Posted on December 23, 2021
Tak sanggup Norma nak bercerita tentang suami kawannya seorang Datuk Seri telan cialis untuk puaskan nafsu perempuan simpanan. Tetapi bayangkan pabila dia terpaksa mendengar cerita ini daripada kawannya itu. Geli dan mual pun ada. Itulah kenyataannya. Nampak sahaja gah, segak dan tegap sampai nak menyimpan perempuan.
Hakikatnya keupayaan untuk memuaskan nafsu perempuan simpanan itu pun dah tak ada. Namun masih juga mahu menyimpan perempuan. Begitulah lelaki bila berpangkat dan berharta. Norma pun tak tahu apa yang mahu dibuktikan? Nak kata bini tak cantik, haiiii takkan lah Datin Seri Hani tu tak cantik lagi kot? Dia pun bukanlah tua lagi. Jauh lebih muda daripada Norma. Waktu Datuk Seri kahwin Datin Seri Hani, usianya di pertengahan 20-an. Itu adalah perkahwinan kedua Datuk Seri setelah bercerai dengan isteri pertamanya. Tulah Norma tak tahu apa yang nak dikejarkan sangat oleh Datuk Seri tu.
“Macam mana you tau Hani?” Norma bertanya kepada Hani waktu dia bercerita kepada Norma. Ceritanya yang Hani dapat tahu suaminya Datuk Seri telan cialis tu rupanya disebabkan driver mereka, Razif. Seperti biasa, setiap dua atau tiga bulan, Hani akan meminta Razif pergi ke farmasi biasa tempat mereka membeli ubat untuk mengambil stok vitamin dan suplemen yang biasa mereka ambil setiap bulan.
Tetapi bulan itu apabila Hani dapat bekalan stok yang di pass kan oleh Razif sekembalinya dari farmasi, dia mendapati ada beberapa botol ekstra dalam plastik farmasi. Dia pun terkejut awalnya. Fikirnya mungkin Razif punya. Manalah tahu Razif memerlukan untuk hubungan seks nya dengan isteri. Pada botol ekstra itu tertulis Cialis.
Hani pun pada keesokan harinya, memanggil Razif untuk bertanyakan tentang botol Cialis itu. “Razif… ini kamu punya ya?” Reaksinya agak terkejut apabila Hani bertanya dan menunjukkan botol Cialis tersebut. Sepertu takut pun ada juga. “Eh bukan Datin… bukan saya punya.” Jawabnya. “Habis kalau bukan kamu punya, siapa yang letakkan dalam plastik semalam?”
Lama juga Razif terdiam sambil menunduk tanpa kata. Hani kemudian mendesak lagi. “Siapa punya Razif? Saya bukan nak marah. Manalah tau kalau pharmacist tu salah masukkan ke, saya nak pergi pulangkan.” Razif memang orang yang takkan pernah menipu. Itu satu yang bagus tentang Razif. Hani memang tahu, Razif boleh dipercayai, jujur dan ringan tulang. Sebab itu, Razif sudah bekerja dengan mereka hampir 15 tahun lama.
“Sebenarnya Datin…” Dia diam lagi selepas itu. Hani menunggu sahaja sambungan kata-katanya. “Itu Datuk yang pesan…” Berderau darah Hani apabila mendengar jawapan Razif. Sungguh pun kalau ikutkan hati, Hani waktu itu juga mahu mencari suaminya dan bertanya untuk apa Cialis itu – tetapi kerana usia dan pelbagai lagi drama hidup yang telah dilaluinya sebelum ini, dia tenang sahaja di depan Razif.
Hani pelik juga kerana setahunya mereka dah bertahun-tahun tidak melakukan hubungan seks. Suaminya memang ada masalah untuk mempertahankan ereksi dalam hubungan seks. Jadi memahami situasi itu, mereka masing-masing seperti ada perjanjian dalam diam bahawa mereka lebih senang jika tidak melakukan hubungan seks. Tetapi dengan adanya Cialis itu, Hani merasakan ada sesuatu yang disembunyikan oleh suaminya.
Untuk Siapa Datuk Seri Telan Cialis?
Itulah yang bermain di benak fikiran Hani sekarang. Dia pasti Razif ada jawapannya. Tengah hari yang sama, Hani memang berjanji bertemu Norma untuk makan tengah hari. Dalam perjalanan ke tempat makan, Hani bertanya kepada Razif. “Kamu mesti tahu kan kenapa Datuk suruh kamu beli Cialis tu?” Kali ini Hani tak perlu pun mendesak Razif. Dia bercerita tanpa selindung. Rupa-rupanya Datuk Seri sudah enam bulan membeli Cialis. Sebabnya ialah sudah enam bulan juga dia ada perempuan simpanan.
Dalam seminggu paling kurang dua tengah hari Datuk Seri mesti berkunjung ke rumah perempuan simpanannya itu di sebuah kondo mewah di Bangsar. Patutlah Hani tidak dapat menghidu langsung kegiatan suaminya. Setiap malam dia pasti pulang makan malam dan setiap hujung minggu mereka pasti akan bersama. Rupa-rupanya dia berjumpa waktu makan tengah hari.
Tentulah Hani sakit hati mendapat tahu cerita ini daripada Razif. Hati wanita mana yang tidak hancur jika dapat tahu bahawa suaminya ada menyimpan perempuan lain? “Saya hargai kejujuran awak Razif. Saya akan pastikan Datuk tidak tahu tentang perkara ini.” Hani tahu bahawa jika perkara ini diperbesar-besarkan, Razif pasti akan hilang kerja.
Setelah Hani bercerita kepada Norma tentang perkara ini, tanya Norma, “Apa yang you nak buat sekarang?” “Entahlah Norma. Kalau nak diikutkan hati memang I nak siat-siat muka suami I. Tapi itu tidak akan menyelesaikan apa-apa kan?” Pada firasat Norma, bukanlah kerana Datuk Seri menyimpan perempuan itu yang dikesalkan sangat tetapi yang lebih disesalinya seperti yang dikatakan oleh Hani sendiri, “Mengapa Datuk Seri telan Cialis untuk perempuan simpanan tapi bukan untuk I?”
Apa pandangan anda?