Posted on August 6, 2020
Selasa lalu, STAIL dijemput untuk menyertai sesi yoga wajah bersama Pelatih Selebriti Yoga Wajah, Koko Hayashi anjuran Suppatreat. Buat kamu yang tidak mengenali Koko Hayashi, dia pelatih kelahiran Jepun yang berpusat di Los Angeles. Dia juga pernah dilihat muncul di program TV Magic for Humans di Netflix, Shark Tank dan Keeping Up With The Kardashians. Selain itu Koko turut memiliki akaun Youtube yang kini sudah mencapai lebih 17 juta tontonan.
https://www.facebook.com/kuwtk/videos/484277405645792/
Saya agak teruja apabila dijemput tim Suppatreat, badan komuniti yang sering mengumpulkan wanita untuk program-program perkasa diri dari segi rohani dan jasmani. Sesi yoga wajah yang berlangsung di Zoom hari itu amat menghiburkan. Koko mula bertanya jika kami punya sebarang masalah pada bahagian wajah yang hendak diperbaiki. Daripada situ Koko membantu dan memberi solusi bagaimana hendak menangani masalah tersebut. Seperti isu kantung mata, ekspresi muka dan sebagainya. Koko turut memberi beberapa tip yang berguna untuk kami amalkan setiap hari.
Yoga wajah ini amat popular di Amerika Syarikat dan fungsi sebenar aktiviti ini ialah untuk menenangkan otot wajah melalui senaman sederhana. Ia mampu merangsang aliran darah pada wajah, dan menerusi sirkulasi darah ini, ia dapat mengaktifkan produksi kolagen lantas menegang serta menggebukan lagi kulit wajah pada masa sama menunda penampilan kedutan dan garis halus.
Kata Koko,
Yoga wajah adalah salah satu solusi semula jadi yang bagus untuk mengembalikan penampilan awet muda kamu. Dan disebabkan saya berpusat di Los Angeles, ini ialah peluang yang sangat jarang bagi saya di mana dapat berinteraksi bersama penonton di Asia Tenggara. Dan semestinya saya sangat gembira apabila diberi peluang bekerjasama bersama Suppatreat.
Menurut Sarah Lian, Pengasas Bersama Suppatreat,
Suppatreat adalah segalanya tentang memberi pengalaman dan peluang pemerkasaan. Dan kami menggalakkan wanita dan lelaki untuk sama-sama menyertai bengkel ini. Mengapa perlu mengubah wajah secara tidak semula jadi sedangkan kamu boleh memperbaiki otot kamu. Dan jika kita boleh amalkan yoga dan senaman untuk tubuh, mengapa tidak untuk wajah juga?
Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Koko Hayashi yang gemar berkongsi kisah inspirasi kesukaran yang dialami dirinya serta berkongsi mesej tentang kecantikan semula jadi ini.
Buat kamu yang ingin sertai bengkel ini, bolehlah sertai bengkel Koko Face Yoga ini pada 16 Ogos 2020, jam 11 pagi melalui aplikasi Zoom. Dan daftar di www.suppatreat.com dengan harga RM99 untuk sesi 60 minit.
Apa pandangan anda?