Posted on December 10, 2020
Hailey Bieber seperti yang kita kenali ini semakin mementingkan soal penjagaan kulit wajah baik untuk dirinya atau sang suami, Justin Bieber. Baru-baru ini dia ada berkongsi di laman media sosialnya tentang masalah kulit, perioral dermatitis, yang sudah beberapa tahun dialaminya. Walau pernah berkongsinya sebelum ini sewaktu awal tahun, namun kali ini Hailey memilih untuk menjadi lebih terbuka. Bukan itu sahaja, dia turut ingin membantu orang di luar sana mengenali lebih dekat tentang masalah kulit ini.
Buat kamu yang tidak tahu apa itu perioral dermatitis, ia adalah sejenis radang ruam yang melibatkan kulit di sekitar mulut. Ruam ini boleh merebak hingga ke hidung dan mata. Selalunya, ia akan muncul dalam bentuk ruam bersisik atau kemerah-merahan sekitar mulut. Bengkak ruam ini boleh menyebabkan rasa gatal-gatal.
Menerusi perkongsian Hailey di ruang Instagram Story nya,
“Ini hari ketiga, jadi ia sudah menjadi lebih baik dan semakin reda.
Memandangkan saya mahu menjadi setelus yang boleh tentang kulit wajah saya: Saya punya sesuatu yang dipanggil perioral dermatitis, yang mana sudah bertahun lamanya. Ia mudah tercetus melalui apa jua punca dan biasanya ia akan muncul pada bahagian pipi, sekitar mulut dan kadang-kala pada bahagian sekitar dan bawah mata. Ini antara punca yang saya perasan apabila wajah terkena masalah kulit ini: apabila mencuba produk baharu, produk yang terlalu kasar, cuaca, pelitup muka, dan kadang-kala sesetengah pelindung sinar.”
Tambah wanita ini lagi,
“Itulah sebabnya untuk kulit saya, secara peribadi, saya akan mencari produk jenis anti-radang yang sangat lembut agar dapat membantu menenangkan kulit saya dan langsung tidak mencetuskan dermatitis ini!”
“Saya juga telah mendapatkan diagnosis yang lebih tepat daripada pakar dermatologi setelah saya degil memilih mencuba merawatnya sendiri di rumah. Kadang-kala, saya berasa agak jengkel kerana hanya krim preskripsi sahaja yang dapat membantu menenangkan kondisi kulit saya. Self diagnosing is a no-no.”
Sebenarnya elok juga jika ada pendedahan sebegini. Trend selebriti berkongsi isu kulit dan kecantikan wajah ini sesungguhnya mampu memberi impak kepada mereka di luar sana. Yang mana kami rasakan ada yang sudah mula berfikir dan tanam di kepala, setiap orang itu harus memiliki kulit sempurna. Sedangkan tidak. Setiap orang punya isu kulit wajahnya yang tersendiri dan kita tidaklah perlu berlumba-lumba atau membuli mereka yang memiliki masalah kulit ini. Jadi, nasihat kami, jika kamu punya masalah kulit yang ekstrem atau sensitif, jangan malu, dan paling penting berjumpalah dengan doktor pakar berbanding mencuba untuk merawatnya sendiri.
Apa pandangan anda?