Posted on January 21, 2021
Dari atas : Sabronzo memakai Max Mara ; Tabby memakai Moschino ; Syasya memakai Moschino
FOTOGRAFER: AZIM MAHYUDIN (AM STUDIO) VIDEOGRAFER: JUFRI JAMAL SITTING EDITOR & EDITOR KECANTIKAN: AMIRA AZMAN PENATA GAYA: ARDI IDEWANI ARAHAN SENI: AZREEZAL HAFIDZ & MERRISSA EMILDA VIDEO BALIK TABIR: JORDI HARRIS SOLEKAN SABRINA & TABBY: WIRA KASTRYA SOLEKAN ANGEL & SYASYA: ELMANDA DANDANAN RAMBUT: CODY CHUA
Tahun 2021, membuka lembaran baharu, seperti kami juga tekad mahu mempersembahkan bakat-bakat segar, yang kami rasakan bakal menyinar dan memberi warna pada industri baik hiburan, fesyen mahupun kecantikan tanah air. Bukan sahaja bakat mereka yang mahu kami sebarkan, tetapi juga kisah-kisah mereka yang kami yakin bakal menjadi inspirasi buat pembaca. Dengan itu, kami memilih DOLLA, idola pujaan ramai remaja masa kini sebagai ‘The Next Big Thing’ kami bulan ini.
Angel memakai baju panas Onitsuka Tiger, sarung kaki Monki & kasut Manolo Blahnik
DOLLA, dianggotai oleh empat wanita muda rata-rata berumur di antara 20 hingga 25 tahun. Mereka ialah Sabronzo, Tabby, Syasya dan Angie. Daripada pemerhatian saya, masing-masing memiliki personaliti yang berbeza-beza, namun mereka ini bisa klik pada setiap masa. Lewat 3 Januari lalu, kami atur sesi penggambaran bersama mereka. Satu persatu ahli kumpulan ini tiba di studio jam 10 pagi, masing-masing menyapa kami dengan wajah ceria dan teruja. Manakan tidak, sesi photoshoot pertama tahun ini. Wajah mereka jelas terpancar, “2021, let’s get it!”
Walau masih muda, mereka ini sudah tunjuk sikap profesional dan cukup berdisiplin apabila bekerja. Mudah didekati dan begitu peramah. Kerjasama yang diberi dari jam 10 pagi hingga ke jam 7 malam langsung tidak menghampakan. We love you, DOLLA!
Beberapa minggu kemudian, kami atur temubual bersama di Zoom. Bertemu kembali, namun suasananya sedikit berbeza apabila negara mengumumkan kita kembali melaksanakan Perintah Kawalan Berkurung di hampir seluruh negara. Namun, itu tidak mematahkan semangat mereka dalam mengatur langkah 2021. Saya mulakan bicara dengan bertanya khabar mereka.
Dari atas : Syasya memakai blazer & baju panas Max Mara ; Tabby memakai dress Kate Spade ; Sabronzo memakai blazer Monki ; Angel memakai jaket Kate Spade & kemeja T Max Mara
Sabronzo: Semuanya baik-baik, namun saya berharap selepas tamatnya perintah kawalan berkurung ini, kes akan menjadi semakin berkurangan. Tetapi semua haruslah patuh dan duduk di rumah sepanjang dua minggu ini. Kita haruslah bersama-sama mengawal situasi ini agar selepas ini kita boleh teruskan kehidupan seperti biasa dan menjalani gaya hidup yang lebih produktif.
Jika kita hendak bercakap tentang penyanyi berkumpulan wanita di di dalam industri muzik tanah air hari ini mungkin tidak segah era yang terdahulu di mana kita ada Feminin, Elite, Res2 dan ramai lagi. Namun, kekuatan kumpulan ini dari segi pengikutnya membuatkan kami yakin DOLLA bakal menjadi fenomena baharu tanah air suatu hari nanti. Kisah mereka menarik minat kami untuk mengenali mereka dengan lebih mendalam lagi.
Terang Syasya, DOLLA ditubuhkan oleh Universal Music Malaysia (UMM) pada awal 2019. Ketika itu, pihak UMM telah mengadakan sesi ujibakat untuk mencari bakat-bakat baru yang sesuai untuk dijadikan sebuah kumpulan wanita terkini yang mempertaruhkan kualiti nyanyian dan tarian hebat setaraf antarabangsa. Daripada situ, mereka ini disatukan. Dan tanya kami, dari mana datangnya nama DOLLA ini?
Tabby: Nama DOLLA sebenarnya adalah idea asal Angel. Pada mulanya, kami semua diminta untuk menyenaraikan sejumlah nama yang sesuai kami rasakan untuk nama kumpulan kami. Jadi setiap daripada kami memberikan empat nama. Kemudian daripada situ, kami senarai pendekkan dan memilih empat yang berpontensi. Setelah berbincang, akhirnya kami gunakan nama DOLLA yang dicadangkan oleh Angel.
Berbicara tentang keserasian, pastinya DOLLA tidak terlepas daripada merasai fasa ini kerana masing-masing jelas hadir dari latar-belakang yang berbeza. Agaknya bagaimana mereka membina keserasian tersebut?
Sabronzo: Saya rasa kerana kami semua masih baru menapak di dalam industri ini, perjalanan dan pengalaman itu yang sebenarnya membuatkan kami lebih serasi. Ini kerana, kami laluinya bersama. Apa jua yang kami rasa, kami selalu akan berkongsi bersama.
Tabby: Kami bertuah kerana walaupun baru berjumpa, keserasian itu seperti sudah lama kenal. Malah, kami tidak ada langsung perasaan negatif atau tidak suka antara satu sama lain.
Angel: Bukan itu sahaja, keserasian kami sebenarnya banyak terbina melalui sesi latihan kami. Malah, menerusi kegiatan dan aktiviti kerja membuatkan kami saling belajar tentang antara satu sama lain. Sebagai contoh, jika lihat di Youtube kami, ada pelbagai aktiviti menarik kami lakukan seperti kuiz teka personaliti masing-masing. Jika diteliti, jawapan kami banyak yang salah. Daripada situ sebenarnya, kami banyak belajar dan ambil perhatian tentang personaliti masing-masing.
Syasya: Saya bersyukur kerana kami semua ini sebenarnya sekepala dan saling memahami akan antara satu sama lain. Tiada rasa dengki kerana dari awal kami semua memang saling menyokong dan membantu antara satu sama lain.
Syasya memakai dress Kate Spade ; Sabronzo memakai dress Sportmax ; Angel memakai Moschino ; Tabby memakai vest & seluar Pinko
DOLLA Teguh di Samping iDolla
Tanggal 20 Mac 2020, menjadi tarikh rasmi DOLLA debut. Dan tidak dinafikan nama mereka menjadi sebutan bukan sahaja di Malaysia, malah mendapat perhatian yang memberangsangkan daripada pencinta muzik luar negara. Sokongan yang diterima mereka amatlah tidak disangka-sangka malah sambutannya cukup luar biasa. Maka tidak hairan, jika iDOLLA menjadi antara kelab peminat paling aktif dalam industri muzik tanah air hari ini.
Tabby: iDolla is our everything. Mereka inilah antara sebab utama kami berada di mana kami berada hari ini.
Syasya: Mereka adalah pembakar semangat kami dalam membuat muzik.
Angel: Our big support. Seperti kita semua tahu, di Malaysia hari ini, tidak ada banyak penyanyi berkumpulan wanita. Jadi di awal debut kami, tidak disangka-sangka kami mendapat sokongan yang banyak daripada orang ramai. Dan semakin hari, ia semakin berkembang.
Tambah Tabby sambil tersenyuman manis,
Jika ada satu hater yang muncul, 10 iDollas akan datang melindungi kami.
Tidak dinafikan iDolla ini banyak memberi sumbangan besar dalam membentuk mereka. Menurut Angel, peminat mereka sangat memahami DOLLA. Ini kerana kedua-duanya memiliki misi dan visi yang sama.
Ada masanya iDolla akan turut serta mencadangkan apa yang terbaik serta memberi pelbagai idea menarik untuk kami cuba. They keep us growing.
Selit Tabby, yang menariknya setiap kali DOLLA ingin membuat comeback, pasti mereka ini akan serahkan satu proposal sarat dengan idea termasuklah tentang konsep muzik video itu sendiri serta lokasi penggambaran yang terbaik untuk kami adakan penggambaran. Menarik dan mengujakan!
Sabronzo memakai dress Sportmax & kasut Manolo Blahnik ; Tabby memakai vest & seluar Pinko dengan kasut Manolo Blahnik ; Syasya memakai dress Kate Spade ; Angel memakai jaket Moschino, kemeja Kate Spade & kasut Manolo Blahnik
DOLLA is DOLLA
Setiap artis tidak akan lari daripada kontroversi. Sama seperti DOLLA sendiri. Tidak dinafikan nama mereka menjadi perhatian ramai kerana konsep mereka itu seakan sama dengan artis Korea Selatan. Banyak nama yang menjadi bahan perbandingan. Antaranya seperti Blackpink dan Mamamoo.
Jika diberi peluang, bagaimana kamu mahu orang di luar sana mengenali DOLLA yang sebenar?
Tabby: Saya sendiri adalah peminat muzik K-Pop seperti Blakcpink, Everglow dan ramai lagi. Dan saya tidak faham mengapa orang di luar sana perlu ada persepsi kami meniru artis antarabangsa. Sedangkan konsep yang kami ketengahkan ialah ‘Girl Crush’, dan tidak bermakna konsep yang sama menjadikan kami tiru mereka. ‘Girl Crush’ ini adalah sejenis konsep, sama seperti genre. Ada genre balada, pop dan sebagainya. Semua orang boleh menggunakannya. Dan DOLLA juga memiliki identiti sendiri. Jika orang di luar sana belum merasainya lagi, saya harap di masa akan datang, kami boleh buktikan identiti sebenar kami melalui muzik dan personaliti DOLLA.
Angel: Saya rasakan kemunculan DOLLA di dalam industri muzik Malaysia ini amat mengejutkan buat sesetengah pihak sejak dari hari pertama kami debut lagi. Jadi mungkin disebabkan itu, ramai yang mula membuat perbandingan. Pada saya, perbandingan itu normal. Dan juga kerana kami masih baru, kami belum berpeluang menunjukkan identiti kami secara menyeluruh, malah kami juga masih bereksperimentasi dengan posisi kami dalam DOLLA. Masih banyak yang mahu kami tunjukkan.
Sabrina: Memang akan ada persamaan dengan kumpulan penyanyi lain. Inspirasi itu pada saya adalah seperti satu kitaran. Semua orang boleh terinspirasi dengan benda yang sama namun jika kamu letakkan rencah kamu sendiri, ia akan menjadi sesuatu yang baru. Ada yang pernah meninggalkan satu komen di ruang media sosial kami dan saya masih ingat katanya, zaman sekarang susah untuk kita mencipta sesuatu yang asli. Hampir semua keaslian itu sudah dilaksanakan di seluruh dunia. Dan untuk mencipta sesuatu yang benar-benar asli itu mungkin agak susah. Namun pada masa sama, tidak pernah sekalipun kami ingin memusnahkan hak dan kreativiti orang lain. Mengapa kita hendak tiru sedangkan kita boleh buat sesuatu yang lebih baik daripada itu. Kami ingin menjadi sesuatu yang berbeza dan menjadi diri kami sendiri. Jadi dengan itu, kami akan terus berusaha untuk menonjolkan sisi kami yang sebenar. Harap-harap di masa hadapan, ramai yang akan sedar akan hala tuju imej dan muzik kami.
Syasya: Mungkin orang nampak kami seakan meniru kerana mungkin juga disebabkan saat ini budaya K-Pop sedang menular di seluruh dunia. Dan muncul pula kami, jadi secara tidak langsung mereka ini akan membandingkan pembawakan muzik kami. Saya harap di masa akan datang, mereka boleh nampak perbezaan kami dengan artis antarabangsa ini.
Tabby memakai dress Moschino & kot bulu Max Mara ; Sabronzo memakai baju panas Onitsuka Tiger, sarung kaki Monki & beg Kate Spade ; Syasya memakai baju polo Onitsuka Tiger & skirt Max Mara ; Angel memakai jaket Moschino & dress Monki
Gol 2021
Walaupun dunia masih belum pulih daripada pandemik COVID19, tiada salahnya jika kita semua mahu mencipta azam tahunan kita. Sama seperti DOLLA, harapan dan misi kerjaya serta untuk diri sendiri harus ditanam dan kemudian cuba untuk dilaksanakan sebaik boleh. Setiap daripada mereka ini punya harapan masing-masing.
Tabby: Ini adalah gol jangka masa pendek saya. Untuk 2021, sebenarnya kami sudah tercalon untuk dua kategori dalam satu majlis anugerah. Jadi harapan saya adalah untuk memenangi anugerah tersebut.
Syasya: Gol saya sama seperti tahun lalu, kerana ia belum tercapai. Walau bagaimanapun, saya amat berharap, tahun ini kami diberi peluang untuk membuat persembahan di hadapan peminat kami, iDolla.
Angel: Sejujurnya saya tidak tahu apa hendak dijangkakan tahun ini. Setiap kali kami rilis lagu terbaru, pastinya situasi itu jika tidak dalam keadaan PKP, pastinya PKPB dan sebagainya. Cuma kami berharap untuk single ketiga ini yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, boleh dirilis bukan sewaktu PKP (gelak kecil)
Sabrina: Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya amatlah berharap perintah kawalan pergerakan ini beransur dengan cepat, jadi kita boleh buat apa yang kita hendak buat. Kerana salah satu azam tahun baru saya adalah untuk terus mencipta muzik dan menyebarkan muzik kami pada peminat yang bukan sahaja di Malaysia, malah di bahagian-bahagian lain di dunia. Saya ingin terus melebarkan sayap muzik dan jenama DOLLA itu sendiri. Manakala gol peribadi saya adalah untuk menjadi seorang yang lebih baik, tidak kiralah dalam terma apa sahaja termasuk muzik, nyanyian, tarian dan persembahan.
Sabronzo memakai kot bulu Max Mara ; Angel memakai kot bulu Monki
Dolla fans
January 21, 2021Thank you stail.my. iDolla (dolla’s fans) really love the picture and style that you gais give to dolla. It really dope. Hope you gais can be the stylist for dolla’s next comeback please.
Genie
January 21, 2021Malaysia’s girl power💯✔️Nice article!
Jariani
January 21, 2021Wahhh dolla memang cantik kena dengan konsep memang terbaik lah
Lurve
January 21, 2021Thank you stail.my.. Really love how u styled Dolla. And all the pictures too. They look so beautiful and stunning.. And thank u for this great article. Hopefully dolla may achieve their goals. ❤️#iDolla
Angie Ng
June 20, 2021Jiwa dan azam anak muda Malaysia harus diberi perhatian. Mereka maju, negara kita pun maju.
Kita harus bersyukur kerana ada anak muda yang berimpian dan ingin berusaha demi masa depan.
SRLAMAT MAJU JAYA DOLLA