Posted on January 29, 2021
Apa kesannya tinggal hand sanitiser dalam kereta? Apakah cuaca panas dan hujan di Malaysia membuatkan kesan hand sanitiser hilang dan alkohol dalam sanitiser akan meruap?
Penggunaan hand sanitiser amat berguna pada waktu ini, lebih-lebih lagi ketika negara berada di bawah cengkaman pandemik. Jika tidak ada air atau sabun untuk membasuh tangan, penggunaan pensanitasi tangan boleh dijadikan sebagai alternatif.
Rakyat Malaysia juga kini semakin bijak untuk mencegah penularan COVID-19. Malah, hampir semua orang mempunyai pensanitasi tangan untuk kegunaan sendiri yang tersimpan rapi di dalam beg tangan ataupun di dalam kereta.
Tahukah kamu, penggunaan cecair pensanitasi tangan adalah langkah kedua yang paling berkesan selepas membasuh tangan menggunakan air dan sabun?
Dengan penggunaan hand sanitiser untuk cuci tangan, ramai orang boleh memastikan tangan mereka sentiasa bersih dan bebas kuman.
Pensanitasi tangan bukan sahaja mudah untuk digunakan, malah saiznya yang kecil juga membolehkan ia dibawa ke mana-mana.
Tetapi, disebabkan cuaca panas di Malaysia, pernahkah kamu terfikir mengenai keberkesanan pensanitasi tangan setelah dibiarkan di bawah pancaran matahari dalam satu tempoh yang lama?
Bagaimana pula dengan keselamatan kenderaan kamu? Disebabkan cecair ini mempunyai alkohol sebagai bahan utamanya, sudah pastilah ia mudah terbakar bukan?
Walau bagaimanapun, sejauh manakah kebenaran dakwaan ini? Jom baca.
Hand sanitiser dalam kereta, bagus atau tidak?
Bukankah mudah jika kita menyimpan hand sanitiser dalam kereta? Selepas pulang membeli barang, kita boleh terus cuci tangan sejurus masuk ke dalam perut kereta.
Malah, ia satu langkah yang mudah dan amat efektif.
Walau bagaimanapun, pasti ramai yang tertanya-tanya sama ada keberkesanan hand sanitiser akan berkurang jika terdedah kepada sinaran matahari dalam masa yang panjang.
Jawapannya adalah ya. Pensanitasi tangan yang dibiarkan di bawah panas terik akan menjadi kurang berkesan, lebih-lebih lagi jika dibiarkan dalam satu tempoh masa yang lama.
Semua bahan kimia boleh melerai jika dibiarkan di bawah cuaca panas, begitu jugalah dengan bahan yang terkandung di dalam hand sanitiser.
Sebagai contoh, alkohol di dalam cecair pensanitasi tangan boleh melerai dan tersejat jika dibiarkan di bawah cahaya matahari.
Perkara ini akan menyebabkan peratusan alkohol di dalam hand sanitiser tersebut berkurang lalu menyebabkan penggunaannya kurang berkesan.
Menurut CDC, pensanitasi tangan perlulah mempunyai sekurang-kurangnya 60% alkohol untuk berfungsi dengan baik.
Semakin tinggi peratusannya, semakin berkesanlah ia dalam mengekalkan tangan kamu bebas daripada bakteria dan virus.
Walau bagaimanapun, ini bukanlah penghalang untuk kamu terus menyimpan cecair pensanitasi tangan di dalam kereta.
Cuba letakkan botol tersebut di tempat yang teduh dan jauh daripada sinaran matahari seperti di dalam laci atau di dalam poket belakang tempat duduk.
Hand sanitiser tamat tempoh?
Selain cuaca panas, cuba periksa tarikh tamat tempoh pensanitasi tangan yang kamu gunakan sekarang.
Selalunya, cecair ini boleh digunakan selama 2 hingga 3 tahun sebelum ia tamat tempoh.
Walau bagaimanapun, setelah digunakan berkali-kali, mungkin cecair pensanitasi tangan kamu sudah menjadi kurang efektif.
Cuba ingat kembali, pernahkah kamu tinggalkan penutup hand sanitiser kamu terbuka selepas menggunakannya? Jika ya, pensanitasi tangan tersebut mungkin sudah tidak berkesan lagi.
Untuk panduan kamu, cecair pensanitasi tangan akan menjadi lebih pekat dan sukar untuk kering jika ia sudah tamat tempoh.
Selain itu, perhatikan juga bau hand sanitiser tersebut. Jika ia sudah berbau pelik, mungkin sudah sampai masanya untuk kamu beli botol baharu!
Meletup tinggal hand sanitiser dalam kereta?
Pasti ramai yang pernah melihat gambar pintu kereta terbakar yang pernah viral di laman sosial suatu ketika dahulu.
Katanya, kebakaran itu berlaku disebabkan hand sanitiser yang ‘meletup’ di dalam kereta. Tetapi, sejauh manakah kebenaran dakwaan tersebut?
Menurut Dr. Jason McKnight daripada Texas A&M College of Medicine, penyimpanan pensanitasi tangan di dalam kereta adalah selamat dan tidak berbahaya.
Malah, alkohol atau ethyl alkohol, dua komponen yang terdapat di dalam pesanitasi tangan hanya akan terbakar jika terdedah pada suhu 600 hingga 700°F (315 – 371°C).
Oleh sebab itu, mustahil kereta akan jadi sebegitu panas walaupun ketika musim kemarau.
Menurutnya lagi, penyimpanan hand sanitiser di dalam kereta adalah selamat dan tidak akan menyebabkan sebarang kebakaran.
Walau bagaimanapun, untuk kekal selamat, pastikan kamu jauhkan pensanitasi tangan daripada punca haba seperti elektrik dan api.
Kesimpulan
Penggunaan pensanitasi tangan amat efektif dan berkesan untuk menghalang penularan virus COVID-19.
Malah, meletakkan sebotol hand sanitiser di dalam kereta sebenarnya idea yang bijak. Jika diletakkan di tempat yang mudah dilihat, kita akan sentiasa ingat untuk cuci tangan selepas masuk ke dalam kereta.
Walaupun begitu, pastikan hand sanitiser yang digunakan tidak diletakkan di bawah pancaran matahari dan belum tamat tempoh ya. Untuk lebih selamat, simpan di dalam tempat yang tertutup dan redup.
Selain itu, pastikan juga penutupnya ketat dan sentiasa ditutup rapat. Jika tidak, keberkesanannya akan berkurangan.
Bukan itu sahaja, keberkesanan cecair pensanitasi tangan juga bergantung kepada cara penggunaannya.
Pastikan kamu letakkan cecair yang mencukupi di atas tapak tangan. Untuk cuci tangan dengan sempurna, pastikan tangan kamu basah sebelum menggosoknya sekurang-kurangnya selama 20 saat hingga kering.
Walau bagaimanapun, aktiviti membasuh tangan masih lagi penting untuk mengelakkan jangkitan.
Jika kulit tangan kamu selalu kering disebabkan penggunaan pensanitasi tangan, cuba banyakkan membasuh tangan menggunakan air dan sabun.
Untuk lebih banyak artikel sebegini lawati Hello Doktor
Apa pandangan anda?