Ekzema adalah masalah kulit yang merangkumi kegatalan, bengkak serta ruam merah. Kini, penggunaan probiotik semakin banyak digunakan dalam merawat kondisi ini. Namun, yang menjadi persoalannya di sini, sejauh mana kebenaran probiotik rawat ekzema?
Apa itu ekzema?
Ekzema juga dikenali sebagai dermatitis atopik biasanya terjadi pada bayi serta kanak kanak.
Masalah keradangan pada kulit disertai dengan bengkak, gatal dan ruam merah ini kadang-kadang kelihatan seperti kulit melecur yang berair.
Selain itu, ekzema selalunya berlaku di muka, pergelangan tangan, pertengahan siku dan juga lutut. Kulit yang terlibat akan menjadi berkerak.
Biasanya kanak-kanak mendapat masalah kulit ekzema sebelum berumur 5 tahun.
Kebanyakan kanak-kanak akan membesar tanpa masalah ini jika mereka tidak menghadapi alahan atau asma, dan kamu juga perlu tahu ia bukanlah sejenis jangkitan.
Beberapa faktor boleh menjadi punca ekzema, antaranya ialah:
- Keturunan
- Bukan alahan tetapi mempunyai pelbagai pencetus
- Boleh terjadi pada kulit yang kering, gatal dan sensitif pada kepanasan, kain berbulu dan permukaan yang kasar
- Infeksi virus
- Bahan kimia/perangsang seperti sabun, pembersih atau minyak wangi
- Lain lain jenis jangkitan
- Alahan atau alergi kepada bahan makanan atau lain-lain bahan yang boleh menyebabkan alahan
Bagaimana probiotik berfungsi?
Probiotik adalah bakteria hidup dan yis yang menambah bakteria baik di dalam usus kita, menyokong sistem pencernaan yang sihat.
Sebilangan makanan secara semula jadi kaya dengan probiotik. Ini termasuk:
- Yogurt
- Kimchi
- Coklat gelap
- Miso
- Keju mentah
- Cuka epal
Bakteria hidup dalam probiotik akan melekat pada dinding usus, meninggalkan ruang yang lebih sedikit untuk bakteria yang tidak diingini atau buruk tumbuh.
Justeru, ia akan mendorong keseimbangan bakteria yang sihat dalam sistem pencernaan dan meningkatkan fungsinya.
Di samping itu, pengambilan probiotik turut boleh:
- Meningkatkan fungsi pencernaan
- Menghasilkan sistem ketahanan badan yang lebih kuat
- Mengurangkan risiko mengalami jangkitan saluran kencing
Probiotik rawat ekzema
Ekzema juga mempunyai beberapa jenis, tetapi jenis yang paling biasa terjadi adalah dermatitis atopik. Dermatitis atopik boleh diperburuk oleh faktor persekitaran dan perengsa, tetapi ini bukan penyebabnya.
Penyebabnya adalah tindak balas imun yang salah, menyebabkan kulit meradang, kering, dan merekah. Disebabkan ia berpunca daripada tindak balas sistem imun badan, ia akan membuatkan kamu mungkin tertanya-tanya, bagaimana cara untuk merawatnya.
Salah satu kaedah yang telah dikaji adalah, probiotik dikatakan dapat merawat dan menyokong sistem imun yang sihat.
Ini kerana, keseimbangan bakteria dalam sistem pencernaan adalah salah satu faktor yang mempengaruhi sistem imun seseorang.
Justeru, probiotik dipercayai dapat meningkatkan jumlah bakteria usus yang sihat, sekali gus dapat mengubati masalah kulit ekzema.
Betul ke berkesan?
Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan dengan memberi kanak-kanak probiotik, ia dapat membantu mencegah mereka daripada terkena ekzema.
Kajian pada tahun 2010 mendapati, kanak-kanak dengan penyakit alahan seperti dermatitis atopik mempunyai gut glora (mikroorganisma yang hidup dalam usus) yang sangat berbeza dengan kanak-kanak yang sihat.
Penemuan ini menyokong idea bahawa pengambilan suplemen probiotik untuk memperbaiki bakteria usus mungkin bermanfaat.
Kajian yang sama juga mendapati sedikit peningkatan klinikal terhadap masalah dermatitis atopik dengan penggunaan probiotik.
Walau bagaimanapun, penemuan itu tidak cukup signifikan untuk mengatakan dengan pasti bahawa probiotik rawat ekzema.
Satu kajian pada 2016 menyatakan, terdapat beberapa penyelidikan yang menunjukkan probiotik mungkin mempunyai kesan positif terhadap rawatan dermatitis atopik.
Kesan ini bergantung kepada:
- Strain probiotik tertentu yang digunakan
- Tempoh pendedahan
- Dos
Kajian ini turut menyatakan masih terdapat kekurangan bukti yang boleh dipercayai untuk menyokong penggunaan probiotik dalam rawatan ekzema.
Oleh sebab itu, penyelidikan lebih lanjut diperlukan sebelum probiotik menjadi rawatan yang disarankan bagi masalah kulit ini.
Rawatan-rawatan lain
Terdapat beberapa jenis rawatan lain yang boleh dilakukan untuk merawat ekzema. Ini termasuk:
- Emolien (pelembap) yang boleh digunakan setiap hari untuk mengelakkan masalah kekeringan kulit
- Krim kortikosteroid topikal yang mengurangkan bengkak dan kemerahan
- Antihistamin untuk mengurangkan kegatalan
- Penggunaan pembalut untuk membolehkan kawasan yang terjejas sembuh
Selain rawatan perubatan di atas, perubahan gaya hidup juga harus dilakukan oleh orang yang menderita masalah ini bagi mengelakkan kondisi bertambah buruk, antaranya:
- Memakai kain semula jadi seperti sutera dan kapas untuk mengurangkan kegatalan pada kulit
- Memastikan suhu persekitaran sejuk dan nyaman jika cuaca panas menjadi faktor perengsa
- Mengelakkan sabun, detergen atau losyen badan yang tidak sesuai bagi pesakit ekzema
- Elak makan makanan yang mencetuskan alahan
Kesimpulannya
Hubungan antara bakteria yang sihat dan tindak balas imun terhadap ekzema menyokong idea bahawa probiotik mungkin boleh menjadi pilihan rawatan yang baik.
Terdapat beberapa petunjuk klinikal yang positif menyokong kes ini untuk penyelidikan lebih lanjut.
Walau bagaimanapun, melihat penyelidikan kini, sukar untuk menyimpulkan probiotik mampu menjadi rawatan yang berkesan dalam merawat masalah kulit ini.
Akhir kata, bagi pembaca yang mempunyai ekzema dinasihatkan untuk terus menggunakan rawatan yang telah disyorkan oleh doktor, agar sebarang komplikasi yang tidak diingini dapat dielakkan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati laman web Hello Doktor.
Apa pandangan anda?