Posted on December 18, 2020
Ini antara soalan tentang kecantikan yang sering kami terima, dan hari ini kami ingin berkongsi dengan kamu semua solusi kepada pertanyaan yang sering kami terima ini. Jika sebelum ini mungkin kamu juga tertanya-tanya, hari ini kamu sudah tahu jawapannya!
1- “Jika saya seorang yang tidak pernah konsisten dengan rutin penjagaan wajah harian saya, bolehkah kamu ajar saya bagaimana hendak melakukan rutin tersebut dengan betul dan teratur?”
Mudah sahaja. Rutin paling penting harus ada dalam kecantikan dan penjagaan wajah kamu ialah, mencuci, toner dan melembap. Ini adalah yang paling asas. Namun lebih baik jika kamu ada beberapa langkah penjagaan tambahan yang mana pada kami, juga antara rutin terpenting. Antaranya seperti, penjagaan bawah mata serta sapuan pelindung sinar. Jadi di sini, kami kongsi turutan yang betul. Bermula dengan mencuci wajah, diikuti menyapu toner, serum, krim pelembap wajah, krim mata dan akhir sekali pelindung sinar.
2- “Bagaimana hendak hilangkan lingkaran gelap bawah mata ini?”
Secara jujurnya, lingkaran gelap bawah mata tidak boleh hilang dalam masa yang sangat singkat. Ia memerlukan penjagaan yang berpanjangan dan sentiasa komited. Selain menyapu krim mata setiap malam sebelum tidur, cuba rutin tradisional. Setiap pagi, tekap sesuatu yang sejuk di bawah mata dan biarkan selama beberapa minit. Antara bahan yang boleh digunakan ialah seperti sudu, hirisan timun, kentang atau uncang teh. Simpan di dalam peti sejuk semalaman, dan gunakannya di sebelah pagi.
3- “Kenapa kulit wajah saya selalu breakout?”
Pastikan persekitaran dan gaya hidup kamu sihat. Ini adalah penyumbang utama kepada masalah kecantikan kulit. Belilah set penjagaan wajah paling mahal, jika kamu masih mengamalkan gaya hidup tidak sihat, semua itu tidak berguna. Antara yang harus kamu titikberatkan ialah seperti amalan minum air putih, kurangkan makanan berminyak dan pakai pelindung sinar. Merokok dan pengambilan alkohol berlebihan juga boleh menyumbang kepada masalah kulit dan kesihatan. Selain itu, pastikan pakaian, pelitup wajah, tuala mandi serta cadar dan bantal kamu sentiasa dalam keadaan bersih.
4- “Gincu bibir apa yang sesuai untuk bibir saya yang cepat kering dan merekah ini?”
Kamu mungkin perlu ucapkan selamat tinggal buat semua gincu-gincu bibir yang bertekstur matte. Kamu harus sedar, gincu jenis ini hanya akan membuatkan bibir kamu nampak lebih kering. Saranan saya sapu gincu jenis satin, baldu, glos atau berkrim. Sapu salap bibir sentiasa baik sebelum pakai mekap ataupun pada wajah yang polos. Salap bibir membantu membekalkan lembapan ekstra pada bibir kamu. Oh, jika kamu tidak suka menyapu gincu bibir jenis kemasan ini, kamu boleh cuba lip tint juga!
5- “Yang mana harus saya pakai dahulu, pemerah pipi atau highlighter sewaktu mekap?”
Sebenarnya kamu boleh sapukan kedua-duanya pada masa yang sama juga, tiada masalah. Tujuan pemerah pipi adalah untuk memberi warna pada wajah kamu manakala highlighter untuk mencipta glow. Tip kami, jika kamu mahukan trik wajah berseri semula jadi, layangkan highlighter dahulu kemudian lapiskan dengan pemerah pipi kamu.
Apa pandangan anda?