Posted on November 11, 2020
Banyak kali juga sudah saya tekankan betapa pentingnya penjagaan kulit wajah terutama sekali di bahagian mata. Tidak bermakna apabila umur sudah menginjak 30-an baru sibuk hendak mencari krim mata yang terbaik. Sebaiknya, mula dari seawal yang boleh.
Tahukah kamu, antara kawasan yang paling mudah muncul kedutan dan garis halus adalah pada bahagian mata? Ini kerana kawasan ini adalah kawasan kulit yang paling nipis antara semua kawasan wajah kamu. Bayangkan kamu tidur lambat, menangis atau stres juga boleh memberi kesan ketara. Bukan sekadar dalam keadaan diri tidak stabil sahaja, kalau kamu terlebih gembira, atau seorang yang suka dan sering ketawa pun boleh menyebabkan kedutan di bahagian ini.
Gambar: Chanel
Disebabkan itu, kamu perlu mempraktikkan penjagaan kulit wajah di bahagian mata ini. Seeloknya mulakan daripada sekarang. Dari usia remaja, amalkan krim mata. Langkah pencegahan adalah yang sebaiknya. Bukanlah maksud saya jika kamu sudah menginjak usia 30-an, kamu sudah terlambat. Masih boleh namun bakal mengambil masa yang lama untuk merawat. Bayangkan jika kamu amalkan penggunaan krim atau produk penjagaan mata yang lain seawal usia lewat belasan tahun, proses kulit untuk menua di bahagian ini akan lebih perlahan.
Saya punya seorang teman. Usia sudah menginjak lewat 30-an, namun bahagian matanya masih cantik. Saya tanya apakah rahsia dia,
Krim mata, dik. Kalau aku tak jaga dari dulu, mesti tak begini hasilnya. Bayangkan dik, kalau mata kita tidak cantik. Hendak oles eyeshadow pun boleh membuatkan aku stress. Kalau tiada kedutan di bahagian kelopak ini kan lebih smooth je olesannya.
Betul juga. Itulah tip cantik pertama saya terima daripada bekas Pengarang Kecantikan di tempat kerja lama saya.
Ada bezakah di antara krim muka dan krim mata?
Ini antara soalan yang sering saya terima. Menurut Dr. Rachel Nazarian daripada kumpulan Pakar Dermatologi Schweiger di New York, ya ada perbezaan.
Walaupun kulit di bahagian ini adalah sebahagian daripada kulit wajah, namun, ia punya permasalahan yang lain dan berbeza daripada bahagian kulit yang lain. Malah lebih sensitif kerana ia adalah kawasan kulit yang lembut.
Tambahnya lagi, gol utama krim mata selain daripada mencerah, juga adalah untuk merawat dan mengurangkan kedutan. Krim ini biasanya menggunakan bahan kandungan yang sama seperti krim wajah yang lain cumanya ia lebih lembut dan tidak mendatangkan iritasi pada bahagian kulit halus ini.
Mulakan penjagaan mata sedari sekarang. Ini kerana kulit juga adalah sejenis organ kita. Dan semestinya memerlukan pemeliharaan. Masih belum terlambat untuk kamu menjaganya.
Apa pandangan anda?