Muncul trend terbaru di mana snek kulit ikan menjadi kudapan dan sering menjadi carian masyarakat kita. Apakah risiko snek kulit ikan ini?
Daging ikan adalah salah satu daripada menu makanan yang paling sihat dan juga popular di seluruh pelosok dunia, termasuklah di Malaysia.
Ini kerana daging makanan laut ini adalah sangat tinggi kandungan nutrisi seperti protein dan lain-lain yang perlu ada dalam diet seharian.
Persoalannya, adakah snek ini sihat?
Apa itu snek kulit ikan?
Ya, daging ikan adalah biasa kita dapat lihat dan dengar dijadikan sebagai menu masakan, namun bagaimana pula dengan kulitnya?
Walaupun sering diabaikan, ia kini telah menjadi terkenal ekoran ramai pengusaha yang menjadikannya sebagai snek untuk kudapan.
Buat kamu yang tertanya-tanya, ia memang boleh dimakan namun perlu berwaspada kerana ada jenis ikan yang sangat tinggi kandungan merkuri.
Berikut adalah contoh jenis ikan dengan kandungan tinggi merkuri yang bahaya untuk dimakan:
- Yu
- Todak
- Marlin
- Kembung
- Jubin
Jadi, snek kulit ikan itu memang boleh dimakan (asalkan bukan daripada jenis ikan di atas). Persoalannya adakah ia mempunyai manfaat?
Apa manfaatnya?
Secara umumnya, kalian perlu tahu bahawa kulit ikan itu mengandungi beberapa nutrisi termasuklah:
- Protein
- Omega-3
- Vitamin D
- Vitamin E
- Sodium
- Selenium
- Taurin
Menurut Dr. Irine Putri, daging dan kulit ikan itu sememangnya boleh dimakan bahkan tinggi dengan pelbagai kandungan nutrisi.
Berikut beberapa manfaat kesihatan yang dipercayai boleh didapati melalui pengambilannya:
- Membina kekuatan otot.
- Membantu kesihatan jantung.
- Menjamin kecantikan kulit.
- Memenuhi keperluan nutrisi tubuh badan.
Pun begitu, ada beberapa jenis ikan yang tinggi kandungan merkuri dan harus dielakkan daripada dimakan ya?
Dalam pada itu, kulit ikan yang dijadikan snek juga mungkin perlu dielakkan ekoran beberapa faktor tertentu!
Jadi, awas jika ingin makan ya…
Baiklah, sekarang kita semua sudah tahu bahawa tiada salahnya untuk kita memakan daging dan kulit makanan laut ini kerana ada banyak manfaatnya.
Namun, sila awas ya kerana pengambilan snek kulit ikan ini mempunyai beberapa mudarat yang disebabkan oleh cara penyediaannya.
Buat kamu yang belum tahu, snek ini dimasak dengan cara digoreng dan disalut dengan serbuk telur yang kemudiannya digaul dengan pelbagai serbuk perasa dan perisa.
Ia mungkin akan membuat snek tersebut lebih sedap namun tidak sihat jika diambil ekoran kehadiran pelbagai bahan perasa dan perisa yang tidak bagus.
Akibatnya, snek ini akan tinggi kandungan garam yang ternyata boleh menyebabkan darah menjadi pekat lantas meningkatkan tekanan darah kamu.
Dalam pada itu, ketahuilah juga bahawa segala makanan yang bergaram wajar dielakkan oleh penderita kondisi tekanan darah tinggi, buah pinggang, strok dan jantung.
Risiko snek kulit ikan
Daripada penerangan di atas, dapatlah kita konklusikan di sini iaitu snek kulit ikan bukanlah satu kudapan yang sihat ekoran cara penyediaannya.
Meskipun pada umumnya kulit ikan itu bagus, kehadiran pelbagai perasa dan perisa akan menyebabkan ia menjadi tinggi kandungan garam.
Ia sekali gus menjadikannya tidak bagus terutamanya buat penderita penyakit kronik.
Secara ringkasnya, Public Health Malaysia telah menyimpulkan bahawa snek ini:
- Tinggi kandungan garam
- Tinggi kandungan lemak
- Tinggi kalori
- Mengandungi MSG
- Menggunakan pengawet
- Terlalu banyak bahan perasa & perisa
Namun, tidaklah kami melarang terus kamu daripada mengambilnya ya? Ia boleh dimakan namun dalam kuantiti yang sedikit sahaja!
Alternatif yang lebih sihat?
Sebaiknya, kalian mungkin perlu beralih kepada alternatif kudapan atau snek yang lebih sihat bagi kesihatan tubuh badan.
Selain snek kulit ikan ini, anda mungkin boleh ambil snek yang lebih sihat seperti:
- Rumpai laut
- Buah berangan
- Biji labu
- Bertih jagung
- Kacang badam
- Bijirin penuh
Harus diingatkan bahawa senarai yang kami telah nyatakan di atas ini hanyalah sekadar cadangan berdasarkan kandungan nutrisi yang wujud.
Sebaiknya, sila dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan mengenai snek yang terbaik untuk diambil oleh anda bagi menggantikan kulit ikan tersebut.
Untuk membaca lebih banyak artikel sebegini layari Hello Doktor
Apa pandangan anda?