Posted on June 11, 2020
Debbie Thomas, pakar wajah yang sering menjadi pilihan selebriti Hollywood seperti Dua Lipa, Jourdan Dunn dan Vogue Williams berkongsi antara trik cantik di rumah perlu kamu tahu. Dan ia bukan calang-calang trik, kami anggap ini satu trik cantik genius yang boleh kamu cuba. Memandangkan kita kini sudah berada di fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), masih ada yang masih takut hendak keluar rumah lebih-lebih lagi berkunjung ke pusat kecantikan. Jadi untuk kamu yang masih ingin bercantik-cantik, namun tidak mahu berkunjung ke klinik-klinik estetik ini, mari kami kongsikan trik cantik di rumah dari Debbie ini.
Stim Wajah
Rutin stim wajah ini antara rutin yang penting dalam membersihkan lagi kulit wajah kamu dengan lebih mendalam. Menurut Debbie, bukan sahaja memberih malah menyemarakkan lagi peredaran serta kadar hidrasi di dalam kulit. Namun pesannya lagi, untuk kamu di luar sana yang memiliki masalah kulit rosacea, elakkan daripada mencuba rutin ini.
Ingat, elakkan daripada melakukan rutin ini dalam keadaan wajah yang kotor. Pastikan bersih kerana saat liang pori kamu terbuka sewaktu stim, kotoran yang terdapat pada permukaan wajah akan masuk secara tidak sengaja ke dalam kulit wajah kamu.
Panaskan air sehingga mendidih. Kemudian setelah mendidih, tuangkan ke dalam mangkuk tahan panas dan pastikan kamu lakukan rutin ini di tempat yang selesa. Sediakan juga tuala untuk membalut rambut kamu agar lebih selesa. Letakkan wajah kamu berdekatan mangkuk air didihan tadi, kemudian biarkan selama 3 hingga 5 minit. Untuk pengetahuan kamu, titisan air stim itu sebenarnya membantu merawat masalah liang pori tersumbat, memulih saluran minyak, peluh serta peredaraan darah.
Usai 5 minit, segera cuci wajah menggunakan air hangat untuk menyah segala peluh dan kotoran pada wajah. Setelah itu, teruskan dengan rutin menyapu serum dan sebagainya sewaktu kulit wajah masih lagi hangat. Akhir sekali, tekap muka dengan lembut menggunakan tuala sejuk. Ia membantu mengunci kembali liang pori serta segala produk kecantikan yang kamu telah sapukan tadi.
Cipta Rawatan Terapi Cryo Di Rumah
Jika kamu mahu wajah dimanja dengan rawatan facial terapi cryo, Debbie ada caranya. Hanya perlukan ais! Terapi ais membantu mengurangkan sembap serta keradangan di wajah. Apa yang kamu boleh buat ialah, ambil seketul ais balutkan di dalam tuala atau tisu, kemudian biarkan dahulu sehingga kiub ais kamu tadi sedikit mencair. Sapu lembut pada seluruh wajah kamu termasuk di kawasan kulit lembut seperti mata. Kata Debbie, paling penting sekali ialah senantiasa pastikan kiub ais sentiasa bergerak pada seluruh wajah kamu. Jangan biarkan ia terletak lama pada satu-satu kawasan wajah. Lakukan selama 2 hingga 3 minit, kemudian lap wajah dengan lembut. Voila! wajah terus segar-bugar!
Apa pandangan anda?