Posted on October 20, 2020
M.A.C semalam mengumumkan bahawa Lisa daripada kumpulan popular Korea Selatan, BLACKPINK, kini adalah duta global terbaru buat jenama mereka. Malah Lisa adalah artis K-Pop wanita pertama dilantik sebagai duta global jenama ini. Wanita ini juga terkenal dengan penampilan panggung yang cukup karismatik, berani serta sering menjadi ikutan ramai baik dari segi kecantikan, fesyen atau muzik. Bukan sahaja personaliti Lisa memiliki hubungan yang mendalam dengan nilai-nilai yang sememangnya sudah lama dipegang jenama M.A.C ini, malah bakal berfungsi sebagai inspirasi untuk jenama ini agar terus berkembang.
Gambar: M.A.C
Buat yang tidak tahu, Lisa adalah rapper juga penari utama di dalam kumpulan BLACKPINK yang cukup popular di serata dunia dengan lagu-lagu hit yang memecah carta dunia seperti Ddu Du Ddu Du, How You Like That dan yang terkini, Lovesick Girls. Berusia 23 tahun, wanita asal Thailand ini membina namanya di bumi Korea semenjak kumpulannya debut pada 2016.
Sebagai jurucakap global M.A.C, Lisa akan menjadi wajah utama kempen serta bekerja rapat dengan jurusolek jenama ini untuk mempersembah serta mencipta look signatur, berkongsi rahsia kecantikan dan penjagaan wajah serta gaya hidupnya bersama peminat M.A.C.
Saya sememangnya peminat M.A.C! Saya suka bagaimana jenama ini mengubah sesuatu solekan itu kepada sesuatu yang membolehkan kita mengekpresikan diri. Ini memberikan saya keyakinan setiap kali berada di atas pentas. Kini bersama dengan M.A.C, saya menjadi lebih teruja untuk mengajak serta memperkasakan lebih banyak orang di luar sana kerana kita semua punya keperibadian dan kepelbagaian sebagai teras kita semua.
Gambar: M.A.C
Apakah produk M.A.C Cosmetics pertama kamu miliki?
Produk pertama M.A.C saya adalah produk bibir. Saya sehingga kini masih meminati produk bibir daripada jenama ini dan saya suka bermain dengan rona-rona yang tiada bandingan banyaknya serta tekstur yang pelbagai daripada M.A.C yang membantu menyempurnakan look solekan saya.
Sejak bila kamu sedar yang kamu minat bersolek? Dan apa yang membuatkan kamu jatuh cinta?
Semenjak kecil lagi saya amat berminat pada solekan dan fesyen. Akan tetapi, jika hendak bicara secara rasmi bila saya benar-benar jatuh cinta pada solekan, saya rasa selepas saya debut. Apabila kami sudah melancarkan album baru atau sewaktu sesi penggambaran editorial bersama majalah, saya seronok berkongsi idea dalam mencipta makeup look yang selama ini sudah lama ingin saya cuba.
Apakah itu kecantikan pada kamu dan adakah itu sebagai salah satu alat pemerkasaan diri kamu?
Pada saya kecantikan itu ialah keyakinan. Kecantikan itu datang daripada keyakinan dalaman serta sikap yang dimiliki seseorang itu. Makeup and styling are the cherries on top of your beauty inner-self!
Boleh kongsikan dengan kami rutin kecantikan kamu?
Saya sukakan solekan natural. Jadi saya akan mulakan dengan asas yang simple dan kemudian sudahkan dengan gincu yang sedikit terang untuk memberikan warna pada wajah. Terutama sekali solekan bibir. Saya suka mencipta layangan ombre yang bermula daripada tengah bibir saya!
Dari mana kamu mendapat inspirasi kala memilih warna pada solekan kamu?
Saya sering meriviu pelbagai look solekan sebagai inspirasi saya. Contoh seperti ketika sedang lagi di sesi penggambaran, saya akan mencadangkan stail solekan yang sudah lama saya ingin cuba. Dan saya juga seronok bekerjasama dengan jurusolek untuk mencipta solekan yang seiring dengan mood yang cuba saya ekspresikan untuk penggambaran itu.
Gambar: Instagram @lalalalisa_m
Kami tahu kamu suka mengambil gambar dengan kamera kamu. Ada sebarang tip solekan untuk mencapai suatu gambar yang bagus?
Kerana tekstur yang dihasilkan kamera saya agak kabur (grains), maka ia akan membuatkan gambar nampak kurang jelas seperti kamera digital. Jadi saya sering melukis mata saya dengan penggaris mata yang agak tebal dan bold daripada biasa agar look solekan mata saya lebih jelas di dalam gambar kamera saya itu.
Apakah nasihat kamu untuk mereka di luar sana yang ingin menjadi seperti kamu suatu hari nanti?
Jangan pernah berputus asa, tidak kira ia menyakitkan atau memberi kesusahan pada kamu sepanjang meniti perjalanan itu. Jika kamu yakin dan percaya dengan diri kamu, terus berjuang sehingga ke akhirnya. Impian kamu akan menjadi kenyataan. Kamu boleh lakukannya!
Apa pandangan anda?