Posted on May 22, 2020
Seperti yang kita semua tahu, masyarakat Korea amat mementingkan kecantikan serta penjagaan kulit wajah. Baik lelaki mahupun perempuan. Idola K-pop juga tidak ketinggalan. Walaupun mereka didedahkan dengan pelbagai rawatan ekspres estetik, akan tetapi penjagaan wajah dari rumah itu tetap menjadi amalam wajib dan dititikberatkan kerana budaya ini kata mereka sudah diterapkan semenjak kecil lagi daripada ibu mereka. Begitu juga buat ahli kumpulan paling popular abad ini, BTS. Walaupun sibuk dengan aktiviti harian, kecantikan dan penjagaan diri amatlah penting buat mereka. Lebih-lebih lagi, mereka ini harus menyarung mekap hampir setiap hari. Baru-baru ini kumpulam K-Pop BTS kongsi rahsia penjagaan kulit wajah. Jadi hendak tahu apakah tip dan trik mereka ini? Teruskan membaca!
RM
RM atau nama sebenar Kim Namjoon pernah berkongsi bahawa kulit wajahnya adalah jenis kering. Jadi, dalam rutin penjagaan wajahnya, RM lebih memfokus pada produk yang membekal hidrasi serta punya manfaat pelembap yang tinggi. Makanya saranan RM untuk mereka di luar sana ialah dengan memastikan kamu tahu jenis kulit kamu dahulu, kemudian barulah daripada situ kamu bentuk rutin penjagaan wajah kamu.
Jin
Popular dengan panggilan “Worldwide Handsome”, ramai yang setuju bahawa Jin memiliki kulit wajah mulus serta figura yang cukup tampan. Antara rutin penjagaan wajah yang diamalkan Jin ialah memakai pupur muka. Katanya, ada hari-hari yang amat memenatkan seperti hari promosi album di mana mereka harus menyarung solekan tebal, ada hari yang memerlukan mereka melakukan aktiviti luar dan terdedah kepada cahaya matahari. Jadi dengan menyarung pupur setelah seharian bekerja adalah rutin yang dia sangat suka. Ia bukan sekadar mencantik, malah merawat serta membantu kulit wajah nampak lebih muda.
Suga
Seperti Jin, Suga juga gemar menyarung pupur muka. Baginya ia amat mudah untuk digunakan. Dalam masa sama, Suga tahu betapa pentingnya untuk wajah memiliki kadar lembapan yang tinggi kerana mereka ini terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti. Dia juga tahu bahawa rutin kerja boleh mengganggu kesihatan diri dan kulit wajah. Jadi Suga akan memastikan kulit wajahnya dibekal dengan hidrasi yang tinggi setelah seharian berpeluh dengan mekap tebal terutama sekali jika mereka sedang jelajah dunia untuk konsert mereka.
J-Hope
J-Hope juga memiliki kulit wajah yang sangat mulus. Menurut J-Hope atau nama sebenar Jung Hoseok ini, dia menggunakan pelbagai jenis produk wajah untuk mengekalkan kulit sihat dan lembutnya itu. Ini termasuk toner, losen muka serta krim pelembap. Dia juga mengamalkan produk yang menghalang kulit wajahnya daripada berjerawat terutama sekali ketika waktu-waktu dia berisiko memiliki tekanan tinggi (stress). Kata J-Hope lagi, amat penting untuk rutin menyarung krim wajah pada sebelah pagi dan yang paling penting sarung pupur pelembap setiap hari untuk kulit wajah yang mulus dan sihat seperti dia.
Jimin
Jimin juga seperti kita semua. Baginya amat penting sekali untuk memastikan kulit wajah bersih pada penghujung hari. Dia akan pastikan dirinya bebas mekap sebelum tidur. Sungguh mudah namun harus ada disiplin dalam diri jika mahu kulit secantik Jimin. Satu lagi tip Jimin, seperti “abang-abang” BTS nya lain, kulit kekal terhidrat itu amat penting sekali. Jadi tip Jimin, pastikan minum banyak air putih untuk mencapai kulit idaman ini.
V
Ini tip penjagaan kulit wajah yang kamu nanti-nantikan daripada V. Katanya, kapas wajah itu antara produk penting yang menjadi tunjang kepada kemulusan kulit wajahnya itu. Di kala mereka mengembara ke luar negara, dia akan memastikan kapas wajah senantiasa ada bersamanya. V akan merendam kapas dengan toner miliknya kemudian dipakai pada wajahnya saat siang hari. V juga berkongsi cara dia menyarung losen wajah iaitu dengan menggunakan jari-jemari. Katanya, itu adalah nasihat daripada pakar dermatologinya sendiri.
Jungkook
Dia pernah berkongsi di dalam satu siaran TV yang dia amat mementingkan penjagaan kulit wajah. Malah, sehingga ke hari ini, dia masih menitikberatkan soal kulit wajah. Antara rahsia cantik Jungkook ialah dia akan memastikan pencuci wajah senantiasa bersama dengan dia ke mana sahaja dia pergi. Dia akan memastikan kulit wajahnya bersih dan kemudian setelah itu, dia akan menyapu toner dan krim pelembap lebih-lebih lagi pada waktu malam sebelum dia tidur. Kata Jungkook, semua orang harus menitik-beratkan kebersihan setiap inci wajah terutama sekali bahagian hidung dan kening.
Apa pandangan anda?