Posted on March 12, 2021
Rambut gugur, sesuatu yang berlaku kepada manusia sepanjang hayat, baik lelaki mahupun wanita. Sebab rambut gugur adalah berbeza mengikut individu seperti tekanan, penuaan, hormon, bahkan gaya hidup. Namun tahukah kamu, pengambilan ubatan tertentu juga boleh menjadi punca kepada keguguran rambut? Jom baca!
Kaitan rambut gugur (alopecia) & ubatan
Untuk pengetahuan kalian, alopecia adalah istilah perubatan untuk masalah keguguran rambut.
Banyak faktor berbeza-beza yang boleh menyumbang kepada keadaan ini, termasuk pengambilan ubat-ubatan tertentu.
Untuk sebab rambut gugur kerana ubatan, doktor mengaitkan alopecia dengan kesan sampingan ubat.
Alopecia yang disebabkan oleh ubatan mampu mempengaruhi bahagian kulit kepala atau badan.
Sebilangan ubat menjadi toksik kepada folikel rambut lantas mengubah kitaran pertumbuhan rambut, yang dari masa ke masa boleh menyebabkan kitaran pertumbuhan tidak normal.
Tambah lagi, tahap dan tempoh keguguran pula bergantung pada ubat yang diambil oleh seseorang serta dosnya.
Selain itu, ubat kemoterapi juga mungkin menjadi penyebab alopecia.
Walau bagaimanapun, keguguran rambut adalah kemungkinan kesan sampingan daripada banyak jenis ubat yang berbeza.
Kesan alopecia yang disebabkan oleh ubatan sering muncul dalam masa 3 bulan, setelah seseorang memulakan pengambilan ubat tertentu.
Bagi individu yang alami alopecia akibat kesan ubatan biasanya akan melihat perubahan rambut menipis berbanding keguguran.
Walau bagaimanapun, keguguran mungkin kelihatan lebih jelas di bahagian atas kulit kepala.
Apa jenis-jenis ubat yang berisiko menjadi penyebab rambut gugur? Teruskan membaca!
Senarai ubat sebab rambut gugur
Apa yang perlu kalian faham, ubat yang berbeza menyebabkan keguguran rambut berlaku pada peringkat yang berbeza daripada kitaran pertumbuhan rambut.
Sebagai contoh, sebilangan ubat mempengaruhi rambut dalam fasa rehat (telogen), manakala yang lain pula mempengaruhi rambut ketika fasa pertumbuhan (anagen).
Keguguran rambut fasa telogen
Kebanyakan ubat yang menjadi punca rambut gugur mempengaruhi rambut dalam fasa telogen.
Kalau diikutkan, adalah normal untuk manusia kehilangan sekurang-kurangnya 100 rambut fasa telogen setiap hari.
Walau bagaimanapun, faktor tekanan tertentu seperti demam, ketidakseimbangan diet pemakanan, dan beberapa jenis ubat, berisiko menjadikan jumlah ini meningkat!
Ubatan yang mempunyai kaitan dengan keguguran rambut fasa telogen merangkumi:
- Amfetamin
- Angiotensin converting enzyme (ACE) inhibitors
- Antidepresi, termasuk paroxetine, fluoxetine, dan sertraline
- Ubat anti kulat
- Ubat anti sawan
- Beta-blocker, yang digunakan oleh doktor untuk merawat masalah jantung dan glaukoma
- Pil pencegah kehamilan
- Ubat pencair darah, termasuk heparin dan warfarin
- Ubat penurun kolesterol, seperti clofibrate dan gemfibrozil
- Ubat tiroid
- Famotidine dan ubat-ubatan lain yang merawat masalah perut
- Terapi penggantian hormon (HRT)
- Isotretinoin dan ubat-ubatan berasaskan vitamin A lain
- Levodopa dan ubat lain untuk penyakit Parkinson
- Naproxen dan ubatan anti radang nonsteroidal lain (NSAIDS)
- Steroid
Keguguran rambut fasa anagen
Beberapa ubat pula mengakibatkan keguguran yang mempengaruhi rambut pada peringkat pertumbuhan. Contoh yang paling terkenal, ubat kemoterapi.
Rambut biasanya akan mula gugur dalam tempoh 2 hingga 5 minggu setelah kemoterapi dilakukan.
Pun begitu, individu yang menerima ubat dan rawatan yang sama masih boleh mengalami pengalaman keguguran rambut yang berbeza.
Ia mungkin jarang berlaku, namun ubatan yang mengandungi bahan berikut juga berisiko menjadi punca keguguran semasa fasa anagen:
- Arsenik
- Bismut
- Asid borik
- Thallium
Tambahan itu, colchicine yang digunakan doktor bagi merawat gout, kadangkala turut menyebabkan keguguran rambut pada peringkat anagen.
Menghentikan @ membalikkan keguguran rambut, boleh ke?
Pokok pangkalnya, kaedah terbaik mengubati alopecia akibat kesan ubat adalah dengan berhenti mengambil ubat yang bertanggungjawab terhadap keguguran rambut kamu.
Walau bagaimanapun, kalian tidak boleh sesuka hati berhenti mengambil ubat tanpa persetujuan doktor ya! Dikhuatiri timbul komplikasi lain pula.
Doktor akan membincangkan sebarang pilihan rawatan alternatif dan memastikan pesakit dapat beralih kepada ubat baharu dengan selamat.
Sebaik sahaja kamu berhenti mengambil ubat yang menjadi punca alopecia, rambut mungkin bakal memakan masa hingga setengah tahun untuk berhenti gugur.
Kalian juga biasanya dapat melihat pertumbuhan rambut baharu dalam masa 3 ke 6 bulan.
Ringkasan
Ubat-ubatan tertentu terbukti boleh menyebabkan keguguran rambut semasa fasa kitaran pertumbuhan yang berlainan.
Jika ada dalam kalangan pembaca yang melihat berlakunya peningkatan rambut gugur ketara apabila mengambil ubatan tertentu, segera hubungi doktor untuk melakukan konsultasi.
Doktor mungkin dapat menurunkan dos ubat atau menetapkan rawatan alternatif yang dapat mengurangkan masalah keguguran.
Apa yang penting, usah terlalu risau kerana bagi kebanyakan kes, kesan alopecia yang disebabkan oleh ubat dapat dibalikkan.
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati Hello Doktor
Apa pandangan anda?