Posted on August 4, 2021
Kenapa sakit dada semakin kerap kamu alami? Mungkinkah punca sakit dada ini gejala berkaitan kesihatan jantung?
Punca sakit dada?
Umumnya, kesakitan dada yang dialami boleh menjadi satu keadaan serius.
Ia mungkin disebabkan oleh aliran darah sementara ke jantung yang lemah (angina), atau kerana penyumbatan secara tiba-tiba pada arteri koronari mengakibatkan serangan jantung.09
Punca sakit dada juga boleh disebabkan oleh senak perut dan ketegangan otot.
Selain jantung, banyak bahagian dada yang boleh mengakibatkan kesakitan dada termasuklah paru-paru, esofagus (gullet), otot, tulang dan kulit.
Oleh sebab tubuh memiliki sistem saraf yang kompleks, penyebab kesakitan dada mungkin berpunca daripada bahagian lain tubuh seperti perut (abdomen).
Seandainya kamu berasakan terkena serangan jantung atau tidak pasti punca kesakitan pada dada, lakukan pemeriksaan segera!
Tanda sakit dada: Simptom serangan jantung
Punca sakit dada boleh jadi tanda amaran serangan jantung.
Serangan jantung berlaku apabila bekalan darah ke jantung tersumbat dan merosakkan otot jantung.
Jika dibiarkan tanpa rawatan, semakin banyak kerosakan boleh berlaku. Dalam beberapa kes, serangan jantung boleh menyebabkan maut!
Gejala serangan jantung mungkin termasuk:
- Kesakitan teruk pada bahagian tengah atau belakang tulang dada. Ia mungkin dirasakan seperti ditekan dengan kuat
- Rasa sakit merebak ke bahu, lengan, leher, tekak, rahang atau belakang badan
- Berpeluh
- Rasa cemas, pening atau tidak sihat
- Rasa sakit pada perut
- Sesak nafas
Gejala yang dialami boleh berlanjutan untuk tempoh antara 10 hingga 15 minit atau lebih.
Simptom bagi setiap individu adalah berbeza.
Ada individu yang berdepan beberapa gejala, manakala terdapat juga mereka yang langsung tidak mengalami sebarang simptom.
Simptom angina
Angina adalah sakit dada jangka pendek terjadi apabila otot jantung tidak menerima darah atau oksigen yang mencukupi.
Kerap terjadi apabila otot jantung perlu bekerja lebih kuat daripada biasa, seperti ketika bersenam, mengalami tekanan, cuaca sejuk atau setelah mengambil hidangan makan yang berat.
Tanda sakit dada angina akan berkurangan dengan rehat atau pengambilan ubat.
Punca kenapa sakit dada angina sering berlaku disebabkan oleh penyakit arteri koronari.
Ia keadaan di mana arteri jantung menjadi sempit kerana penumpukan plak (simpanan lemak) pada dinding arteri.
Penyempitan ini bermaksud bekalan darah ke jantung berkurangan, menyebabkan kesakitan pada dada.
Angina biasanya tidak mengakibatkan kerosakan pada jantung.
Punca sakit dada: Memahami faktor risikonya
Serangan jantung dan angina sering didasari oleh penyakit arteri koronari – terjadi disebabkan faktor risiko tertentu.
Terdapat faktor risiko yang boleh diubah dan ada yang tidak.
Antara faktor penyebab yang boleh diubah adalah:
- Masalah diabetes
- Tabiat merokok
- Diet yang tidak sihat
- Tekanan darah tinggi
- Kolesterol tinggi
- Berat badan berlebihan atau obesiti
- Tidak cukup aktif
- Pengambilan alkohol berlebihan
- Keadaan kesihatan mental tertentu
Faktor yang tidak boleh diubah:
- Penuaan – risiko meningkat seiring pertambahan usia
- Wanita dalam fasa menopaus
- Lelaki
- Sejarah keluarga dengan penyakit jantung
- Etnik
Seperkara penting perlu diingatkan adalah mereka tanpa faktor risiko juga boleh mengalami tanda sakit dada disebabkan serangan jantung atau angin.
Sakit dada: Punca-punca lain
Kesakitan dada yang dialami turut boleh disebabkan oleh keadaan lain yang tidak berkaitan dengan jantung.
Penyebab lain kenapa sakit dada terjadi adalah:
- Ketakcernaan (indigestion) atau asid perut naik semula ke esofagus (asid refluks). Masalah ini biasanya diburukkan lagi dengan tabiat merokok, minum alkohol atau kopi, pengambilan makanan berlemak atau ubatan tertentu
- Jangkitan dada
- Trauma dada (patah tulang rusuk)
- Pembekuan darah pada paru-paru (emboli paru)
- Ketegangan otot dada – berpunca oleh senaman kuat, aktif bekerja secara fizikal, permainan sukan bersentuhan atau mengangkat berat di gimnasium
- Keradangan sendi tulang rusuk berhampiran tulang dada (costochondritis)
- Kayap (herpes zoster) – boleh menyebabkan kesakitan pada dada sebelum ruam terbentuk
Penyembuhan daripada sakit dada
Kini kamu sudah mengetahui punca kenapa sakit dada terjadi.
Jika kesakitan yang dialami tidak serius, berikut rawatan kendiri yang boleh kamu lakukan untuk proses penyembuhan diri sepenuhnya:
- Mengikuti nasihat doktor mengenai rawatan
- Mendapatkan rehat secukupnya
- Tingkatkan intensiti aktiviti secara berperingkat
- Lakukan pemeriksaan lanjut jika disyorkan doktor
Kurangkan risiko serangan jantung
Cara untuk mengurangkan risiko serangan jantung termasuk:
- Cuba kurangkan atau berhenti merokok
- Jadilah aktif secara fizikal, sekurang-kurangnya bersenam 3x seminggu
- Makan pelbagai makanan sihat – bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran, protein dan lemak sihat
- Pantau berat badan agar kekal seimbang (semak BMI di sini)
- Lakukan pemeriksaan kesihatan jantung untuk menilai risiko terkena serangan jantung sekurang-kurangnya setiap 2 tahun sekali. Jika kamu berisiko tinggi, pemeriksaan lebih kerap adalah disyorkan
- Pastikan kamu mengambil ubat seperti yang diarahkan. Jangan berhenti kecuali dengan arahan doktor
Artikel ini ditulis oleh Asyikin Md Esa untuk Hello Doktor
Apa pandangan anda?