Posted on January 22, 2021
Katy Perry memilih untuk membuat comeback selepas melahirkan cahaya matanya, Daisy Dove, hasil perkongsian hidup bersama Orlando Bloom. Dia membuat persembahan cukup ikonik di acara angkat sumpah Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat semalam. Mekap Katy Perry cukup klasik serta mengenakan bun rendah membuatkan ramai terpegun dengan penampilan terbaru wanita yang bergelar ibu ini.
Gaya rambut bun rendah yang cukup kemas ini adalah hasil dandanan penata gaya rambut, Rick Henry. Menurut Henry, rambut platinum milik Katy Perry dibelah tengah, kemas tanpa menampakkan sebarang rona asal rambut Perry di bahagian akar. Jika kamu perhatikan betul-betul, tiada sehelai rambut pun terkeluar daripada ikatan bun ini. Sememangnya kemas dan padat.
Lain sedikit buat solekan Perry, yang mana menurut Michael Anthony, jurusolek profesional pilihan Perry hari itu, apabila dia membuat sedikit perubahan di saat terakhir sebelum Perry membuat persembahan. Menurut temubualnya bersama Allure,
“Untuk persembahan istimewa Perry ini, saya terfikirkan tentang ‘timeless beauty’ – melihat kembali kerja-kerja lalu yang telah saya hasilkan untuk wajah Perry, lalu mengingatkan saya kepada betapa jauhnya perjalanan kami lalui sehingga ke hari ini. Jadi saya mahukan satu hari nanti apabila saya teringat kembali akan hari ini, ia adalah hari yang tersangat istimewa. Jadi, dengan itu saya ambil waktu esktra untuk menyempurnakan kanvas wajah Perry dengan melakar menggunakan beberapa tona berbeza.”
Untuk mencipta mekap Katy Perry yang ‘timeless beauty’ dan glamor ini, Anthony menggunakan produk Giorgio Armani Beauty. Dia menggunakan dua tona bedak asas Luminous Silk Foundation yang berbeza untuk mencipta dimensi pada wajah Perry. Kemudian pada matanya, disapu pula dengan Eyes to Kill Eye Quattro Eyeshadow Palette in 2 (Avante Premiere) menggunakan rona-rona neutral. Bagi melengkapkan lagi solekan mata, Anthony tamatkan dengan menyarung Eyes to Kill Lacquered Liquid Eyeliner rona hitam.
Anthony pada mulanya menyarungkan gincu bibir rona merah jambu lembut daripada koleksi Lip Maestro Liquid Lipstick buat bibir Perry. Namun kemudiannya, di saat terakhir, dia menukar gincu bibir untuk pentas persembahan wanita ini kepada rona 205 (Fiamma) untuk penampilan yang lebih memukau dan menawan malam itu. Buat kamu yang ingin mencuba look glamor dan kecantikan sepanjang masa ini, bolehlah mencuba solekan gaya Katy Perry ini!
Apa pandangan anda?