Posted on July 9, 2020
Semakin banyak jenama kecantikan global yang mula mengambil pendekatan seperti bebas kekejaman (cruelty-free), vegan, organik dan bersih ke atas produk mereka. Bagaimana pula dengan produk bulu mata palsu yang masih mengamalkan pembuatan menggunakan bulu cerpelai (mink)? Baru-baru ini Sephora mengumumkan mereka akan berhenti menjual produk bulu mata bulu cerpelai ini baik di stor atau atas talian. Menerusi kempen yang dijalankan badan kebajikan PETA (Ethical Treatment of Animals) ini, lebih dari 280,000 orang menghantar e-mel menyatakan rasa ketidakpuasan hati terhadap penggunaan bulu mata jenis ini. Itu yang membuatkan Sephora terus mengambil langkah drastik ini tanpa perlu berfikir panjang.
https://www.instagram.com/p/CCEXvzWnakb/?utm_source=ig_embed
Tiada bezanya kot baju jenis bulu cerpelai dengan bulu mata jenis ini. Kedua-duanya mengamalkan kekejaman terhadap haiwan comel ini. Jadi dengan itu, jenama kecantikan, Velour, juga semalam mengumumkan untuk berhenti memproses bulu mata bulu cerpelai ini.
Menurut Pengasas juga Ketua Pegawai Eksekutif Velour, Mabel Lee,
Sewaktu saya mula membina jenama ini, misi saya ialah untuk membuat bulu mata yang berkualiti tinggi, lembut, tampak natural serta mudah dipakai dan memberi keselesaan sepanjang hari. Dan untuk mencapai piawaian itu, sesetengah koleksi kami diperbuat daripada bulu ceperlai sebagai komponen utama dalam bulu mata kami.
Kini janji Lee,
Velour akan sentiasa menyokong segala komitmen kami terhadap inovasi dan cabaran ketika kami berkembang sebagai satu jenama. Kali ini, kami mencabar diri untuk beralih dari penggunaan bulu cerpelai ini.
Velour berjanji mereka akan seratus-peratus bebas bulu cerpelai pada 2021. Tahun ini, mereka akan menghentikan proses pembuatan bulu mata jenis ini, dan apa yang terlihat di pasaran adalah stok terakhir mereka.
Satu langkah yang bijak dan kami harapkan agar lebih banyak lagi jenama kecantikan yang menghasilkan bulu mata palsu untuk sama-sama mengikuti pergerakan ini. Kadang-kala orang terlupa tentang kekejaman binatang melalui produk ini. Apabila Sephora sudah mengambil langkah berani menyahkan produk bulu mata jenis, itu bermakna sememangnya mereka percaya dan berani menegakkan keprihatinan para pembeli di luar sana.
Maka, kita sebagai pembeli juga harus sudah tahu tanggungjawab dalam menyokong pergerakan ini.
Apa pandangan anda?