Posted on January 31, 2022
Selain daripada masalah PCOS dan endometriosis, kaum Hawa juga berisiko mengalami masalah rahim terbalik. Jom ketahui apakah gejala dan ciri-ciri posisi rahim terbalik yang boleh dikenal pasti dalam perkongsian artikel ini.
Semoga bermanfaat!
Masalah rahim terbalik
Terdapat banyak isu boleh berlaku pada organ pembiakan wanita yang akhirnya berisiko menjejaskan kesihatan diri secara keseluruhan.
Kamu mungkin sudah mengetahui gejala sindrom ovari polisistik (PCOS) yang menjengkelkan atau kesakitan daripada simptom endometriosis.
Tetapi bagaimana pula dengan tanda rahim terbalik atau turut dikenali sebagai tilted atau retroverted uterus?
Secara amnya, organ rahim akan condong ke arah pundi kencing yang berada di hadapan. Keadaan ini dikenali sebagai rahim anteverted.
Manakala rahim terbalik akan condong ke arah rektum yang terletak di belakang.
Walaupun kedengaran menakutkan, tetapi ia bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan dan kamu mungkin tidak menyedari langsung mengenainya.
Ciri-ciri posisi rahim terbalik
Berikut dikongsikan antara gejala yang menunjukkan kamu berkemungkinan mempunyai rahim terbalik.
Jika mengalami simptom yang dikongsikan, lakukan pemeriksaan bersama pakar sakit puan untuk lebih kepastian.
1. Posisi seks tertentu menyebabkan ketidakselesaan
Antara ciri-ciri posisi rahim terbalik adalah kamu akan berasa sakit dalam sesetengah gaya seks seperti reverse cowgirl – zakar menghenjut dari belakang dan bukannya hadapan.
Kamu juga mungkin mendapati penetrasi lebih dalam amat menyakitkan.
Jika ini adalah situasi yang dialami, berundinglah dengan doktor untuk menjadikan hubungan seksual lebih menyelesakan.
Ciri-ciri posisi rahim terbalik #2. Kekejangan bahagian bawah belakang badan
Kebanyakan wanita akan merasakan kekejangan pada bahagian bawah perut. Namun jika kamu mempunyai rahim terbalik, kesakitan dan kekejangan akan lebih cenderung dirasai pada bahagian bawah belakang badan.
Wanita dengan keadaan rahim normal juga boleh mengalami keadaan ini, tetapi keadaan ini sering terjadi pada individu rahim terbalik.
Kamu juga akan lebih kerap mengalami kesakitan bahagian belakang semasa mengandung.
3. Kitaran haid tidak teratur
Kitaran haid tidak teratur juga mungkin berlaku jika mengalami masalah uterus terbalik.
Memandangkan keadaan tersebut sudah dialami sepanjang kehidupan, jadi mungkin ia tidak menjadi isu.
Namun, kamu boleh berkongsikan perkara ini dengan doktor untuk mendapatkan kepastian tentang keadaan diri.
4. Kesukaran memasukkan tampon, ciri-ciri posisi rahim terbalik
Penggunaan tampon mungkin agak jarang bagi kebanyakan wanita di Malaysia, tetapi apabila sudah biasa menggunakannya, ia mudah untuk dimasukkan ke dalam faraj.
Jadi jika kamu berdepan kesukaran untuk memasukkannya atau agak bergelut, ia mungkin petunjuk uterus terbalik yang tidak boleh diketepikan.
Tampon yang dimasukkan juga mungkin tidak berada dalam kedudukan yang betul – keadaan ini sama juga dengan penggunaan cawan haid (menstrual cups).
5. Kebocoran semasa haid
Disebabkan penggunaan tampon dan cawan haid yang tidak berada dalam kedudukan yang betul di dalam faraj, ia mungkin tidak dapat berfungsi dengan baik.
Darah haid yang sepatutnya dapat diserap dengan betul, mungkin akan mengalami kebocoran pada sekitar tampon dan mengalir keluar mengenai seluar dalam.
Bahkan, kamu mungkin terus beralih untuk menggunakan tuala wanita kerana beranggapan tampon tidak berfungsi.
Jika kamu mengalami kebocoran yang menjengkelkan semasa haid, masalah uterus terbalik mungkin penyebabnya.
6. Kerap mengalami masalah jangkitan pundi kencing
Sekiranya kamu mudah mengalami jangkitan saluran kencing (UTI), ia antara gejala dan ciri-ciri posisi uterus terbalik.
Keadaan ini berpunca daripada kedudukan rahim yang tidak normal.
Menjalani pembedahan antara kaedah penyelesaian yang disyorkan jika gejala tersebut menjejaskan kehidupan individu.
7. Diafragma tidak dapat dimasukkan dengan betul
Bentuk kawalan kehamilan ini kaedah yang direka untuk dimasukkan ke dalam faraj bagi menutup serviks. Tetapi ia mungkin jatuh jika tidak diletakkan dengan betul.
Jika wujud isu berkaitan haid/seks mendatangkan kejengkelan, berbincanglah dengan pakar sakit puan untuk mendapatkan penyelesaian terbaik dan mengetahui situasi sebenar sama ada kamu mengalami masalah rahim terbalik atau tidak.
8. Gagal mengawal kencing
Masalah rahim ini juga boleh menolak organ sehingga mengembangkan masalah lain seperti inkontinen urin.
Walaupun terdapat banyak sebab lain yang boleh menyebabkan kesukaran untuk menahan kencing atau sering terbabas antara perjalanan ke bilik air, retroverted uterus mungkin antara puncanya.
Isu ini boleh menjadi sesuatu yang memalukan dan perlu dibincangkan dengan doktor.
9. Kesukaran untuk hamil
Secara semula jadi rahim terbalik tidak menjejaskan peluang kehamilan, tetapi jika ia berlaku disebabkan keadaan kesihatan lain, peluang kamu boleh terjejas – seperti endometriosis atau parut tisu pelvis.
Berbincanglah dengan doktor untuk lebih kepastian.
Tiada masalah perlu dirisaukan
Masalah rahim terbalik mungkin menyebabkan seks agak menyakitkan dan beberapa isu dengan kencing atau haid, namun ada kemungkinan kamu mungkin tidak menyedarinya.
Jika itu situasi kamu, teruskan kehidupan seperti biasa. Andai sebaliknya, lakukan pemeriksaan doktor untuk membantu meringankan gejala.
Artikel ini ditulis oleh Asyikin Md Isa untuk Hello Doktor
Apa pandangan anda?