Posted on February 4, 2021
Siapa yang tak terkejut sekiranya dapat tahu bakal menantu gay. Apalagi Puan Seri ini sering memuji-muji bakal menantunya. Kacak, bergaya, pandu kereta mewah, baik dan berhemah…
Malam minggu, Norma sedang menonton Netflix di rumah. Siri Korea terbaru, Start Up yang baru dua episod ditontonnya itu begitu menarik minatnya. Walaupun ceritanya berkisar anak-anak muda yang sedang lagi mahu memulakan perniagaan, kisah jatuh bangun ditipu ditindas kemudian bangkit kembali memperjuangkan nasib begitu memberi semangat dan harapan untuk Norma. Tambah lagi dalam waktu-waktu PKP ini. Jalan cerita sebeginilah yang membuat Norma boleh terus mengharungi PKP tanpa kegusaran dalam kepalanya.
Telefon pintar Norma tiba-tiba berdering memecahkan konsentrasinya…
Nama Puan Sri Zurina tertera di skrin telefonnya. “Eh apa pula urusan Puan Sri Zurina (PSZ) menghubungi malam-malam begini?” Tanya Norma dalam hati. Nak kata esok mereka bertemu janji dan mungkin dia mahu membatalkan tiada pula mereka merancang apa-apa. Kalau bukan benar-benar penting, Whatsapp pun sudah memadai. Mengapa perlu sampai menelefon? “Hello,” Norma menjawab panggilan PSZ.
“Puan Sri, is everything okay?” Norma bertanya. Yang kedengaran hanyalah kesepian. PSZ tidak terus menjawab. Tak berapa lama selepas itu, esakan kecil PSZ mula muncul. “Why Puan Sri… what’s wrong?” Norma cuba bertanya lagi. Sambil teresak, PSZ mula berbicara. “Sorry Norma, I terpaksa call you malam-malam begini. I dah tak tau pada siapa lagi I perlu cerita…”
Begitulah Norma. Bukan seorang, bukan dua tetapi ramai juga kenalannya yang senang menghubungi dia sekiranya mereka perlu memberitahu apa-apa berita waima sedih, gembira atau sekadar mahu berbual kosong sahaja. Mungkin kerana sikapnya yang tidak mengadu domba, sedia mendengar dan tidak menghakimi menjadikan dia tempat mereka senang untuk meluahkan apa-apa.
“Tak mengapa Puan Sri, I’m here to listen. Apa yang dah terjadi?” Norma masih tidak dapat menebak apakah yang terjadi kepada PSZ kerana tiada apa-apa cerita pun daripada PSZ kebelakangan ini yang berbau gundah. “Isyana…” PSZ terhenti seketika. Esakan semakin kuat. “Akbar… Akbar tu… I baru dapat tau…” kata-kata PSZ tenggelam dalam esakannya. “Sabar dulu Puan Sri. Sabar… take a deep breath… Relaks dulu…” PSZ menghela beberapa nafas kuat. Norma hanya menunggu.
Isyana ialah anak perempuan PSZ. Empat bulan lalu dia bertunang dengan teman lelakinya, Akbar. Lama juga mereka berpacaran sejak kolej lagi. Setelah itu hampir dua tahun juga mereka bersama. Akhirnya keluarga Akbar menghantar rombongan untuk mengikat pertunangannya dengan Isyana. Tentulah waktu itu PSZ paling gembira. Walaupun ada juga cerita-cerita yang menunjukkan dia tidak berapa senang dengan Akbar kerana perangainya tetapi adatlah kalau anak bercinta. Susah untuk mana-mana ibu untuk menyenangi semua tindak-tanduk kekasih anak mereka terutama sekali jika anak perempuan.
Pun begitu, PSZ bangga juga kerana Akbar datang daripada keluarga berada. Akbar juga berjaya. Mendapat kerja sebagai Eksekutif Jualan kereta mewah, memandu juga kereta mewah, kacak lagi bergaya. Tidak malulah kalau pun dia perlu memperkenalkan Akbar sebagai teman lelaki anaknya Isyana.
I baru dapat tahu Akbar, I punya bakal menantu gay…
Terbeliak biji mata Norma mendengar kata-kata PSZ. Dia sama sekali tidak menyangka ini yang bakal diberitahu PSZ. “Macam mana you tahu Puan Sri?” PSZ bercerita bahawa minggu lepas dia mendapat kiriman Whatsapp daripada nombor yang tak dikenali. Mesej itu berbunyi, “Saya perlu berjumpa Puan Sri. Ada sesuatu yang Puan Sri perlu tahu tentang Akbar. Sebelum terlambat.” Awalnya PSZ tidak dapat menebak bahawa perkhabaran ini yang akan didengarnya daripada pengirim teks tak dikenali itu. Apa yang dia jangkakan mungkin dia bekas kekasih Akbar yang tidak dapat melupakan Akbar atau perempuan lain yang turut mempunyai hubungan dengan Akbar mahu membuka rahsia.
“You jumpa dengan orang itu Puan Sri?” Norma bertanya. “Ya. I pergi jumpa dia. Dia lelaki rupanya Norma. I perlu tahu apa yang mahu diberitahunya. Ini melibatkan kehidupan Isyana. I takut juga kalau dia tersilap langkah dan menyesal nanti.”
Apa yang diberitahu oleh pengirim teks itu tentunya lebih mengejutkan PSZ. Dia rupa-rupanya teman lelaki kepada Akbar. Sudah setahun mereka menjalinkan hubungan intim. Dan rupanya lelaki itu majikan Akbar. “Dia bukan lah seorang pekerja yang bagus Puan Sri. Tapi kerana saya sayangkan dia, saya bayar juga gajinya memikirkan saya mahu menjaga hubungan kami,” begitu yang diberitahu lelaki itu.
“Tapi orang boleh cakap apa sahaja Puan Sri. Betul atau tidak apa yang dikatakannya itu? Entah dia dengki kepada Akbar atau sengaja mahu menghalang perkahwinan dengan Isyana. Mana kita tahu? Apa buktinya mereka ada hubungan?” Norma mencadangkan.
“Dia tunjukkan video Norma…”
“Huhhhhh?!??!? Video apa Puan Sri?” Norma ingin tahu. PSZ bertanya juga kepada pengirim teks itu apa buktinya Akbar gay kerana jika tiada bukti bagaimana dia boleh mempercayai. Dan kerana itu si pengirim teks menunjukkan video seks antara dia dan Akbar. “Subhanallah Puan Sri… bagaimana…?” Norma tak sempat pun menghabiskan kata-katanya. Esakan PSZ semakin kuat. “Ya Allah Norma apakah jenis dugaan ini. I pula tonton video itu. I memang betul-betul tak sangka. I memang tak nampak tanda-tanda langsung pada Akbar…” PSZ tidak menghabiskan pun kata-katanya kerana tenggelam dalam esakannya sendiri.
Norma hanya mampu menenangkan PSZ dengan kata-kata sabar. “Tak mengapa lah Puan Sri. At least you tahu sebelum mereka berkahwin. Apa you nak buat sekarang?”
Tentulah PSZ tidak mahu Isyana berkahwin dengan Akbar kalau sudah begini berita yang didengarnya. Dia pergi berjumpa dengan ibubapa Akbar kerana mahu menjelaskan dan mendapat penjelasan daripada mereka. Si pengirim teks juga sudah memecahkan tembelang Akbar kepada mereka. Yang pentingnya ibu Akbar tetap mahu meneruskan perkahwinan. PSZ mengagak bahawa ibunya tahu bahawa Akbar gay dan mahu perkahwinan ini sebagai harapan untuk mengubah sexual preference anak lelakinya.
Namun PSZ tak sanggup membenarkan Isyana melalui derita di kemudian hari. Lebih memeranjatkan PSZ ialah apabila dia memberitahu berita ini kepada Isyana, dia seolah-olah sudah tahu tentangnya dan tidak langsung menunjukkan tanda-tanda terkejut atau kecewa dengan Akbar malah dia tidak kisah pun meneruskan perkahwinan dengan Akbar. Ini lebih meruntun jiwa PSZ. Sudahlah dia tidak sama sekali menyangka bakal menantu gay, anaknya sendiri seperti bersekongkol dengan bakal suaminya.
Dia tidak faham apakah yang sudah terjadi dengan dunia hari ini. Apa-apa pun dia sendiri sudah memutuskan pertunangan Isyana dan Akbar walaupun dia tahu mereka masih lagi keluar bersama. Norma pun tidak tahu apakah kesudahannya cerita mereka sampailah dia mendapat panggilan telefon yang seterusnya.
Apa pandangan anda?