Posted on January 15, 2020
Sememangnya bulan ini penuh dengan majlis anugerah. Kehangatan malam anugerah Golden Globes belum pun berakhir, kita telah dimeriahkan pula dengan majlis anugerah Critic’s Choice 2020. Namun, ada beberapa selebriti yang hadir di malam Critic’s Choice Awards 2020 ini yang menambat hati saya. Mari kita lihat antara solekan dan dandanan rambut terbaik barisan selebriti yang melewati karpet merah anugerah Critic’s Choice 2020 ini.
Lupita Nyong’o
Antara yang mendapat perhatian ramai sewaktu melewati karpet merah. Semua mata tertumpu pada dandanan rambut updo nya oleh Vernon François seolah-olah berbentuk kepungan awan yang kemudiannya diikat menggunakan gulungan dawai emas. Begitu kreatif! Selain itu, gabungan solekan mata rona gangsa bersama anting-anting metal daripada palet rona yang sama melengkapkan lagi look keseluruhan Lupita malam itu.
Zendaya
Selain daripada top metalnya yang menarik perhatian ramai, solekannya juga mendapat banyak pujian. Antara yang tercantik pada saya malam itu. Zendaya mengenakan solekan monokromatik sepadan dengan look keseluruhannya itu. Bibir juga dilayang gincu bibir merah jambu lembut bertekstur glos.
Lucy Hale
Saya sukakan bagaimana dia memadankan palet rona tanah bersama hijau pudina. Walaupun ada antara pengkritik yang rasakan solekan ini tidak menaikkan seri wajah Lucy, tetapi saya suka akan kreativiti yang ditampilkan jurusolek Kelsey Deenihan. Tetapi banyak pengkritik suka pada dandanan rambut Lucy malam itu. Hasil Kristin Ess, gaya rambut Lucy cukup chic dan begitu inovatif. Kamu bayangkan, Ess hanya menggunakan aksesori anting-anting. Cool bukan? Ess memilih untuk menampal anting-anting mutiara pada pin rambut (yang digunakan untuk mengemaskan rambut) sebagai aksesori rambut.
Florence Pugh
Wajah baru yang melewati karpet merah Critic’s Choice tahun ini, namun dia berjaya menarik perhatian ramai. Lihat sahaja keseluruhan solekan wajah yang cukup chic dan glamor. Dengan hanya menggunakan palet rona merah jambu lembut sahaja dia mampu memberikan satu hasil solekan yang wow. Solekan matanya yang memukau dengan layangan pembayang mata jenis kemilau kemudian bertekstur separa basah itu antara solekan mata yang cukup in sekarang.
Apa pandangan anda?