Posted on April 16, 2020
Kalau hendak diikutkan, waktu perintah berkurung inilah waktu yang paling sesuai untuk kamu menjaga dan mengambil berat tentang diri kamu sendiri. Seperti yang saya lihat banyak di Instagram rancak berkongsi video workout petang-petang. Bagus, itu maknanya mereka mengambil berat tentang diri mereka. Tidak kurang juga pada selebriti. Ada yang setiap hari membuat Instagram Live berkongsi ilmu, sesi jamming serta berbual santai bersama peminat. Baik selebriti tempatan mahupun antarabangsa. Jika tanya saya apa aktiviti harian saya, saya akan pastikan diri saya senantiasa positif dan menjaga kesihatan dan kecantikan sebaik yang boleh. Dan jika kamu peminat kecantikan, pasti tahu betapa mulusnya wajah Hailey Bieber bukan? Akhirnya menerusi temubual bersama Glamour UK, Hailey berkongsi rahsia rutin kecantikannya yang boleh kita semua contohi bersama.
Saya sebenarnya langsung tidak suka lakukan rutin penjagaan wajah yang banyak dan biasanya saya sendiri tidak punya masa. Apa yang saya lakukan ialah bermula dengan membersih dan mencuci kemudian cukup dengan serum juga pelembap. Dan jika saya ada banyak masa di sebelah malam, saya akan sarungkan pupur muka dan ekstra pelembap.
Saya tidak akan sesekali tidur dengan wajah bermekap. Walaupun saya dalam keadaan tidak sedar (mabuk) sekalipun, saya tidak akan tidur tanpa mencuci mekap di wajah.
Satu lagi pesanan Hailey ialah padanya rehat dan tidur yang cukup itu amat penting.
Rehat dan tidur amat penting untuk kulit. Jika saya kerja dan memerlukan saya untuk mengembara dengan kerap, saya perasan kulit wajah saya akan mudah menjadi kering. Ini kerana jadual tidur saya sudah berubah. Jadi apa yang Dr. Barbara Sturm ajar saya ialah, untuk menyarung produk ketika kulit wajah masih lagi lembap. Ini memudahkan untuk kulit menyerap lebih banyak nutrisi daripada pelembap tadi. Selain itu, makanan juga amat penting. Apa sahaja yang kamu makan, semua itu akan terserlah pada tubuh dan wajah luaran kamu.
Setiap manusia punya masalah kulit mereka yang tersendiri. Hailey dan suaminya, Justin juga tidak terlepas.
Saya memiliki masalah kulit yang dipanggil perioral dermatitis. Jadi, ada sesetengah produk boleh membuatkan kulit saya jadi tidak selesa lalu gatal dan mulalah akan timbul ruam merah sekitar mulut dan mata. Oleh itu, saya selalu akan cuba elak produk yang memiliki kandungan haruman kerana kulit wajah saya tidak boleh menerimanya. Namun begitu, saya tidak mampu kawal sepenuhnya. Kadang-kala kita tidak tahu apa yang jurusolek tepek di wajah saya kerana kerja saya tidak mengira jurusolek.
Tambahnya lagi,
Saya mengambil pil perancang keluarga sekarang jadi saya tidak datang bulan, namun saya masih memiliki simptom PMS itu dan pada masa yang sama efek kulit wajah saya. Saya juga perasan, kulit wajah saya tampak lebih baik ketika saya di Kanada berbanding di New York ataupun Los Angeles. Mungkin kerana udara dan persekitaran di sana lebih bersih.
Hailey turut berkongsi masalah kulit yang dialami Justin,
Justin sudah lama bergelut dengan masalah kulit berjerawat. Jadi apa yang dia buat, dia akan pastikan dirinya menggunakan clarifying pad (pad pembersih wajah yang disemai dengan produk penjagaan wajah) setiap kali selepas melakukan workout.
Jadi, selebriti juga ada masalah kulit mereka yang tersendiri. Disiplin diri itu amat penting dalam menjaga kecantikan diri. Bukan bermakna dia selebriti dan punya wang hanya sekadar pergi ke klinik estetik. Penjagaan diri dari rumah juga amatlah penting. Seperti rutin pasangan serasi lagi romantik ini!
Apa pandangan anda?