Ulser perut adalah keadaan yang menyebabkan rasa sakit perut yang teruk kepada individu. Jadi adakah terdapat cara nak rawat ulser perut di rumah untuk dicuba?
Umumnya, kesakitan yang dialami berpunca daripada luka terbuka pada lapisan perut. Antara punca biasa ulser perut adalah disebabkan oleh bakteria Helicobacter pylori atau H.pylori.
Masalah sakit perut ini juga boleh terjadi disebabkan penggunaan ubat penahan sakit secara berlebihan seperti aspirin dan ubat antiradang nonsteroid NSAID, contohnya ibuprofen.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.
Cara rawat ulser perut di rumah
Untuk mengetahui cara rawat ulser atau masalah sakit perut yang dialami, ia boleh dilakukan dengan pengambilan ubat antibiotik serta ubat untuk mengurangkan atau menyekat asid perut.
Tetapi adakah terdapat cara nak hilangkan ulser perut yang boleh dilakukan dengan rawatan di rumah sahaja?
Terdapat beberapa bahan di rumah yang menunjukkan kesesuaian untuk digunakan bagi menghilangkan kesakitan disebabkan ulser perut.
Namun, sebelum mencuba sebarang cara di bawah, kamu disarankan untuk berbincang dengan doktor terlebih dahulu.
1. Flavonoid
Kandungan flavonoid, atau turut dikenali sebagai bioflavonoid, dipercayai sebagai rawatan tambahan yang berkesan untuk mengatasi masalah ulser perut.
Flavonoid adalah sebatian semula jadi di dalam kebanyakan buah-buahan dan sayuran.
Antara makanan dan minuman yang kaya dengan sebatian ini termasuklah:
- Kekacang
- Kacang soya
- Anggur merah
- Kangkung
- Brokoli
- Epal
- Buah beri
- Teh, khususnya teh hijau
Makanan ini juga dapat membantu tubuh melawan bakteria H.pylori.
Flavonoid disebut sebagai gastroprotective yang bererti melindungi lapisan perut dan membolehkan penyembuhan ulser.
Cara rawat ulser perut #2. Madu
Madu bukanlah sekadar menawarkan rasanya yang manis.
BACA JUGA:
Bakal Menantu Jadi Madu Datin Milah, Kerana Datuk Yang Terpikat
Bergantung tumbuhan mana ia berasal, madu boleh mengandungi sehingga 200 unsur, termasuklah polifenol dan antioksidan lain.
Madu adalah antibakteria yang kuat dan terbukti dapat menghalang pertumbuhan H. pylori.
Selagi kamu mempunyai kadar gula dalam darah yang normal, tiada masalah untuk menikmati pemanis semula jadi ini.
Malah ia menawarkan manfaat tambahan untuk merawat masalah sakit perut disebabkan ulser!
3. Probiotik
Probiotik adalah bakteria dan yis hidup yang membekalkan mikroorganisma sihat dan penting ke saluran pencernaan.
Ia boleh didapati dalam makanan biasa, terutamanya yang ditapai.
Ini termasuklah:
- Dadih
- Yogurt
- Sup miso
- Kimchi
- Kefir
Kamu juga boleh mengambil probiotik dalam bentuk suplemen.
4. Bawang putih
Berdasarkan ujian makmal, pada haiwan dan juga manusia, ekstrak bawang putih dapat menghalang pertumbuhan bakteria H.pylori.
Maka ia adalah antara cara nak hilangkan ulser perut yang boleh dicuba.
Tetapi sekiranya kamu tidak menyukai rasanya yang kekal dalam mulut, pengambilan bawang putih dalam suplemen jawapan terbaik.
5. Buah, sayuran & bijirin penuh
Pengambilan makanan tinggi kandungan vitamin seperti buah-buahan, sayuran dan bijirin penuh dalam membantu tubuh merawat masalah sakit perut dan menyembuhkan luka ulser.
Makanan yang mengandungi polifenol antioksidan dapat melindungi tubuh daripada ulser perut dan membantu proses penyembuhan.
Antara makanan yang boleh menjadi pilihan adalah:
- Biji rami
- Coklat gelap
- Buah beri seperti beri biru, strawberi atau beri hitam
- Buah zaitun hitam
6. Kranberi sebagai cara untuk menghilangkan ulser perut
Dalam beberapa kajian, kranberi terbukti dapat membantu mengurangkan jangkitan saluran kencing dengan mencegah perkembangan bakteria pada dinding pundi kencing.
Bahkan, buah kranberi dan ekstraknya juga dipercayai dapat membantu melawan bakteria H.pylori.
Kamu boleh mengambil buah kranberi melalui jus, suplemen atau memakannya terus.
Umumnya, tiada had pengambilan yang ditentukan dalam merawat masalah sakit perut disebabkan ulser.
Cuma pengambilan dalam jumlah berlebihan mungkin akan menyebabkan ketidakselesaan perut dan usus kerana kandungan gulanya yang tinggi.
7. Aloe vera
Aloe vera atau lidah buaya adalah tumbuhan yang banyak digunakan dalam industri kosmetik, farmasi dan makanan.
Ia terkenal dengan sifat antibakteria dan penyembuhan kulit.
Jangan tidak tahu, tumbuhan ini juga salah satu cara untuk menghilangkan ulser. Kamu boleh mengambilnya secara gel atau jus.
Cegah masalah sakit perut
Mengelak atau mengehadkan pengambilan sesetengah jenis makanan turut dapat membantu mengatasi masalah sakit perut disebabkan ulser.
Umumnya, sesetengah penghidap ulser perut turut akan mengalami masalah refluks asid.
Sesetengah makanan boleh menjejaskan bahagian bawah esofagus yang dikenali sebagai sfingter esofagus bawah (LES) – sekali gus membolehkan kandungan dalam perut dan asid naik semula ke esofagus.
Ini boleh menyebabkan kecederaan pada esofagus, termasuklah pedih ulu hati, ketidakhadaman dan ketidakselesaan lain.
Jadi sebagai salah satu cara untuk menghilangkan ulser dan kesakitan disebabkan refluks asid ini, sebaiknya hadkan pengambilan:
- Kopi dan minuman berkafein
- Minuman berkarbonat
- Coklat
- Cili dan lada benggala
- Makanan yang diproses
- Makanan dengan kandungan garam tinggi
- Makanan bergoreng
- Makanan berasid seperti buah sitrus dan tomato
Umumnya, tidak semua makanan mempunyai tindak balas yang sama bagi setiap individu.
Memantau dan membuat catatan mengenai makanan yang memburukkan gejala berkaitan masalah sakit perut ini pastinya dapat membantu.
Jika terdapat sebarang keraguan atau ketidakpastian mengenai kesesuaian makanan, berbincanglah dengan doktor.
Artikel ini ditulis oleh Asyikin Md Isa untuk Hello Doktor
Apa pandangan anda?