Posted on September 2, 2021
Syarikat kereta elektrik (EV) premium terbaru milik Geely iaitu Zeekr ialah sebuah projek konglomerat China yang paling berwawasan. Apa yang luar biasa, Zeekr 001 iaitu model pertama mereka habis dijual dalam masa dua bulan sahaja. Kini, pemilik dan ketua Geely, Li Shufu akan menyandang sebagai bos baru buat syarikat tersebut.
Namun begitu, beberapa laporan akhir-akhir ini menyatakan bahawa Geely tidak lagi memegang majoriti dalam bahagian syarikat EV itu. Secara tidak langsung, ini membuka peluang kepada pelabur luar untuk memacu pembangunan EV buat Zeekr.
Sewaktu Zeekr dilancarkan pada awal tahun ini, 51 peratus daripada syarikat itu dimiliki oleh Geely Auto Group. 49 peratus yang selebihnya pula dipegang oleh Geely Holding Group. Menurut penyimpan data China, TianYanCha, Zeekr buat masa sekarang dimiliki sepenuhnya oleh Shanghai Maple Guorun Automobile Co., atau dikenali sebagai Maple.
Menariknya, 91 peratus daripada Maple pula dipegang oleh Value Century, iaitu sebuah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Geely Auto Group. Jadi kalau diikutkan, Geely masih kekal sebagai pemilik Zeekr tetapi dengan sedikit pengubahsuaian. Apapun, Geely tidak akan disenaraikan lagi sebagai pelabur.
Sebabnya, Geely sedang mengundurkan diri dalam senarai pasaran Shanghai STAR. Bagi yang belum tahu, ia diibarat seperti pasaran Nasdaq yang ada di Amerika tetapi dengan fokus terhadap sains Cina dan ekuiti teknologi.
Asalnya, Geely merancang untuk mengumpul RMB 20 bilion (~RM 13 bilion) dalam pasaran STAR tetapi disebabkan oleh perubahan undang-undang, mereka berhasrat untuk tarik diri.
Artikel ini ditulis oleh Faisal untuk WapCar.
Apa pandangan anda?