Posted on January 28, 2020
Bahangnya masih belum habis. Pada saya, semalam hari paling menarik sekali sudah tentu buat penyanyi Billie Eilish. Bukan itu sahaja, sungguh meriah malam majlis anugerah muzik paling berprestij dengan barisan persembahan kelas pertama serta gaya penampilan selebriti yang hadir. Banyak yang menarik perhatian saya. Usah borak panjang, mari saya kongsi antara solekan dan gaya rambut paling menarik di Grammy Awards 2020 kali ini.
LIZZO
Pada saya solekannya biasa sahaja. Namun kukunya menarik perhatian saya kerana ia tampil cukup ‘ekstra’ malam itu. Eri Ishizu, penata rias kukunya melakar nombor 8 pada setiap kuku Lizzo sebagai simbol kepada lapan pencalonan anugerah Grammy yang dimiliki wanita ini. Menggunakan pewarna kuku mewah Christian Louboutin dengan tatahan batu kemilau sebagai aksesori yang dibiar tergantung pada hujung kuku Lizzo.
DUA LIPA
Apabila kita diajar untuk tidak membiarkan akar rambut nampak seperti Dua di dalam gambar ini kerana ia membuatkan penampilan kamu tidak cantik, Dua pula melakukan sebaliknya. Mungkin rona rambutnya itu tidak menyerlah, seserlah rona matanya malam itu. Solekan smoky dengan suntikan pembayang mata kemilau sudah cukup membuatkan penampilan Dua tampak cukup menawan.
H.E.R
Saya sukakan solekan matanya! Rona ungu kemilau cukup menarik perhatian sesiapa yang memandangnya walaupun H.E.R dilihat menyarung cermin mata. Kemudian solekan bibir rona coklat jingga juga antara yang menangkap pandangan saya. Selalu saya membayangkan padanan warna ini akan mengelamkan keseluruhan solekan, namun H.E.R membuktikan yang sebaliknya. Selain itu, lihatlah gaya rambut wanita ini. Anak rambut yang dikemas rapi kemudian rambutnya yang sebelum ini sering dilihat gaya lepas, malam tadi kita lihat dia mengikat bun tinggi. Tampak kemas.
BILLIE EILISH
Walau apa yang disarung wanita ini, pastinya nampak cool. Seperti gaya rambut mullet moden yang digayakan Billie ini. Kemudian hanya sebahagian atas sahaja diwarnakan rona hijau neon. Dia buat gaya penampilan ini langsung tidak nampak pelik. Kerana malam itu dia menyarung dari atas hingga bawah busana Gucci, kukunya juga tidak dilupakan. Dicat rona hijau dengan cetakan logo jenama mewah ini berlatarkan warna hitam. Dia sememangnya nampak cukup cool dengan persalinannya malam itu.
BILLY PORTER
Bukan Billy Porter jika tidak memberikan sebarang kejutan di karpet merah. Dia tampil dengan produksi dramatik. Sudahlah busana yang disarungnya itu cukup menarik perhatian, dia mahu lebih ekstra menyarung topi yang punya fungsi tirai lingsir automatik memperlihatkan solekan wajahnya yang pada saya cukup powerful itu. Memilih palet rona biru bersama perak metalik sebagai palet utamanya, dia menyapu penuh pembayang rona biru kemudian dibentuk dengan garis kasar menggunakan penggaris mata rona perak kemilau. Begitu juga bibirnya yang dilayang gincu rona perak. Kesimpulannya, solekan Billy memang amat dramatik.
Apa pandangan anda?