Posted on January 29, 2020
Sekarang ini kita banyak didedahkan dengan rawatan laser untuk mengembalikan bibir merah secara semula jadi. Namun kos rawatan ini tidaklah murah dan harus menjalani rawatan ini sekurang-kurangnya lebih daripada sekali. Walaupun tidak dinafikan rawatan estetika ini memang berkesan, namun saya punya solusi buat kamu yang tidak mahu mengeluarkan duit yang banyak hanya untuk mengembalikan bibir merah kamu. Hanyalah dengan menggunakan bahan-bahan yang ada di rumah kamu sahaja. Ya, mari saya kongsi petua semula jadi untuk bibir kembali merah bak delima ini.
Sebelum itu, kamu harus tahu mengapa bibir boleh menjadi gelap ataupun kusam. Ini adalah kerana ia disebabkan oleh terkena pancaran matahari secara berlebihan. Bukan sahaja wajah, malah bibir juga boleh terbakar. Selain itu, merokok, mengambil kafein secara berlebihan atau juga menggunakan produk kosmetik yang kurang berkualiti antara punca lain bibir jadi kusam.
Apa yang kamu boleh cuba ialah:
1- Madu
Sapukan secara rata madu pada bibir dan kemudian biarkan selama 15 hingga 20 minit. Biarkan ia meresap ke dalam bibir kamu. Setelah itu, bilaskan dengan air suam. Lakukan sebanyak 3 hingga 4 kali seminggu dan lihat sendiri perubahan bibir kamu dalam masa beberapa minggu. Bibir kamu akan kelihatan lebih cerah dan sihat. Ada juga petua lain yang mana kamu boleh mencampurkan madu bersama lemon sewaktu hendak menyapu rata pada bibir. Ini kerana manfaat lemon seperti yang semua tahu, ia memiliki kandungan vitamin C yang tinggi dan mampu mencerahkan permukaan bibir kamu itu.
2- Beetroot
Ubi bit atau lebih dikenali dengan nama beetroot ini adalah satu jenis makanan yang berwarna merah pekat secara semula jadi. Dan ia dikatakan memiliki manfaat pencerah semula jadi yang boleh membantu mencerahkan bibir yang gelap. Apa yang boleh kamu lakukan ialah, sapukan jus ubi bit ini pada bibir sebelum kamu masuk tidur. Warna merah tadi akan meresap ke dalam bibir sepanjang kamu tidur, dan keesokan paginya bibir akan nampak lebih merah. Selain itu, kamu juga boleh adunkan jus ubi bit ini tadi bersama jus lobak merah, dan kemudian sapu rata pada bibir. Biarkan selama 10 minit kemudian bilaskan dengan air suam. InshaAllah berkesan.
3- Buah Sebagai Glos Bibir
Jika kamu tidak yakin dengan glos atau salap bibir di pasaran, kamu boleh buatnya sendiri di rumah. Hanya gunakan buah-buahan segar rona merah semula jadi sebagai glos bibir kamu. Buah-buahan seperti buah strawberi, delima, buah naga ataupun beri merah ialah antara buah-buahan yang boleh kamu cuba. Apa yang harus kamu lakukan ialah lenyek dan kisar bahan-bahan ini tadi kemudian adunkan bersama sedikit madu. Setelah itu, oleskan pes tadi pada bibir, kemudian bilas bila ia sudah mengering. Lakukan sekerap yang boleh. Sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Kalau kamu hendak tahu, buah-buahan ini bukan sahaja membantu memerahkan bibir, malah ia juga memiliki manfaat seperti mampu mengembalikan nutrisi serta melembapkan lagi bibir.
Apa pandangan anda?