Posted on October 28, 2020
Baru-baru ini sewaktu saya mengadakan sesi IG Live di akaun Instagram STAIL.MY, ada yang bertanya tentang kandungan di dalam produk kecantikan seperti paraben dan lead. Adakah ia bahaya untuk produk kecantikan? Tanya seseorang di ruang comment live tersebut. Dari situ, saya dapat rasakan masih ada di antara kita yang tidak memahami tentang bahan-bahan di dalam sesuatu produk kecantikan itu. Ada banyak bahan bahaya yang sering digunakan di dalam produk kecantikan tanpa kamu sedari. Mulai hari ini, setiap kali kamu ingin membeli produk kecantikan baharu, pastikan kamu membelek bahan kandungannya dahulu. Jangan hanya terpedaya pada bungkusannya yang fancy sahaja. Mari saya kongsikan tentang bahan merbahaya paraben dan lead ini.
Paraben
Bahan seperti paraben ini tidaklah terlalu mahal, maka ia mudah dijumpai di mana-mana produk kecantikan. Mengapa mereka inginkan kandungan paraben? Ini kerana paraben membantu sesuatu produk kecantikan itu tahan lama dan sentiasa segar. Bukan itu sahaja ia membantu produk daripada dijangkiti bakteria yang merbahaya. Namun, apa yang membahayakan adalah pada si pengguna tersebut. Kajian mendapati, paraben ini pernah dijumpai pada tisu badan pesakit kanser payudara. Dan hipotesis mengatakan kemungkinan besar kanser payudara terjadi akibat penggunakan deodoran yang mengandungi paraben. Bukan itu sahaja, paraben boleh meningkatkan kerosakan tahap sel yang disebabkan oleh pendedahan terhadap sinar UV langsung boleh menyebabkan kanser kulit.
Lead
Boleh dijumpai pada produk kosmetik seperti gincu bibir, penggaris mata dan segala produk yang punya palet warna. Walaupun bahan lead ini tidaklah boleh mengakibatkan kanser, namun ia adalah sejenis metal berat dan masih membahayakan nyawa seseorang manusia. Walaupun kuantiti lead tidak tinggi di dalam sesuatu produk, namun jika kamu menggunakannya hari-hari (seperti gincu bibir), lama-kelamaan ia akan terserap ke dalam tubuh kamu lalu tersebar pada darah, tisu lembut serta tulang-temulang kamu. Dan jika suatu hari, ia menguasai tubuh kamu, ia akan mengakibatkan tekanan darah tinggi serta penyakit jantung koronari. Bukan itu sahaja, ada kajian menyatakan ia akan menggangu kesuburan lelaki dan wanita, perubahan hormon dan haid yang tidak teratur.
Nasihat saya, walau apapun mulai sekarang, rajinkan diri untuk membaca kandungan di kotak produk kecantikan sebelum kamu membelinya. Tidak kira produk murah mahupun mahal. Kesemua ada potensi untuk menggunakan bahan berbahaya walaupun dalam kuantiti yang sedikit. Hari ini saya berkongsi tentang dua bahan, namun ada banyak lagi bahan berbahaya di muka bumi ini akan saya kongsikan nanti bersama kamu semua.
Sumber: Paula’s Choice, Stylecraze, Indian Express , Cosmetic Design Asia
Apa pandangan anda?