Posted on April 30, 2020
Kamu perasan atau tidak, semenjak duduk rumah ini banyak perubahan pada diri berlaku. Antaranya, ada yang berat badannya naik, ada yang kulit wajah menjadi lebih mulus disebabkan oleh persekitaran yang bersih (kerana kulit tidak terdedah dengan pencemaran luar). Namun, tidak kurang juga ada yang bertanya kepada saya, “Mengapa sejak saya duduk di rumah ini, kulit kepala saya kerap ada kelemumur?” Ada beberapa punca boleh menyebabkan kulit kepala menjadi gatal menggerutu seperti ini. Jika kamu juga memiliki masalah yang sama, jom ikut saya kenal pasti punca kepala berkelemumur ini.
1. Tidak mencuci rambut
Ya lah, sebab tidak perlu keluar rumah, kamu pun memilih untuk tidak mencuci rambut. Kadang dibiarkan sehingga 3-4 hari. Tidak boleh. Oleh kerana kamu amalkan rutin tidak sihat ini, kulit kepala kamu akan lebih mudah membina jangkitan yis Malassezia. Ia akan membentuk sisik berwarna kuning dan berminyak. Yis ini terhasil oleh sebum berlebihan serta sel kulit mati yang terdapat pada kulit kepala kamu itu. Ini sebabnya mengapa kulit kepala kamu berkelumumur. Jadi elakkan tidak membasuh rambut terlalu lama, seeloknya cuci rambut menggunakan syampu setiap selang sehari.
2. Tabiat garu kepala
Hentikan tabiat ini. Tidak kira saat waktu lapang ataupun ketika mandi. Elakkan kulit kepala kamu bertemu kuku kamu yang tajam dan kotor itu. Sebenarnya garu kepala boleh memburukkan lagi keadaan kulit kepala kamu. Dan jangan kamu sangka, sewaktu mandi, jikalau kamu mencuci rambut menggunakan kuku membuatkan kulit kamu lebih bersih. Tidak ya. Ia akan menyebabkan iritasi kulit lagi ada lah.
3. Sudah masanya tukar kepada syampu yang lain
Mungkin syampu yang kamu gunakan sekarang sudah tidak berkesan lagi untuk kulit kepala kamu. Atau mungkin syampu yang kamu gunakan itu langsung tidak sesuai malah cukup sensitif buat kamu. Terutama sekali produk yang memiliki alkohol. Lebih baik, selepas kamu baca artikel ini, kamu cepat ke bilik air dan lihat kandungan syampu kamu. Alkohol seperti umum tahu mampu mengeringkan kulit kepala. Kulit yang kering sebenarnya membuatkan sebum mahu berpusu-pusu keluar dari dalam lapisan kulit kamu lantas boleh menyebabkan kerosakan pada permukaan kulit. Sama sahaja seperti kulit kepala kamu!
Ingat, baik yang berhijab ataupun tidak, penjagaan kulit kepala itu amat penting. Jika kamu seorang lelaki pula, kan tidak manis jika nampak kupingan kelemumur bertaburan di bahu kamu seperti di dalam iklan syampu di televisyen itu? Saat berkurung di dalam rumah inilah masanya untuk kamu semua memperbaiki diri dan paling penting, self-care!
Selamat berpuasa!
Apa pandangan anda?