Posted on January 7, 2020
Setiap kali tibanya tahun baharu, pasti ramai yang sudah tidak sabar menanti hari anugerah paling berprestij ini. Bagi kami pencinta kecantikan, pasti sudah tidak sabar untuk melihat barisan selebriti kelas pertama melewati karpet merah dengan gaya solekan dan dandanan rambut paling glamor. Menanti siapa yang tampil paling anggun, segar mahupun serba moden. Dan masihkah kamu ingat Lady Gaga tampil dengan dandanan rambut percikan rona biru bersama solekan fantasi mainan rona ungu kemilau dipadan dengan gaun Valentino nya tahun lalu? Walaupun tiada yang benar-benar mampu menandingi Gaga (pada saya), namun masih ada beberapa selebriti yang tampil cantik menarik perhatian saya. Mari saya senaraikan 5 solekan terbaik Golden Globes 2020 ini.
Rooney Mara
Jurusolek Kate Lee memilih untuk mencipta solekan minimalis (namun masih berdefinisi, terima kasih kepada solekan kontur on-point) pada wajah Mara kerana mata semua yang memandang lebih tertumpu pada dandanan rambutnya yang diinspirasikan daripada Princess Leia. Itu yang membuatkan keseluruhan beauty look Mara ini nampak lain daripada yang lain. Lihat sahaja dandanan rambutnya, another level!
Joey King
Jurusolek Allan Avendano memilih rona daripada palet perak untuk menghiasi wajah comel Joey malam itu. Kemudian ditambah rona hitam sebagai efek dimensi smoky pada mata Joey. Kemudian rona merah jambu lembut dipilih sebagai warna kontra untuk dilayang pada pipi dan bibir wanita itu. Overall look, sungguh klasik! #STAILLAVV
Awkwafina
Yang paling mencuri tumpuan dan pertama kali dalam sejarah anugerah Golden Globes dimenangi oleh wanita Asia, Awkwafina tampil cukup cantik malam itu. Disolek oleh Kirin Bhatty, membawa tema inspirasi Marlene Dietrich-esque, wajah Awkwafina dilayang penggaris mata cat eye kemudian dilapis dengan pembayang mata perak kemilau. Diakhiri dengan layangan gincu merah cili, Awkwafina punya kelasnya yang tersendiri.
Cho Yeo Jeong
Pelakon utama filem Parasite inilah definisi solekan wanita Korea sebenar. Pertama kali melewati karpet merah anugerah filem Barat, dia memilih untuk mengenakan solekan klasik natural. Tiada palitan sebarang rona pada wajahnya. Sekadar menyarung gincu jenis tint rona koral natural pada bibirnya. Lihat betapa mulusnya kulit wajah wanita Korea ini.
Lucy Boynton
Jurusolek Jo Baker tampil all out untuk Boynton. Sepadan dengan busananya, Baker memilih solekan kemilau untuk dilayangkan pada mata Boynton. Dengan tatahan batu kilat kemudian dilakar membentuk sayap pada penjuru mata ini, solekan Boynton nampak begitu bold dan berani.
Apa pandangan anda?