Kereta buatan Perancis sebenarnya agak popular di Malaysia. Antara jenama yang laris sejak dahulu ialah Peugeot, terutama di era 80-an dan 90-an. Sambutan sewaktu zaman kegemilangannya memberikan saingan yang sengit terhadap jenama-jenama dari Jepun. Dalam banyak-banyak model, Peugeot 405 yang pernah wujud di tanah air kita dianggap ikonik. Tetapi atas sebab apa? Pasti ada penjelasan yang logik kan? Mari kami ceritakan empat sebab Peugeot 405 laris di Malaysia.
1. Reka bentuk oleh Pininfarina
Imej sering menjadi keutamaan rakyat Malaysia dan benda yang paling menyerlah pada Peugeot 405 ialah rupa parasnya. Sedan ini direka bentuk oleh Pininfarina, iaitu pereka terkenal Itali. Lihat sahajalah profil dan garisan yang diterapkan pada badan sedan ini.
Untuk sesuatu di era 80-an ke 90-an, aura yang ada pada penampilan Peugeot 405 mempunyai karisma yang lain daripada yang lain. Uniknya, sedan ini direka oleh insan sama yang mereka bentuk Alfa Romeo 164. Secara tidak langsung, kedua-duanya kelihatan hampir sama sewaktu dijual di pasaran kita.
2. Harga yang menarik
Peugeot 405 bersaing dengan sedan segmen D seperti Honda Accord ataupun Nissan Cefiro tetapi MBF-Peugeot Sdn Bhd, iaitu pengedar Peugeot di Malaysia ketika itu menjualnya dalam lingkungan RM 76k – RM 96k sahaja.
Pada waktu itu, julat harga ini adalah sama dengan Honda Civic dan Toyota Corolla yang mana kedua-duanya sedan segmen C. Malah, Proton Perdana turut dijual dalam julat harga yang sama. Tidak cukup dengan itu, rakyat Eropah juga menganggapnya sebagai pesaing kepada BMW 3 Series yang mana ia bermula pada RM 148k kalau diikutkan harga di Malaysia ketika itu.
3. Pengendalian yang mantap
Menjadi kereta Eropah, Peugeot 405 mempunyai karakter pengendalian yang jauh lebih mengagumkan berbanding pesaing-pesaing dari Jepun. Antara sebabnya ialah penggunaan suspensi elektronik yang mana ia ditawarkan pada varian atas. Untuk sedan eksekutif yang berharga tidak sampai RM 100k, pengalaman pemanduan ala sportsedan yang diberi oleh Peugeot 405 sememangnya tiada tandingan buat masa itu.
Bercakap mengenai pemanduan, talaan casis dan suspensi yang mantap pada sedan ini turut disokong oleh trenkuasa yang dianggap canggih pada zamannya. Di Malaysia, Peugeot 405 varian SR datang dengan enjin petrol 1.9L jenis karburetor. Ia menghasilkan 110 PS. Enjin pada varian SRI pula menggunakan sistem suntikan bahan api. Disebabkan itu, ia berupaya menghembuskan sehingga 125 PS. Rakyat Malaysia ketika itu boleh memilih sama ada mahu transmisi automatik 4 kelajuan atau manual 5 kelajuan.
4. Interior yang berkualiti tinggi
Walaupun Peugeot dianggap sebagai jenama bukan premium, kualiti bahagian dalam Peugeot 405 tetap luar biasa. Menariknya, perumah kluster instrumen dan bahagian konsol tengah turut direka oleh Pininfarina. Mutu binaan kabin ini juga setanding dengan pesaing di segmen premium seperti BMW 3 Series yang ada di zaman itu.
Malah, tahap keselesaannya setaraf dengan Mercedes-Benz C-Class W201 yang ada di pasaran Malaysia ketika itu. Antara sebabnya ialah tempat duduk luas yang selesa dan suspensi yang cukup empuk.
Konklusi
Jadi, inilah empat sebab utama Peugeot 405 laris di Malaysia. Saya sendiri pernah ada pengalaman dengan Peugeot 405 tetapi sebagai penumpang sahaja. Sejujurnya, kredibiliti yang dimiliki oleh Peugeot 405 agak mengejutkan.
Karakter dan jiwa yang ada pada ikon kereta Perancis ini agak sukar untuk ditandingi, lebih-lebih lagi dengan harga yang ditawarkan sewaktu keluarannya. Malah, ia pernah dianggap sebagai BMW 5 Series versi bajet. Oleh itu, tidak hairanlah dengan jualannya kekal teguh sehingga ke hari ini.
Artikel ini ditulis oleh Faisal untuk WapCar
Apa pandangan anda?