yang lama, seakan-akan sama dengan situasi Perodua Alza ketika ini.
Atau Perodua Aruz akan dibangunkan semula menjadi model serba baru untuk kemaskini seterusnya.
Lagi pula, spekulasi tersebut turut menjelaskan bahawa pengguguran Toyota Rush mungkin akan berlaku sekitar tahun 2022. Ini memberikan sedikit ruang dan peluang untuk Perodua bagi membuat perancangan terhadap SUV kegemaran rakyat marhaen itu.
Generasi Toyota Avanza FWD yang bakal dibangunkan tersebut berkemungkinan besar akan menjadi model rebadge bagi Perodua. Sama ada ia jatuh di bawah tanda nama Alza atau Aruz masih tidak dapat dipastikan.
Dalam masa 2 bulan iaitu Oktober dan November 2020, Perodua Aruz telah mencapai jumlah jualan sebanyak 5,810 unit berbanding Perodua Alza dengan 3,639 unit.
Model mana pula yang patut digantikan oleh Perodua? Nyatakan di bahagian komen.
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati www.wapcar.my
Apa pandangan anda?