Posted on April 28, 2021
Apa yang perlu kamu tahu tentang vaksin covid Malaysia? Kami senaraikan 19 perkara WAJIB tahu sebelum, semasa dan selepas mengambil vaksin ini…
Sejak fasa pemberian vaksin COVID-19 bermula awal tahun ini, timbul pelbagai persoalan mengenai proses temujanji vaksin. Ini kerana mungkin ada yang masih belum jelas mengenai proses suntikan vaksin yang sebenar.
Jika kamu masih belum tahu mengenai proses ini, rujuk apa yang kami sediakan di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Fasa kedua temujanji vaksin sudah bermula!
Disebabkan pendaftaran vaksin fasa pertama yang masih rendah, maka Kementerian Kesihatan Malaysia bersetuju untuk mengawal pelaksanaan fasa kedua pemberian vaksin.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, tarikh pemberian vaksin fasa dua diawalkan 2 hari daripada tarikh sebelum ini yang sepatutnya bermula pada 19 April.
Pada fasa kedua ini, seramai 9.4 juta penerima disasarkan untuk pemberian suntikan vaksin.
Fasa kedua ini melibatkan golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai komorbiditi dan pesakit-pesakit kronik.
Jika kamu sudah mula mendapat notifikasi temujanji vaksin, kamu mungkin perlu tahu proses sebenar pemberian vaksin ini. Fahami proses di bawah ini.
Ini yang perlu kamu tahu sebelum, semasa dan selepas appointment vaksin COVID Malaysia
Untuk memudahkan kamu memahami proses ini, kami bahagikan kepada 3 kategori utama iaitu perkara yang perlu kamu lakukan sebelum, semasa dan selepas janji temu vaksin.
Sebelum temujanji vaksin
- Pastikan kamu golongan yang layak. Tidak semua individu sesuai untuk menerima vaksin. Jadi, pastikan kamu bukan dalam golongan berikut:
- Mempunyai sejarah alahan.
- Menjalani rawatan kanser.
- Ibu hamil.
- Ibu yang sedang menyusukan anak.
- Berumur kurang daripada 18 tahun.
- Kemaskini MySejahtera. Kamu perlu memastikan ketepatan alamat semasa kamu memandangkan lokasi janji temu kamu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan ditentukan berdasarkan alamat tersebut. Selain itu, pastikan kamu sudah menjawab soalan penilaian yang terdapat dalam aplikasi tersebut.
- Hadir awal ke PPV. Pastikan kamu hadir dan datang lebih awal ke PPV agar tidak menyusahkan petugas kesihatan untuk menghubungi kamu.
- Fahami dan isi borang persetujuan. Sebelum mula menerima vaksin, petugas kesihatan akan memberikan penerangan mengenai vaksin. Setelah itu, kamu perlu menandatangani Borang Persetujuan Menerima Vaksin COVID-19.
- Bawa dokumen pengenalan diri. Kamu bukan sahaja perlu membawa telefon bimbit, tetapi juga bawa dokumen pengenalan diri atau IC.
- Pakai pakaian longgar. Untuk memudahkan suntikan vaksin oleh petugas kesihatan, pastikan kamu memakai pakaian yang longgar. Sebaiknya pakai baju yang berlengan pendek atau lengan panjang yang longgar. Ini kerana vaksin akan disuntik pada bahagian lengan.
Semasa temujanji vaksin
- Buat pengesahan kehadiran. Pastikan kamu dapat hadir pada tarikh janji temu yang telah ditetapkan. Jika tidak sihat dan tidak berkemampuan untuk hadir pada hari tersebut, hubungi pegawai bertugas agar tarikh janji temu kamu dapat ditunda.
- Pastikan lokasi PPV dengan tepat. Jika kamu tidak tahu di mana letaknya lokasi PPV tersebut, gunakan aplikasi Google Maps atau Waze untuk sampai ke sana.
- Amalkan SOP. Walaupun kamu sudah hampir menerima vaksin pada hari tersebut, kamu masih perlu patuh kepada SOP yang ditetapkan. Pakai pelitup hidung dan jaga jarak dengan orang lain.
- Elakkan pengambilan ubat tahan sakit. Sebagai langkah pencegahan, elakkan daripada mengambil sebarang ubat tahan sakit sebelum kamu menerima vaksin. Ini untuk memastikan tiada sebarang tindak balas tubuh terhadap vaksin yang mungkin boleh menyebabkan ia kurang berkesan.
- Suntik vaksin pada lengan yang tidak dominan. Sekiranya kamu kerap menggunakan lengan sebelah kanan, cuba minta petugas kesihatan untuk menyuntik vaksin pada lengan sebelah kiri. Antara kesan sampingan suntikan vaksin ialah berasa sakit pada lengan. Sekiranya disuntik pada lengan yang tidak dominan, ia tidak akan mengganggu kerja harian. Ini bukanlah perkara yang wajib tetapi kamu boleh cuba bertanya kepada petugas yang menyuntik kamu.
- Berada di ruang pemerhatian. Selepas disuntik, kamu akan diminta untuk berada di ruang pemerhatian selama 15 hingga 30 minit untuk memastikan tiada komplikasi berlaku.
Selepas appointment vaksin COVID Malaysia
- Pantau kesan sampingan. Ketika berada di ruang pemerhatian, kamu mesti pastikan sebarang tindak balas yang mungkin berlaku kepada diri kamu pada ketika itu. Maklumkan kepada pegawai yang bertugas sekiranya mengalami salah satu daripada perkara ini:
- Pening kepala.
- Sukar bernafas.
- Bengkak pada muka, bibir atau tekak (reaksi alahan).
- Muntah-muntah.
- Berasa hendak pitam.
- Jantung berdegup dengan laju.
- Kawasan yang disuntik menjadi bengkak.
- Wujud ruam pada badan (reaksi alahan).
- Simpan kad vaksin. Selepas menerima dos pertama, kamu akan diberikan dengan kad vaksinasi pengesahan dos pertama vaksin. Kad ini akan diperlukan semula sewaktu hadir untuk menerima suntikan dos kedua kelak.
- Jangan tayang kad vaksin di media sosial. Kad vaksinasi yang kamu terima mungkin mempunyai maklumat peribadi yang penting seperti alamat, nombor kad pengenalan dan nombor telefon. Jangan menayangkannya di media sosial untuk mengelakkan kecurian identiti. Tambahan pula, semua orang akan terima kad vaksin yang sama.
- Ambil ubat tahan sakit jika perlu. Jika kamu berasa sakit pada lengan selepas disuntik, kamu boleh mengambil ubat tahan sakit bagi mengurangkan kesakitan.
- Maklumkan jika kesan sampingan berlaku lebih lama. Kesan sampingan vaksin hanya berlaku dalam tempoh sementara waktu. Namun, jika ia berlarutan sehingga lebih daripada seminggu, segera maklumkan kepada petugas kesihatan di PPV.
- Bersedia untuk dos kedua. Jangan lupa bahawa kamu masih mempunyai baki satu dos lagi yang perlu dihabiskan.
- Terus amalkan SOP. Sudah menerima vaksin bukan lesen untuk kamu bergembira dan mengabaikan SOP. Terus amalkan SOP seperti biasa.
Apa pandangan anda?