Posted on January 5, 2022
Diari Perempuan Simpanan, 2 Januari 2022 Aku amat bersyukur dengan semua yang aku miliki hari ini. Walaupun dua tahun dunia dilanda pandemik dan COVID-19 banyak menghentikan pelbagai aktiviti di dunia, namun bagi ku ia hanyalah memperlahankan roda kehidupan ku. Yang sebelum ini aku rasakan terlalu pantas berputar.
Aku kenal dengan Azman (bukan nama sebenar) sejak 2018. Kami berkenalan di sebuah kafe di Kuala Lumpur. Waktu itu aku sedang menunggu seorang teman yang sudah hampir setahun aku tak jumpa. Dia berpindah ke Austria mengikut suaminya. Kami selalu lah mengunjungi bar-bar di ibu kota dan di situ juga dia bertemu dengan suaminya yang waktu itu bekerja di sini. Setelah dua tahun bercinta sakan, untung badan lelaki Austria itu melamar dia dan mereka pun berkahwin. Lalu berpindah lah dia dan beranak satu dah pun.
Waktu aku mahu bertemu teman aku itu, dia pulang bercuti dan bertemu keluarga. Dan aku pun ambil kesempatan berjumpa untuk melepas rindu. Sebelum dia datang itulah, tiba-tiba satu susuk jejaka bertubuh tegap memakai sut masuk ke dalam kafe bersama seorang budak perempuan kira-kira berusia 12 tahun. Dia menolak daun pintu kafe dan mata kami bertentangan. Dia tidaklah muda tetapi tidak pula terlalu tua. Rambutnya masih lebat tetapi sudah ada beberapa helai uban yang dibiarkan.
Tubuhnya tinggi mungkin hampir enam kaki. Karismanya membuat aku berasa segan walaupun tidak ada pertukaran kata atau bahasa tubuh sekalipun. Aku menunduk melihat skrin telefon menyembunyikan rasa malu yang aku sendiri tidak tahu sebabnya. Seketika kemudian aku mengangkat kembali muka dan aku lihat dia di sudah berdiri di kaunter tetapi masih memandang ke arah ku. Aku tunduk kembali.
Nah… apa-apa pun itulah memori perkenalan aku dengan Azman yang aku takkan lupakan sampai bila-bila. Budak perempuan itu ialah anaknya yang pertama. Dia membeli roti di kafe itu kerana kafe itu kegemaran anak perempuannya itu. Dia ada seorang lagi anak perempuan berusia 10 tahun dan sudah berkahwin hampir 15 tahun.
Setelah itu, kami sering bertemu secara rahsia (tentunya) kerana dia sudah berkahwin. Dia bukanlah lelaki berkahwin pertama yang aku kenal dan menjadi kawan. Memang selalunya lelaki kategori ini yang tertarik dengan aku. Sejak aku mula kerja lagi memang aku sering didekati oleh lelaki yang sudah berkahwin. Aku sendiri tidak tahu sebabnya.
Kadang-kadang pabila aku renung sendiri, mungkin juga kerana tempat kerja aku. Sejak tamat sekolah, aku sudah mula bekerja di sebuah butik jenama antarabangsa di KLCC. Butik itu banyak pula dikunjungi oleh lelaki-lelaki yang sudah berkahwin dan berkedudukan. Azman mungkin lelaki pertama yang berkahwin yang bukan aku temui di butik tempat aku bekerja.
Kami berkawan terus sampai 2019. Bermula Julai 2019, Azman menyewakan aku sebuah rumah di U-Thant. Awalnya aku keberatan juga kerana aku tidak mahu berhutang budi dengan Azman. Tetapi dia bersungguh-sungguh juga mahu aku tinggal di rumah itu. Aku tahu apa yang dia lakukan. Dia mahu menyimpan aku. Sampai waktu itu, kami bukan setakat berkawan biasa. Kami memang bercinta.
Tapi kami masih belum tidur bersama. Aku anggap bahawa keputusannya untuk menyewakan rumah itu untuk aku ialah kerana dia mahu tidur dengan aku. Dan jujur aku tidak kisah kerana aku juga memang mahu tidur dengan dia.
Diari Perempuan Simpanan 3 Januari 2022
Jadi bermula Julai 2019, tinggallah aku di rumah yang Azman sewakan untuk aku. Happy juga aku sebab dekat dengan tempat kerja. Tambang Grab pun murah. Jimat belanja. Azman akan selalu datang ke rumah aku waktu makan tengah hari pada hari aku tidak bekerja. Kadang-kadang sekali seminggu. Adakalanya dua kali seminggu. Semua bergantung kepada jadual kerja aku.
Bermula Ogos 2019 pula, Azman mula memasukkan duit ke dalam akaun aku. Amaun pertama yang dimasukkan ialah RM1500. Jumlahnya tidak tetap setiap bulan tetapi paling kurang memang inilah jumlah paling minimum yang dimasukkan oleh Azman setiap bulan. Aku sendiri tak tahu mengapa dia begitu baik kepada ku. Tidak pernah sekalipun aku minta apa yang Azman beri kepada aku cuma aku bersyukur dengan semua yang diberikannya. Bagi aku ini ialah rezeki yang tak patut (malah bodoh) kalau aku tolak.
Pada aku, kami berkawan kemudian bercinta dan kemudian tidur bersama – semua ini ialah perkara biasa yang terjadi kepada semua wanita. Setakat ini aku tidak pernah diserang oleh isteri Azman. Tidak pernah juga ada perkara buruk pernah terjadi antara kami. Jadi bagi aku semua baik-baik sahaja.
Penghujung 2019, dunia mula dilanda COVID-19. Januari 2020, dunia dikejutkan dengan berita-berita kematian akibat wabak ini dan Malaysia mula menguatkuasakan perintah berkurung (lockdown). Tentulah tempat kerja aku juga terkesan kerana kami beroperasi di dalam mall. Hubungan aku dengan Azman juga tidak lagi seperti biasa. Kami tidak boleh selalu berjumpa. Kadang-kadang dia akan menelefon dan kami akan berbual seketika. Pada kebanyakan masa kami akan berbalas mesej sahaja.
Dan di sepanjang dua tahun kita keluar masuk lockdown, tidak satu bulan pun Azman gagal memasukkan duit belanja untuk aku. Sewa rumah juga masih dibayarnya. Ada juga aku bertanya kepadanya apakah dia mampu? Jawabnya ringkas, “Ok… you tak perlu risau.” Aku hanya bersyukur. Azman bukan sahaja hadir sebagai kawan dan kekasih, dia juga membantu aku memberi nafkah. Apa lagi yang diperlukan oleh seorang wanita dalam kota metropolitan ini? Bagi aku, semua cukup.
Ya, mungkin kami tidak bersama sebagai suami isteri tetapi itu pun bukanlah sesuatu yang penting buat ku. Aku gembira dengan apa yang aku dapat daripada Azman dan asalkan ia tidak menyusahkan sesiapa atau mendatangkan bala kepada ku, tidak ada apa yang perlu aku rungutkan.
Sampai hari ini kami masih bersama. Aku masih tidak tahu pekerjaan Azman dan kedudukannya. Itu juga tidak penting bagi aku. Yang aku tahu, aku bersyukur Azman hadir dalam hidup ku.
Seperti yang didedahkan kepada Anna Lisa.
Apa pandangan anda?