Posted on October 7, 2020
STAIL berpeluang untuk menemu bual Jen Atkin, Pengasas OUAI juga seorang penata gaya rambut popular di kalangan selebriti Hollywood. Ikuti temu bual eksklusif Pengarang Kecantikan kami bersama Jen Atkin, bercerita tentang latar kehidupan, inspirasi serta tip dalam penjagaan rambut.
Bagaimana kamu mula-mula menceburkan diri dalam bidang penataan gaya rambut? Dan bagaimana pula kamu berpeluang bekerja dengan pelanggan di kalangan selebriti?
Saya pindah ke Los Angeles di usia awal 20-an dan waktu itu sememangnya saya dahagakan pengalaman sebanyak yang boleh dalam bidang ini. Saya mula bekerja di salon rambut sekitar LA, untuk memahami selok-belok industri ini, cara menjawab telefon serta sebagai pembantu mereka. Daripada situ saya mula berkembang, dan menjadi ‘bayang’ mentor saya apabila ada ‘job’ besar seperti di minggu fesyen New York dan Eropah. Dari situ juga saya mula membina hubungan dengan pelanggan yang saya masih bekerjasama hingga ke hari ini.
Apakah cita-cita kamu sebenarnya? Adakah pernah kamu terbayang sewaktu kecil dahulu bahawa inilah kerja kamu?
Sejujurnya, saya teramatlah bersyukur kerana dapat menikmati kehidupan yang saya peroleh daripada kerjaya idaman saya. Ini adalah impian saya semenjak kecil, dan saya boleh kata dengan jujur yang saya bekerja keras setiap hari untuk sampai ke tahap ini. Saya bersyukur dengan kehidupan saya setiap hari.
Apakah yang menjadi inspirasi kamu untuk mencipta label penjagaan rambut sendiri?
Saya sering melihat ada suatu jurang dalam pasaran kecantikan rambut ini. Oleh itu, saya ingin mencipta produk yang boleh membuatkan kita semua nampak cantik sewaktu sedang mandi lagi. Namun produk yang ingin saya cipta itu haruslah menyenangkan dan tidak perlu diguna secara paksa. Dan bukan semua ada ilmu serta kesabaran dalam menjadi pakar rambut mereka sendiri, saya faham. Jadi, kami ingin menghasilkan produk yang berkualiti tinggi untuk mencapai penampilan yang kamu mahukan di samping memastikan rambut kekal sihat dan subur.
Apakah satu saat dalam karier kamu yang ketika itu kamu tahu kamu telah berjaya di dalam industri ini?
Apabila NY Times menamakan saya sebagai penata gaya rambut paling berpengaruh di dunia, dan itu yang membuatkan saya terharu sehingga ke hari ini. Saat itu dan juga saat membina tim di OUAI dalam mencipta produk rambut yang mewah namun boleh diguna pakai oleh semua orang.
Jika kamu hanya boleh pilih satu produk OUAI, apakah yang menjadi pilihan kamu?
OUAI Volume Spray atau OUAI Wave Spray, susahnya hendak pilih antara dua ini!
Boleh kongsikan dengan kami bagaimana rutin harian penjagaan rambut kamu dan berapa lama masa diambil untuk bersiap?
Semenjak pandemik ini, rutin saya menjadi agak minima kerana saya banyak menghabiskan masa di rumah. Akan tetapi jika saya hendak mencuci atau menggayakan rambut saya, kebiasaannya saya akan mencuci selang beberapa hari dan saya akan menggunakan syampu serta perapi OUAI Medium. Kadang-kadang saya selitkan sedikit OUAI Volume Shampoo di dalam rutin ini. Saya juga menggunakan Dyson Air Wrap untuk hasil tiup kering yang natural, saya tidak menggunakan sebarang haba untuk mencipta hasil ini.
Menurut kamu, apakah gaya rambut yang bakal menjadi trend untuk musim luruh ini?
Sepertinya keadaan tidak akan kembali normal dalam masa terdekat ini, jadi saya rasa mereka di luar sana masih lagi akan memilih untuk menggayakan gaya rambut yang cukup minimalis seperti mengekalkan tekstur natural, easy blowouts dan sebagainya.
Cuaca di Malaysia agak panas, ada sebarang tip untuk cuaca bahang di sini?
Semestinya kamu memerlukan leave in conditioner bersama kamu sepanjang masa. Dan jika rambut kamu jenis yang mudah kembang dan tidak teratur, pastikan kamu menggunakan penyembur pelindung haba sebelum mula meniup kering rambut kamu. Bereksperimenlah dengan minyak rambut untuk mendapat gaya rambut yang lebih sleek. Ataupun gayakan dengan menarik seluruh rambut kebelakang dan diikat bun rendah. Ini adalah stail paling chic dalam buku saya, dan kamu boleh gunakan gaya ini sewaktu menghadapi cuaca bahang lembap seperti ini.
Kamu sudah mencapai segala-galanya dalam kerjaya kamu. Ada sebarang ‘kotak’ yang belum kamu tanda dalam kehidupan kamu?
Antara impian yang terbesar dalam hidup saya ialah menulis buku! Walaupun sudah pernah menulis buku sebelum ini, sekarang impian saya adalah untuk fokus ke arah buku digital serta mencipta idea-idea inovatif yang boleh orang ramai cuba sewaktu pandemik ini.
Akhir sekali, bolehkan kamu kongsikan sedikit-sebanyak dengan kami tentang produk-produk baharu daripada OUAI yang bakal dilancarkan?
Apa yang boleh saya katakan, kami akan melancarkan sesuatu yang sangat istimewa dan menyeronokkan di Amerika Syarikat yang mana ia ternyata kategori yang baharu dalam jenama ini. Hanya itu yang saya boleh kongsikan!
Apa pandangan anda?