Sudah lebih kurang dua minggu kami dapat Perodua Ativa kami sendiri. Apa khabar Cik Tiva setakat ini? Bunyi ‘misteri’ yang pernah kami laporkan sebelum ini semakin lama semakin buat kami tak senang duduk. Setiap kali kami pandu di jalan kurang rata di sebelah kanan kereta, bunyi getaran itu semakin lama semakin ketara. Dari mana kah punca bunyi misteri Ativa?
Kami perlu bawa Ativa ke Sepang pada hari Selasa lalu untuk melihat beberapa kereta elektrik buatan Malaysia di sana. Oleh itu, kami tangguh temujanji kami dengan pusat servis sehingga hari Rabu.
Setelah dua minggu memandu Cik Tiva dengan bunyi misteri itu, kami akhirnya dapat menghantar Ativa untuk pemeriksaan di pusat servis Perodua di Sungai Penchala pada jam 10.30 pagi hari Rabu lalu.
Kami dah maklumkan kepada penasihat servis tentang masalah yang kami hadapi sebelum sampai di pusat servis berkenaan supaya mereka boleh rancang dengan sepatutnya.
Setelah menunggu seketika di ruang rehat pelanggan, juruteknik di sana memanggil kami untuk pergi memandu uji Cik Tiva bersama-sama. Nak cari jalan berlubang dan tidak rata di Sungai Penchala satu misi mudah, dan seperti yang dijangkakan, juruteknik itu juga boleh mendengar bunyi getaran itu dengan jelas.
Bunyi itu tidak kedengaran apabila kereta dipandu melepasi bonggol jalan. Tetapi, jika ia terkena bahagian jalan yang bertampal, jalur penegah kelajuan (speed strips), ataupun lubang jalan kecil; bunyi getaran itu pasti kedengaran.
Tambahan pula, bunyi itu juga kedengaran apabila tayar sebelah kiri terkena jalan tidak rata.
Setelah juruteknik berkenaan jelas akan masalah yang dihadapi Cik Tiva, kami dijemput untuk menunggu di ruang rehat sekali lagi. Nasib baik telefon bimbit kami bateri penuh, tak lah bosan tengok Wow Shop saja.
Setelah menunggu selama lebih kurang dua jam, Cik Tiva masih lagi di ruang selenggara. Kami rasa mekanik yang menguruskannya pergi memandu uji kereta kami beberapa kali lagi bagi memastikan punca sebenar bunyi misteri tersebut.
Memandangkan Ativa masih lagi teramatlah baru – ditambah pula dengan juruteknik yang belum lagi dilatih secara rasmi untuk menyelenggara Ativa disebabkan kekangan pandemik – kami tak kisah menunggu lama sedikit. Kami pun pastinya keliru sedikit jika diberi tugas untuk menyelenggara kereta yang belum pernah dilihat sebelum ini.
Apabila kami intai dari jendela ruang rehat, kami lihat tayar belakang Ativa sudah dibuka. Boleh jadi puncanya datang dari roda?
Tak lama selepas itu, kami pun dipanggil. Akhirnya mereka dah jumpa punca sebenar bunyi getaran Cik Tiva yang menjengkelkan kami sepanjang dua minggu ini.
Punca bunyi misteri Ativa?
Punca bunyi misteri Ativa disebabkan oleh brek dram belakang sebelah kanan. Rupa-rupanya, kasut brek (brake shoe) Cik Tiva longgar. Cuma brek belakang sebelah kanan sahaja yang menghadapi masalah ini manakala brek belakang sebelah kiri pula semuanya OK saja.
Oleh itu, ia hanya perlu diketatkan semula. Secara semulajadinya, jarak tarik tuas brek tangan juga menjadi lebih pendek.
Setelah semuanya selesai diketatkan semula, kami turunkan Cik Tiva untuk dibawa pandu uji sekali lagi bagi memastikan masalahnya sudah dibaiki sepenuhnya.
Jarak tarik tuas brek semakin pendek
Setelah dipandu melepasi lubang jalan pertama, bunyi getarannya hilang! Setelah dipandu melalui lebih kurang 10 bahagian jalan tidak rata, kami dah yakin yang masalah bunyi getaran misteri itu telahpun berjaya diatasi.
Setelah dipandu sekitar pusat servis tersebut, kami pasti bunyi getaran itu dah hilang. Memang lega, dan lebih lega lagi bila kami dapat tahu yang servis kali ini percuma. Terima kasih, Perodua!
Akhirnya, selesai juga. Itulah punca bunyi getaran yang kami alami dengan Cik Tiva – bahagian brek dramnya ada yang longgar tapi prestasi brek masih terasa seperti biasa. Bunyi itu bukannya datang dari tayar ganti, suspensi, mahupun bahagian badan plastik longgar.
Jika kamu baru sahaja membeli Ativa dan kamu dengar bunyi aneh dari mana-mana bahagian kereta, usah ragu-ragu dan hubungi pusat servis pilihan kamu dalam masa terdekat. Ia boleh jadi masalah lebih serius daripada yang ini.
Kami dah boleh pandu Cik Tiva dengan lebih selesa setelah masalah ini diselesaikan. Kami ingin ucapkan terima kasih sekali lagi kepada Perodua bagi khidmat servis yang pantas dan cekap ini.
Nak tahu kisah-kisah lain berkaitan pengalaman pemilikan jangkamasa panjang kami bersama Cik Tiva? Klik pautan ini atau ikut kami rapat-rapat di Facebook WapCar – BM!
Untuk lebih banyak artikel sebegini lawati WapCar
Apa pandangan anda?