Posted on April 17, 2020
Jika kamu peminat muzik Korea, pasti kamu akan mengenali wanita ini. Pernah menjadi ahli kumpulan Girls Generation dan kini bebas bergerak solo, wanita yang bernama Jessica Jung ini dilihat semakin giat memuatnaik video di akaun Youtube miliknya selain aktif mengembara serta menguruskan jenama fesyennya, Blanc & Eclare. Saya juga salah seorang pengikutnya di Youtube.
Bukan senang sebenarnya untuk seorang artis Korea mendedahkan diri mereka secara peribadi bersama peminat di sosial media. Apa jua barang (malah jenis telefon bimbit) yang selebriti kesukaan mereka gunakan, pasti akan dikaburkan agar tidak dapat dilihat peminat. Ini semua adalah kerana faktor penajaan. Bayangkan, jika sebelum ini pernah berlaku pada salah seorang ahli kumpulan BTS di mana Jungkook berkongsi pelembut baju kegemarannya, percaya atau tidak keesokan harinya produk itu habis terjual di seluruh Korea sehingga menjadi topik hangat di negara itu. Bukan calang-calang penangan idola Korea ini.
Namun, mungkin buat Jessica, sudah tiba masanya untuk dia menjadi diri sendiri. Masakan tidak, kini sudah punya banyak masa untuk mencipta akaun Youtube nya sendiri, sudah tentu dia mahu berkongsi dan mendekatkan dirinya dengan peminat selagi boleh. Antara kandungan videonya yang menjadi kegemaran saya sudah pasti video-video kecantikan. Bukan mudah untuk kita melihat seorang selebriti Korea berkongsi tip cantik mereka secara peribadi.
Ini antara beberapa video Jessica Jung yang menjadi kegemaran saya. Jika kamu ingin cantik seperti Jessica, jangan lupa untuk tonton video di bawah!
Apa pandangan anda?