Posted on August 10, 2021
Duo MPV yang dekat dengan rakyat Malaysia iaitu Toyota Wish dan Honda Stream adalah antara MPV yang sangat digemari rakyat Malaysia satu ketika dahulu. Walaupun tidak dibawa melalui saluran pengedar rasmi, kedua-duanya tetap menjadi pujaan peminat kenderaan tempatan. Kedua-dua MPV bertahan selama dua generasi sekitar 15 tahun tetapi keputusan untuk menamatkan jangka hayat model ini sebenarnya bukan disebabkan oleh ledakan SUV dan crossover yang lebih moden. Sebaliknya salah pintu menyebabkan jualan kedua-dua MPV ini merudum.
Bagaimana salah pintu menjejaskan jualan?
Untuk itu kita haruslah kembali ke negara asal model duo ini. Toyota Wish dan Honda Stream memang popular di Malaysia, Taiwan, dan Hong Kong namun kedua-dua minivan ini pada awalnya dibangunkan untuk pasaran Jepun.
Dua MPV ini menarik ramai peminat untuk membelinya kerana dinamik pemanduan yang menyerupai sedan. Tidak hairanlah kerana Honda Stream dibangunkan berdasarkan Honda Civic manakala Toyota Wish berkongsi platform dengan Toyota Corolla Altis.
Walaubagaimanapun, di negara maju dengan usia median yang semakin tua, van mini ini kurang mendapat sambutan disebabkan salah pintu.
Situasi yang sama berlaku pada Toyota Passo Sette yang dibangunkan untuk pasaran Jepun gagal teruk. Di sini, ia didambakan ramai peminat dan dijelmakan sebagai Perodua Alza.
Pintu menjadi ciri utama pembelian rakyat Jepun kerana kebanyakan keluarga di Jepun sekurang-kurangnya memiliki seorang warga emas dalam isi rumah. Oleh itu, pintu berengsel kurang diminati di sana.
Kenderaan/MPV dengan pintu gelangsar lebih sesuai kerana pergerakan masuk dan keluar lebih mudah untuk keluarga di Jepun. Tambahan pula, kebanyakan pintu gelangsar ini dibuka dan ditutup secara elektronik, lebih mudah bagi golongan yang mempunyai kemampuan terhad.
Maka itulah sebabnya model seperti Nissan Serena dan Toyota Voxy terjual lebih baik berbanding Honda Stream atau Toyota Wish. Jika anda tak percaya, lihat sahaja langkah Honda yang menukar pintu Honda Odyssey dari pintu berengsel ke pintu gelangsar untuk meningkatkan jualan.
Walaupun reka bentuk sporty berjaya menarik perhatian keluarga yang lebih muda di luar Jepun, reka bentuk itu tidak dihiraukan di pasaran asal yang dirancang untuk model ini.
Pintu sangat penting!
Satu lagi bukti lain yang menunjukkan kepentingan pintu dalam mendominasi angka penjualan boleh dilihat dalam carta jualan kereta di Jepun.
Menurut laporan terbaru JADA, 5 daripada 10 kereta terlaris di Jepun pada separuh pertama tahun 2021 menggunakan pintu gelangsar. Mengikut turutan – Toyota Roomy (ke-2), Toyota Alphard (ke-3), Toyota Voxy (ke-8), Honda Freed (ke-9), dan Toyota Sienta (ke-10).
Bukan kenderaan normal sahaja, populariti pintu gelangsar turut dilihat pada kereta Kei yang terkenal di Jepun dengan 3 kereta Kei terlaris pada tahun 2021 setakat ini – Honda N-Box, Suzuki Spacia, dan Daihatsu Tanto – mempunyai pintu gelangsar.
Menariknya, trend yang terbalik pula dilihat di seluruh dunia. Honda Freed (pintu gelangsar) pernah dijual di beberapa pasaran Asia Tenggara termasuk Malaysia tetapi tidak menunjukkan prestasi jualan yang baik.
Sementara itu, Toyota Sienta masih ditawarkan di Thailand dan Indonesia tetapi tidak cukup hebat untuk dikira laris.
Berdasarkan bukti, kegagalan dan kejayaan Toyota Wish dan Honda Stream berkait rapat dengan sambutan di pasaran domestik pengeluarannya. Di Jepun, usia masyarakat yang semakin tua memberi petunjuk bahawa kedua-dua MPV diabaikan kerana kurang praktikal.
Sementara itu di negara lain, kos pembuatan yang rendah pada pintu engsel diterjemahkan kepada harga MPV yang lebih murah. Justeru, ia mencukupi untuk model-model ini memenuhi keperluan penduduk setempat.
Adakah SUV/crossover tujuh penumpang bakal menggantikan MPV? Apa pula kata kamu?
Artikel ini ditulis oleh Haris untuk WapCar
Apa pandangan anda?