Posted on July 23, 2020
Kamu mungkin perasan nama glycolic acid ini amat popular di dalam produk kecantikan dan jenama-jenama seperti Chanel, Drunk Elephant, Mario Badescu dan banyak lagi memiliki produk yang mengandungi intipati ini. Namun, tahukah kamu apa itu sebenarnya glycolic acid ini? Adakah ia baik untuk kulit wajah kamu? Biar kami kongsikan segalanya yang kamu harus tahu tentang glycolic acid. Sememangnya ia magis penyelamat kulit wajah kamu.
Glycolic acid dikatakan dapat membantu membersih wajah, memiliki manfaat antipenuaan serta menyekatakan tona kulit. Namun, dari mana wujudnya asid ini?
Asid ini berasal daripada tebu dan tergolong dalam keluarga asid alpha hydroxy (AHA) yang juga terdiri daripada asid malik dan laktik yang biasa digunakan di dalam kebanyakan produk penjagaan kulit wajah. Menerusi satu temubual huffpost bersama Loretta Ciraldo, pakar dermatologi jenama Dr. Loretta Skincare, asid ini popular di dalam dunia kecantikan.
Menurut Ciraldo, secara kimianya, ia bahan molekul kecil. Jadi, bila ditempatkan terus ke kulit, ia mampu meresap secara serta-merta. Dan bahan ini telah digunakan oleh pakar dermatologi sejak berpuluh tahun lalu. Fungsi utama glycolic acid ini ialah menyahkan kulit mati pada permukaan kulit. Maka, tidak hairan jika kebanyakan produk dan rawatan jenis chemical peel menggunakan solusi asid ini.
Bukan itu sahaja, glycolic acid ini sebenarnya sesuai digunakan untuk mereka yang sering memiliki masalah jerawat. Buat yang memiliki bintik hitam dan putih juga amat digalakkan. Ini kerana seperti yang saya kongsikan tadi, asid ini berfungsi menyah kulit mati pada kulit wajah. Dan menurut Ciraldo lagi, segala kotoran pada kulit wajah ini berpunca daripada kulit mati yang tersumbat pada liang pori. Asid ini juga mempunyai keupayaan untuk benar-benar masuk ke dalam folikel rambut dan melonggarkan sebum serta protein yang yang tersumbat yang disebabkan oleh bintik hitam dan putih tadi.
Akan tetapi harus kamu tahu juga, tidak semua produk glycolic acid ini dijual dalam bentuk yang sama. Ia memiliki pelbagai laras larutan dan boleh dijumpai dalam pelbagai jenis produk seperti pencuci wajah, toner, krim dan pupur. Kamu boleh jumpa setiap produk ini memiliki perbezaan peratus larutan asid yang berbeza. Kadar laras ideal untuk asid ini adalah di antara 8 hingga 30 peratus. Menurut Ciraldo, kebanyakan produk jenis asid ini akan mengandungi kadar pH yang rendah. Dan kandungan glycolic acid paling ideal di dalam satu-satu produk itu adalah sebanyak 10 peratus bersama kandungan pH 3.5. Ia selamat untuk kegunaan harian.
Jadi, selepas ini kamu sudah tahu bagaimana hendak menggunakan produk penjagaan wajah yang mengandungi asid glikolat ataupun lebih dikenali dengan glycolic acid ini dengan lebih baik, bukan?
Apa pandangan anda?