Posted on January 30, 2020
Ramai orang apabila bicara tentang alkohol dalam produk kosmetik, pasti akan langsung jawab bahan ini merbahayalah, tidak elok untuk kulit wajahlah. Namun adakah kamu sendiri tahu apakah sebenarnya kesan buruk yang ada pada bahan ini? Hari ini saya ingin kongsikan dengan lebih jelas lagi tentang bahan kontroversi ini dan segalanya yang kamu harus tahu tentang bahan bernama alkohol dalam kosmetik ini.
Tapi sebelum itu, apa itu alkohol? Jika di dalam dunia sains kimia, alkohol ialah sejenis kompaun organik terhasil daripada kumpulan hidroksil (-OH) yang diikat bersama atom karbon (atau dikenali dengan nama saturated carbon atom). Dan perkataan alkohol secara umumnya merujuk kepada alkohol primer iaitu ethanol atau ethyl alcohol.
Alkohol juga dilihat sering digunakan di dalam produk penjagaan diri. Mengapa alkohol sering digunakan di dalam produk penjagaan diri? Ini kerana alkohol boleh membantu bahan seperti retinol dan Vitamin C menyerap lebih banyak ke dalam kulit. Selain itu, ia juga bertindak sebagai bahan antiseptik, membantu menstabilkan kandungan pH serta sebagai bahan pengawet terbaik kepada sesuatu produk itu. Tidak lupa, alkohol juga mampu memberikan aroma kepada sesuatu produk itu.
Terdapat tiga jenis alkohol yang harus kamu tahu. Tiga alkohol tersebut ialah Simple Alcohols, Fatty Alcohols dan Aromatic Alcohols.
Simple Alcohol
Ini adalah jenis alkohol yang sering kamu lihat di dalam produk kecantikan. Ia bertindak sebagai bahan antiseptik. Kamu akan jumpa bahan ini di dalam produk yang dikhususkan buat mereka yang berkulit berminyak. Contoh Simple Alcohol ialah seperti methanol, ethanol, isopropyl alcohol dan denatured alcohol. Walaupun ia sejenis antiseptik, namun ia tetap memiliki kesan sampingan. Bahan ini boleh membuatkan kulit kamu menjadi lebih kering, keradangan dan mudah tumbuh jerawat. Ia boleh merangsang pengeluaran minyak yang berlebihan langsung mengakibatkan liang pori kulit terbuka luas. Sama seperti hand sanitizer. Ia juga tergolong dalam alkohol jenis ini. jika digunakan secara berlebihan, akan membuatkan kulit menjadi lebih kering. Lalu, bahan yang dianggap sebagai pelindung kulit tadi akan serta-merta menjadi lebih dan kemudian mendedahkan kulit kepada masalah kulit yang lain seperti iritasi.
Fatty Alcohol
Ini pula sejenis alkohol yang tidak membahayakan kulit kamu. Ia tidak mengeringkan kerana bersifat emolien. Fatty Alcohol ini diperoleh daripada lemak sayur-sayuran seperti kelapa, sawit dan sebagainya. Contoh-contoh Fatty Alcohol ialah seperti cetearyl alcohol, cetyl alcohol, decyl alcohol, lauryl alcohol dan caprylic alcohol. Alkohol jenis ini amat bagus pada kulit kerana ia kaya dengan manfaat lembapan. Tetapi, jika kamu punya alahan pada bahan seperti kelapa, kamu mungkin mahu mengelakkan produk yang memiliki bahan-bahan ini.
Aromatic Alcohol
Ia sedikit sebanyak memiliki sifat yang sama seperti jenis Simple Alcohol. Akan tetapi, ia tidak mengeringkan. Alkohol jenis ini lebih digunakan sebagai alkohol yang memberikan bau pada sesuatu produk dan bertindak sebagai bahan pengawet. Dan aromatic alcohol ini boleh didapati secara natural melalui ekstrak bunga ros dan minyak pati. Jika kamu ingin tahu produk apa yang menggunakan alkohol jenis ini, cari kandungan seperti benzyl alcohol, phenethyl alcohol dan vanillyl alcohol dalam produk kamu itu. Jika kamu gunakan produk yang memiliki kandungan alkohol ini secara berlebihan, boleh menyebabkan iritasi kepada kulit kamu.
Apa pandangan anda?