Pada awal Mei 2021, Mitsubishi Motors Corporation (MMC) mengumumkan bahawa ia akan menghidupkan semula divisyen prestasi RalliArt yang tidak aktif, sebagai sebahagian daripada langkah syarikat itu untuk mengembangkan identiti ‘Mitsubishi Motor-ness’ untuk produknya. Tetapi apa gunanya RalliArt tanpa Lancer Evolution?
Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi, Takao Kato, berkata, “Bagi pelanggan yang ingin mengalami Mitsubishi-ness, kami akan melancarkan aksesori buatan khusus untuk barisan model kami serta memasuki kembali acara sukan permotoran di seluruh dunia.”
Pada Ordinary General Meeting of Shareholder ke-52 syarikat tersebut pada bulan lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Takao Kato diminta untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai rancangan untuk RalliArt.
RalliArt Tanpa Lancer Evolution, Apa Gunanya?
“Sejak Lancer Evolution dihentikan pada 2015, tidak ada kereta sedan, coupe, atau kereta sport dalam barisan terkini Mitsubishi Motors. Jadi apa yang menerajui kebangkitan semula jenama RalliArt?” tanya pemegang saham.
Kato berkata, “Adakah kamu merujuk kepada kereta yang seronok untuk dipandu? Dalam situasi semasa, mungkin ada masalah dengan cara kita mengembangkan produk kita setakat ini. Sekarang kita perlu mentakrifkan semula watak Mitsubishi, dan setelah mendengar pendapat orang yang mengetahui tarikan kereta ‘old-school’ daripada Mitsubishi Motors, kami memutuskan untuk menghidupkan semula RalliArt.”
“Saya faham bahawa kereta sport adalah permata utama pembuat kereta. Namun, kerana kos pembangunan untuk BEV (Battery Electric Vehicles, yang sangat penting untuk menjamin masa depan syarikat) tinggi dan kewangan syarikat masih dalam defisit, keutamaan pertama adalah memperbaiki keadaan syarikat,” kata Kato.
Naib Presiden Eksekutif Hiroshi Nagaoka kemudian menambah, “Pada masa ini, tidak ada rancangan produk jenis sedan atau sportscar. Namun, teknologi dari Lancer Evolution, seperti S-AWC, telah berkembang untuk dimasukkan ke dalam the Eclipse Cross dan Outlander. Teknologi yang telah kita kembangkan selama ini masih hidup.”
Komen editor: RalliArt Tanpa Lancer Evolution
Mitsubishi Motors mengakhiri tahun kewangan Mac 2021 dengan penjualan sebanyak 801,000 unit, turun 29 peratus dari tahun 2020, sebahagiannya disebabkan oleh Covid-19. Kerugian meningkat menjadi USD 2.9 bilion (RM 11.7 bilion), kerugian paling besar syarikat tersebut dalam masa 18 tahun.
Untuk mematuhi peraturan pelepasan ekzos yang semakin ketat di AS, Eropah, China dan Jepun, Mitsubishi Motors sedang berusaha untuk mengurangkan pelepasan CO2 pada barisan model mereka sebanyak 40 peratus (dibandingkan dengan 2010). Menjelang 2030, separuh daripada penjualan Mitsubishi akan disumbangkan oleh kenderaan elektrik.
Dari sini kamu boleh lihat bahawa Lancer Evolution berada di kedudukan paling bawah keutamaan syarikat. Pada mata Mitsubishi, Outlander – model penjualan terbesar syarikat di seluruh dunia – jauh lebih penting agar Mitsubishi kekal wujud di dalam perniagaan automotif.
Artikel ini ditulis oleh Zamil Syaheer untuk WapCar
Apa pandangan anda?