Kali pertama saya bertemu Ceddy untuk sesi temubual ini, perkara pertama yang saya perasan bukanlah persona yang biasa dilihat di skrin — tetapi ketenangan dalam cara dia bercakap dan memilih setiap perkataan. Perbualan kami terasa lebih seperti refleksi daripada sekadar sesi soal jawab. Tidak tergesa-gesa, tidak cuba memenuhi ekspektasi sesiapa. Sebaliknya, ada kesedaran yang jelas tentang siapa dirinya hari ini, dan siapa dirinya yang masih sedang dibentuk.
Sepanjang perbualan, jelas bahawa bagi Ceddy, apa yang dilihat di ruang digital hanyalah satu lapisan. Satu perlindungan, mungkin. Kerana di sebaliknya, dia adalah seseorang yang sentiasa mempersoalkan kehidupan, manusia dan perubahan — satu proses yang secara perlahan membentuk versinya yang lebih sedar dan matang. “Ku topengkan segala harap tiada yang akan perasan,” petikan daripada lirik Selangkah, single debutnya yang dilancarkan pada penghujung 2025, terasa seperti cerminan jujur kepada perjalanan itu.

Keyakinan Yang Dibina Melalui Refleksi
Ramai mungkin melihat Ceddy sebagai seorang yang yakin. Namun realitinya, perjalanan dalaman itu jauh lebih kompleks. “Saya banyak berfikir dan sering mempersoalkan diri sendiri. Kadang-kadang penuh dengan insecurity juga — saya pernah bandingkan diri dengan personaliti lain.” Hari ini, dengan bantuan terapi dan proses refleksi diri yang berterusan, Ceddy belajar untuk melihat pencapaiannya dengan perspektif yang lebih sihat. Keyakinan yang dilihat orang bukan datang daripada hidup tanpa keraguan, tetapi daripada kesediaan untuk menghadapinya dengan jujur. Pada tahap hidup sekarang, satu nilai menjadi teras kepada segalanya — integriti. Keselarasan antara siapa dirinya sebagai individu dan apa yang dibinanya secara profesional. Tanpa perlu mengorbankan ketenangan diri.
Daripada Reaksi Kepada Respons
Melihat kembali perjalanan kerjayanya beberapa tahun lalu, perubahan paling besar bagi Ceddy adalah ketenangan. Dulu, dia merasakan perlu memberi reaksi terhadap segalanya — sehingga konflik di media sosial menjadi perkara biasa. Hari ini, perspektif itu berubah. “Tidak semua perkara memerlukan reaksi. Ada masanya diam itu juga satu bentuk kekuatan.”
Kesedaran untuk berkembang juga bukan datang daripada satu momen dramatik, tetapi daripada rasa kosong yang muncul walaupun segala perkara luaran kelihatan baik. Dari situ, dia tahu dia mahu membina sesuatu yang lebih bermakna daripada sekadar perhatian — meninggalkan legasi yang positif. Menariknya, dalam semua perkara yang dilakukannya — content, hosting, muzik, perniagaan — semuanya bagi Ceddy adalah satu bentuk penceritaan. Penceritaan yang memaksanya memahami emosi, manusia dan dirinya sendiri.

Suara Yang Datang Dengan Tanggungjawab
Sebagai seseorang yang membesar dengan lebih banyak memerhati dan mendengar, Ceddy secara semula jadi tertarik dengan tingkah laku manusia — apa yang difikirkan, apa yang dirasakan dan apa yang sering tidak diucapkan. Baginya, kejujuran dan kontroversi adalah dua perkara yang sangat berbeza.
Kejujuran datang dengan niat dan tanggungjawab. Kontroversi pula selalunya lahir daripada keinginan untuk mencetus reaksi. Dalam dunia digital yang bising hari ini, Ceddy memilih untuk bertanya dua soalan sebelum bersuara: Adakah suara ini diperlukan? Dan adakah ia memberi nilai?
Identiti Malaysia Yang Berlapis
Bagi Ceddy, menjadi rakyat Malaysia bermaksud hidup dalam kepelbagaian — budaya, bahasa dan perspektif yang berbeza. Namun pengalaman paling bermakna dalam berinteraksi dengan audiens bukanlah tentang nombor atau reach. Tetapi apabila seseorang mengatakan mereka rasa difahami dan dilihat. Kerana pada akhirnya, Ceddy percaya satu perkara tentang manusia: Kebanyakan orang hanya mahu didengari, bukan mahu menang.

Selangkah: Muzik Sebagai Bahasa Emosi
Single debutnya, Selangkah, lahir daripada satu fasa refleksi yang mendalam — ketika dia memilih untuk memperlahankan langkah, memahami emosi dengan lebih jujur dan memberi ruang kepada dirinya untuk memproses apa yang dirasai, tanpa tekanan untuk sentiasa kelihatan kuat. Melalui lagu ini, mesej yang disampaikan kedengaran sederhana, tetapi sarat makna:
Tidak mengapa untuk berhenti seketika. Tidak semua perkara perlu diselesaikan dengan segera. Namun dalam masa yang sama, kekuatan tetap perlu dibina — supaya perjalanan itu boleh diteruskan, walaupun perlahan.
Buat Ceddy Ang, muzik membuka ruang ekspresi yang berbeza daripada platform lain. Ia menjadi ruang di mana emosi boleh wujud tanpa perlu dihuraikan secara logik — cukup sekadar dirasai dan difahami pada tahap yang lebih peribadi. Jika hanya satu mesej boleh dibawa pulang daripada lagu ini, ia jelas: “Harap kau terus kuat menuju kejayaan. Ikhlaskanlah”.
Ramadhan, Refleksi Dan Kesedaran
Ceddy Ang melihat kedatangan Ramadhan bukan sekadar perubahan rutin harian, tetapi satu ruang untuk kembali menyusun semula niat dan kesedaran diri. Bulan ini menjadi peringatan untuk lebih peka — terhadap keadaan diri sendiri, terhadap orang di sekeliling dan juga terhadap realiti dunia yang tidak semua orang melaluinya dengan mudah. Ia mengajak kepada empati, kesyukuran dan kesedaran bahawa setiap tindakan datang daripada niat.
Dalam refleksi itu, satu mesej kekal paling dekat dengannya: Bersikap lembut dengan diri sendiri. Kerana bagi Ceddy, pertumbuhan sebenar lahir daripada niat yang jujur — bukan daripada keinginan untuk menjadi sempurna.

Di Sebalik Persona dan Ruang Peribadi
Di luar perhatian umum, Ceddy sebenarnya sangat introspektif. Banyak masa dihabiskan bersendirian untuk berfikir dan memproses emosi. Hari ini, perkara yang paling penting baginya bukan lagi tentang kepantasan atau visibility. Sebaliknya, ia tentang ketenangan. Tentang kehadiran sepenuhnya bersama orang tersayang. Dan tentang belajar berdamai dengan diri sendiri, tanpa tekanan untuk sentiasa menjadi versi yang orang lain jangka atau mahukan. Salah satu hal yang paling merisaukan Ceddy adalah suaranya — secara metafora dan literal. Rasa gentar menyanyi, rasa ragu untuk benar-benar didengari. Tetapi akhirnya, dia memutuskan untuk mencuba. Satu prinsip mudah yang dia pegang: Jika bukan sekarang, bila?
Langkah Seterusnya: Meneroka Ruang Kreatif Yang Berbeza
Selepas mencuba pelbagai ruang kreatif — dari content, hosting, hingga muzik — Ceddy Ang kini menoleh ke arah cabaran baharu: lakonan. Bukan sekadar cameo lagi, tetapi satu peluang untuk menguji kemampuan dan menyampaikan cerita dengan cara yang berbeza. Bagi Ceddy, perjalanan ini bukan tentang mengejar populariti semata. Jika 10 tahun dari sekarang orang masih bercakap tentang dirinya, dia berharap mereka mengingatinya sebagai seseorang yang jujur, rajin dan sentiasa berkembang dan tidak takut menjadi manusia biasa.
Kejayaan menurutnya, hari ini bukan lagi tentang pengiktirafan luar atau bilangan tontonan, tetapi tentang keseimbangan yang sebenar: masih ada masa untuk diri sendiri, masih ada masa untuk orang tersayang dan yang paling penting — masih sihat. Setiap langkah yang diambil adalah tanda kesedaran dan niat, mengajar bahawa perjalanan itulah yang membentuk dirinya, bukan sekadar tujuan akhir.



















.gif)

Apa pandangan anda?