Posted on September 30, 2020
Dari New York hingga ke Paris, COVID-19 langsung tidak menghalang daripada minggu fesyen berlangsung. Malah, jenama-jenama fesyen tersanjung ini tampil dengan variasi persembahan bagi mencipta kepuasan penggemar fesyen. Ada yang masih mengekalkan mood seperti tahun-tahun sebelum ini di mana pertunjukan diteruskan dengan setup minimal untuk sebilangan tetamu sahaja. Ada yang tampil dengan konsep baharu di mana tampil dengan pertunjukan digital yang luar biasa. Menarik. Namun, apa yang ingin saya kongsikan di sini sudah tentu trend kecantikannya. Yang saban musim saya nanti-nantikan. Pandemik yang melanda seluruh dunia ini langsung tidak mengehadkan tumpahan seni jurusolek serta penata gaya rambut untuk minggu fesyen S/S 21 ini. Dari Rodarte hingga ke Dior, mari kami kongsikan trend kecantikan harus kamu tahu.
1- Rodarte
Bahagian wajah lain dibiar mulus namun hanya mata dan bibir menjadi fokus utama jurusolek Uzo. Bulu mata panjang ditambah pada bahagian atas juga bawah mata untuk memukau mata yang memandang. Kemudian dipadankan pula dengan olesan gincu bibir rona ceri hitam yang mana kata Uzo, tipnya layangkan bermula dari tengah kemudian keluar untuk mendapat efek mungil seperti ini.
2- Jason Wu
Trend fake freckles masih belum lapuk. Kita dapat lihat banyak trend ini di minggu fesyen New York. Antaranya di pentas Jason Wu. Dan percaya cakap kami, apa yang kami bakal sampaikan ini mungkin pertama kali kamu mendengarnya. Dalam banyak-banyak cara, ini kali pertama kami mendengar gincu digunakan sebagai produk untuk kamu lakar jeragat palsu di wajah. Ya benar, jurusolek Erin Parsons, menggunakan Maybelline New York SuperStay Matte Ink Coffee Edition dalam rona Espresso Enthusiast dan Chai Genius untuk mencipta efek jeragat ini. Keseluruhan konsep solekan adalah bertemakan no-makeup-makeup, namun ada sedikit vibe tropika dan hangat.
3- Bora Aksu
Di minggu fesyen London pula, kita dapat saksikan kebanyakannya tampil dengan rona-rona terang sebagai pilihan trend untuk musim bunga 2021 ini. Seperti di Bora Aksu, mainan gincu bibir terang seperti fuschia dan ungu menjadi pilihan di sebalik pelitup muka organza. Sememangnya jurusolek Janeen Witherspoon mahukan perhatian pada bibir walau orang kini sibuk dengan solekan mata (kerana bibir dilindung pelitup muka). Gincu yang dilakar ‘tidak sempurna’ (blurred lips) kerana ada mesej yang ingin disampaikan. Kata Witherspoon, “It doesn’t have to be perfect, ever- but especially now.”
4- Charlotte Knowles
Aksesori juga menjadi taruhan jurusolek di London. Seperti di Charlotte Knowles, tatahan kristal ditampal pada tubuh model. Jurusolek Thomas de Kluyver menatah kristal membentuk corak rama-rama dan garis grafik. Wajah pula dibiar polos.
5- Versace
Manakala di Milan pula, kita dapat saksikan trend rambut basah banyak menjadi pilihan rumah fesyen di sini. Seperti di Versace, Sportmax dan Drome. Paling basah kita lihat adalah di Versace di mana konsepnya adalah berinspirasikan penempatan utopia di dasar laut yang diperintah oleh Medusa. Maka, tata rambut yang sememangnya basah itu di tata betul-betul menutup bingkai muka bersama potongan bangs yang dibiar lembap di dahi.
6- Dior
Di Paris pula, kreativiti masih berleluasa. Seperti di Dior, jurusolek Peter Philips tampil dengan solekan garis mata hitam tebal keliling mata. Manakala bahagian wajah lain dibiar segar dan polos untuk mendapatkan fokus penuh pada bahagian mata yang nampak cukup ‘tajam’ itu. Manakala rambut pula, Guido Palau, memilih untuk mencipta sanggul rendah yang digaya pada rambut belah tengah kemudian dibiar bersepah dengan beberapa helaian rambut dibiar terkeluar.
Apa pandangan anda?