Posted on September 3, 2020
Walau dunia sedang menghadapi pandemik yang belum tentu berakhir dalam masa terdekat ini, mahu atau tidak, kita harus membiasakan diri menjalani kehidupan dalam norma baharu. Seperti juga di majlis 2020 MTV VMAS yang berlangsung beberapa hari lepas. Anjuran majlis anugerah kali ini sememangnya berbeza berbanding tahun sebelumnya. Akan tetapi satu yang tidak berubah untuk setiap majlis anugerah ialah sudah tentu pada persembahan gaya solekan dan dandanan rambut mereka. Walaupun tiada hamparan karpet merah seperti sebelum ini, mereka tetap memberikan yang terbaik. Mari saya senaraikan beberapa selebriti yang hadir dengan beauty looks terbaik di 2020 MTV VMAS tahun ini.
Bella Hadid
Hadir sebagai penyampai anugerah, sering tampil memukau dan langsung tidak pernah menghampakan kita semua. Bella tampil dengan dandanan rambut updo ‘mencucuk langit’ rona hitam pekat ala era 90-an hasil dandanan Carlos Nazario. Manakala solekan pula digaya sepadan dengan tema yang dibawa rambut. Hasil solekan jurusolek Evanie Frausto menampilkan mekap mata yang dilayang penggaris mata hitam kohl sebagai titik tumpuan keseluruhan wajah Bella malam itu.
Miley Cyrus
Saya masih terpegun dengan hasil solekannya di dalam muzik video Midnight Sky. Dan kali ini saya yakin, look nya untuk majlis anugerah ini masih membawa tema yang sama. Dengan dandanan rambut stail mullet berona blonde platinum inspirasi stail moden Joan Jett. Digayakan sleek dan bersinar dan disisir kemas di balik telinga. Kemudian gaya mekapnya pula, dia memilih untuk menggayakan solekan glamor dengan olesan gincu bibir merah berkilat bersama layangan garis mata mewah dan dramatik.
Madison Beer
Walau gaun pendek hitam yang menjadi tumpuan ramai pada Madison Beer malam itu, namun pada mata saya, beauty look miliknya yang memukau pandangan kita semua. Bergaya cukup simple tanpa perlu menyarung solekan bold, namun masih boleh membuat orang ramai berhenti dan memandangnya. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita kembali mencari hair styler kita kembali yang sudah tersimpan lama di dalam almari itu?
Lady Gaga
Menang besar wanita ini malam itu! Tahniah diucapkan. Lihat juga berapa persalinan yang digayakan Gaga pada malam itu, dan setiap helaiannya itu amat memukau. Itulah Lady Gaga. Salah satu look yang menarik perhatian saya sudah tentu yang ini. Luar biasa. Dalam setiap persalinannya, Gaga langsung tidak berhenti mengingatkan kita semua untuk menyarung pelitup muka. Dan untuk look ini Gaga menyarung pelitup muka ala-ala angkasawan. Gaya rambutnya pula hasil dandanan Frederic Aspiras dikatakan menggunakan produk GHD. Saya juga tertarik dengan solekan bibir glos yang digaya Gaga #STAILLAVVV.
Doja Cat
Solekan mata merah jambu neon yang dioles dramatik dan dipadan pula dengan rambut yang digaya tocang panjang bersama selitan dandanan anak-anak rambut yang memikat hati. Kami suka!
Bebe Rexha
Dandanan rambut sleek ponytail tinggi hasil tataan Iggy Rosales membuatkan Bebe tampil manis sekali. Dipadan pula dengan solekan yang minimalis namun masih memukau. Yang membuatkan kita semua tertumpu pada wanita ini adalah kerana tatarias kukunya. Menggayakan kuku tema futuristik, rona perak metalik gaya French manicure yang ekstra panjang.
Gambar: Getty Images
Apa pandangan anda?