Posted on November 30, 2020
FashionValet (FV) tidak pernah berhenti melanjutkan niat mereka, sepanjang masa mahu berbakti untuk masyarakat. Seperti awal tahun ini, ketika pandemik COVID-19 tengah ‘berjobak’ sehingga mengakibatkan penjejasan – barisan hadapan, industri perubatan, hilang pekerjaan dan yang serba kekurangan keperluan – pasukan FV bekerjasama dengan beberapa badan kebajikan, hadir menyumbangkan bantuan.
FV terus mahu komited dan memberi. Mereka teguh dengan pendirian untuk menjadi sebahagian daripada komuniti. Tidak disangka-sangka, bertepatan pula tahun ini FV merai ulang tahun satu dasawarsa atau sedekad dan bersempena usia sepuluh tahunnya, FV berjaya mengumpul dana untuk menyumbangkan sedekah RM 100,000 kepada IMAM Response & Relief Team (IMARET). Dana tersebut disedekahkan kepada pekerja-pekerja IMARET sebagai persediaan dalam melawan pandemik COVID-19.
Usaha mulia FV ini diinisiasi menerusi sumber khalayak dan mereka berjaya meraih kutipan dana sebanyak RM2 juta, sepanjang enam bulan lalu. Contohnya, sewaktu bulan Ramadan 2020 – dari bulan April ke Jun 2020 – FV menjayakan platform bazar atas talian yang dipanggil FVBazaar, yang menghubungkan mereka dengan lebih kurang 5,000 penjual atau usahawan makanan dan pelanggan. Inisiatif FVBazaar ini mengendalikan tempahan makanan antara penjual makanan (vendor) dengan pelanggan secara terus dan FV bertindak sebagai tapak yang menyenaraikan kesemua vendor, tanpa ada sebarang caj komisyen.
Dalam pada merayakan ulang tahun kesepuluh serta menyumbang sedekah RM 100,000, FV mengenang semula semua projek dan usaha yang pernah mereka asaskan sebelum-sebelum ini. Seperti menaja program realiti Gen-F yang mencari pereka fesyen generasi baharu, berkolaborasi dengan MyCreative untuk ‘Fashion Pitch’ yang membantu peserta memohon pinjaman bisnes sebanyak RM2 juta dan memperkenalkan rangkaian jenama fesyen modest yakni dUCk.
“Sewaktu kami mengasaskan FV sepuluh tahun yang lalu, kami melakukan segala-galanya sendiri. Daripada mengepek item ke menjalankan penggambaran sehinggalah menguruskan perkhidmatan pelanggan dan pasukan kami sangat kecil masa itu. Hanya bermula dengan tiga orang sahaja. Dan sekarang, saya cukup bangga dengan pencapaian FV yang sudah memiliki lebih 180 orang pekerja,” kata Vivy Yusof, pengasas FV.
FV memasang hasrat dan janji untuk mencemerlangkan lagi kedudukan mereka. Bukan sahaja dalam lapangan bisnes, fesyen dan kecantikan, malah juga perkhidmatan komuniti. FV komited untuk menambah nilai serta kualiti dan membangunkan platform mereka di peringkat glokal.
Apa pandangan anda?