Posted on March 26, 2020
Antara yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19 ini sudah tentu mereka yang bekerja sebagai freelancer. Jika dalam dunia kecantikan, mereka yang bekerja sebagai jurusolek bebas antara golongan yang paling risau dan terkesan. Ini kerana amalan penjara sosial serta arahan perintah berkurung akibat virus yang semakin menjadi-jadi ini serta-merta menyekatkan lagi kerjaya mereka. Huda Kattan, pemilik empayar Huda Beauty turut terkesan dan berasa sedih lalu berjanji menderma sebanyak $100,000 dan kemudian dibahagikan kepada 100 jurusolek bebas.
Menerusi video berdurasi 5 minit yang dikongsinya di Instagram pada 23 Mac yang lalu, dia turut berkongsi rasa sedih dan faham akan situasi yang melanda ekonomi seluruh dunia ini. Kattan teringat kembali kejadian di mana dia mengalami masalah kewangan pada 2016 ketika mula-mula membina Huda Beauty.
Sama ada kita sakit ataupun tidak, kita semua pastinya terkesan dengan kegawatan kewangan, dan ada antara kita ini tidak akan mampu bertahan dengan impak teruk yang sedang melanda kita ini.
Tambah Kattan lagi,
Saya rasa apa yang kamu rasa, dan hari ini saya ingin lakukan sesuatu. Ia mungkin tidak sempurna, akan tetapi, inilah permulaannya.
Menerusi kapsyennya, Kattan berkongsi cara bagaimana program derma itu akan beroperasi. Dia mahu memberikan derma secara tunai kepada jurusolek yang sedang dalam kesusahan ketika ini. Sebanyak 1,000USD buat 100 orang jurusolek bebas. Kemudian dia menyeru semua pengikutnya untuk mencadangkan nama-nama jurusolek bebas yang memerlukan duit serta berikan sebab mengapa mereka harus menerima derma daripada Huda Beauty.
https://www.instagram.com/p/B-FKyfJDBP8/
Kattan turut memberitahu, cadangan dibuka sehingga 25 Mac ini sehingga jam 12 pagi. Setelah itu, tim Huda Beauty akan memillih 100 orang secara rambang berdasarkan senarai yang telah ditapis oleh mereka.
Tahniah kepada Kattan dan timnya yang terbuka hati ingin memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan di dalam industri kecantikan ini. Teringat saya kepada teman-teman jurusolek bebas di Malaysia, ada juga yang mengeluh dengan apa yang terjadi pada dunia hari ini. Namun, Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, mereka masih boleh bertahan hidup. Mari kita sama-sama doa agar musibah ini cepat berakhir ya!
Apa pandangan anda?