Posted on February 12, 2020
Acara anugerah paling berprestij Oscars 2020 telah pun berlangsung dua hari lalu. Cukup meriah dengan kehadiran selebriti kelas pertama dengan melewati karpet merah. Memandangkan ini ialah majlis paling berprestij, pastinya tim glam yang bertanggungjawab memastikan selebriti mereka hadir tampil paling cantik di karpet merah berasa cukup gementar dan tidak senang duduk. Sama gementar dengan barisan selebriti yang tercalon untuk Oscars 2020 ini. Dan malam itu tiada yang tampil menghampakan. Seperti biasa kita melihat Saoirse Ronan yang senantiasa bersedia serta menghidangkan kita dengan tayangan solekan dan gaya rambut menarik serta effortless itu. Kemudian gaya rambut cukup bold Billie Eilish yang semakin mendapat perhatian serta ramai lagi lah. Mari kami kongsikan lagi siapa yang cantik malam itu.
Billie Eilish
Masih mengekalkan rona rambut dwi-tona hitam dan hijau neon. Kali ini dia tampil dengan gaya rambut sanggul longgar serta mengenakan aksesori Chanel daripada hujung rambut ke hujung kaki hasil dandanan Mara Roszak. Kemudian tatarias seni kukunya yang diwarnakan hitam kemudian ditatahkan dengan setitik batu permata. Billie is being Billie. Tiada yang mampu bergaya di karpet merah seperti wanita ini.
Florence Pugh
Roots are in! Siapa ingat Dua Lipa di Grammy Awards baru-baru ini? Ya, trend rona akar rambut yang dibiarkan sahaja sebegitu (tidak perlu touch-up) kini semakin mendapat perhatian. Dan Florence Pugh antara yang tampil menggayakan rona rambut ini. Tidak cukup dengan itu, penata gaya rambut Peter Lux mahukan sesuatu yang lain daripada yang lain. Dia kemudiannya terinspirasi untuk menggayakan stail modern knot pada rambut aktres Little Women ini. Lux menggayakan ikatan tersebut membentuk seperti kipas menggunakan styler daripada GHD.
Lucy Boynton
Inspirasi penata gaya rambut, Jenny Cho, buat Boynton malam itu ialah Coco Chanel. “Inspirasi saya ialah wanita yang bernama Coco Chanel – French-chic-meets young Hollywood,” katanya. Rambut Boynton yang ditatah dengan mutiara menarik perhatian kami. Ditambah pula dengan solekan glamor hasil tangan Jo Baker, kami tidak boleh alih mata kami daripada mengagumi kekemasan bibir merah serta solekan bulu mata lelabah inspirasi Twiggy menggunakan produk Chanel.
Saoirse Ronan
Tidak pernah menghampakan kami. Walau tampil cukup effortless, dia masih jelita dan glamor. Mengenakan baby bangs pendek kemudian disanggul rapi rambutnya membentuk bun comel. Aksesori pin rambut bentuk lebah tersangkut manis di bahagian sisi rambutnya. Kemudian jurusolek Kara Yoshimoto Bua mengenakan gincu bibir lembut rona koral pink dan memadukan bersama solekan mata rona ungu pastel.
Aurora
Tampil dengan potongan bangs paras pelik cukup menarik perhatian kami. Walaupun pelik, ini adalah antara potongan bangs yang popular dan bukan semua mampu menggayakan potongan seperti ini. Kemudian dipadankan pula dengan topi baja primitif menyempurnakan lagi gaya yang memang sudah sebati dalam dirinya sebagai seorang anak bangsa Nordik. Solekannya pula seperti dicedok daripada filemnya Frozen, dengan mengenakan solekan kening yang diluntur kemudian solekan mulus seolah tidak menyarung sebarang mekap.
Apa pandangan anda?