Posted on February 20, 2020
Jika kamu ingin melihat solekan bold, pentas fesyen New York lah paling tidak menghampakan. Dan tema ala Euphoria terus menyinari pentas NYFW FW20 dengan persembahan solekan meriah seperti mainan warna-warna terang, solekan smoky dan banyak lagi. Ada yang mengagak tema tahun ini juga lebih kepada berkonsepkan eksperimen di mana banyak jenama yang memilih untuk mendekati teknik DIY seperti bermain dengan batu mutiara yang ditampal pada rambut, batuan kemilau ditampal pada mata dan pelbagai lagi. Mari kami kongsikan antara trend cantik yang menarik sepanjang NYFW FW20 ini.
Rodarte
James Kaliardos selaku Ketua Jurusolek untuk pentas Rodarte memilih untuk mengenakan solekan bibir rona beri gelap dengan kemasan pusam sebagai fokus utama kepada solekan pentas ini. Selain membiarkan keseluruhan bahagian wajah lain polos, Kaliardos hanya menambah bulu mata palsu yang ditampal hanya pada bahagian hujung luar mata untuk mencipta efek lebih seksi misteri. The mood was vampire brides. Jadi inspirasi Kaliardos sudah tentu watak Winona Ryder dalam filem Dracula suatu ketika dahulu.
Anna Sui
Pentas bertemakan “Gothic Vamp”, dandanan rambut retro hasil penata gaya rambut Garren ini diinspirasikan daripada filem-filem seram era 70-an. Manakala solekan magisnya pula hasil tangan Pat McGrath. Solekan klasik dengan mainan rona hangat pada bibir kemudian dipadankan pula dengan solekan mata dramatik rona hijau zamrud melengkapkan lagi inspirasi look ini.
SUN=SEN
“Pearls are always appropriate.” Petikan kata Jackie Kennedy. Sesungguhnya ada benar kata-kata wanita ini. Seperti di pentas SUN=SEN untuk pentas fesyen Hong Kong di NYFW ini. Pengarah Artistik Global Aveda, Janell Geason, memilih untuk mengenakan batu mutiara di bawah mata dan seterusnya membiarkan bahagian wajah lain polos tanpa solekan. Kata Geason, inspirasinya adalah solekan romantik fantasi.
Proenza Schouler
Kami tertarik dengan dandanan rambut efek basah oleh Guido Palau ini. Dandanan rambut yang cukup maskulin namun dilembutkan dengan sedikit untaian anak rambut yang dibiar pada bahagian dahi. Dipadankan pula dengan solekan polos namun ada setengah model di layang bibir merah koral, namun keseluruhan konsep yang ingin difokuskan untuk pentas ini ialah natural dan sudah tentu, simplicity.
Jason Wu
Jurusolek Diane Kendal memilih untuk memfokus pada bahagian bibir untuk pentas Jason Wu. Layangan rona terang-benderang seperti merah cili ini menjadi pilihan Diane. Hendak tahu teknik wanita ini mendapatkan solekan bibir penuh ini? Katanya, dia tidak menggunakan sebarang aplikator, dia hanya menggunakan berus mekap untuk bibir. Lapiskan sedikit demi sedikit warna ini daripada bahagian garis luar bibir sehingga ke bahagian dalam. Dan dia hanya menggunakan gincu daripada Maybelline New York SuperStay Matte Ink Liquid Lipstick rona Pioneer!
Jonathan Cohen
Sebuah lagi pentas yang memilih mutiara sebagai aksesori cantik mereka. Kali ini, pada bahagian rambut. Penata gaya rambut Laurent Philippon memilih untuk menggayakan cornrows pada rambut model kemudian tampalan batu mutiara bentuk bulat sebagai penyudah kepada gaya rambut pentas ini.
Apa pandangan anda?