SEARCH

16 Gastronomi #InSTAILgramFoodie Korea Paling Enak Pilihan STAIL.MY

Sejauh mana perjalanan merentas benua, apa yang kita wajib rasa selain pengalaman budayanya? Tentunya makanan tempatan yang menentukan lagi kelebihan pada setiap masakan, budaya makan atau teknik memasak di destinasi baru itu. Terpulang kepada kita yang sedang mengembara. Sama ada berani atau tidak untuk mencuba hidangan baru atau kekal memilih makanan yang selalu ada di tempat asal kita. Kami mencari kelebihan yang ada di setiap restoran, kafe dan gerai makanan jalanan sekitar Busan dan Seoul dengan misi #InSTAILgramFoodie bagi merasai kelainan makanan Korea untuk dikongsi bersama pembaca.

Empat Kategori Logo Mesra Muslim Korea

Sebelum mengeksplorasi ke dunia gastronomi di Korea, kami perkenalkan empat kategori logo di restoran mesra Muslim di Korea untuk memudahkan pelancong menikmati hidangan tanpa was-was. Menarik lagi mengenai senarai restoran mesra Muslim ini, kamu boleh baca buku panduan makanan Muslim di sini.

1. MENU SANTAN AIRASIA

STAIL.MY memulakan #InSTAILgramFoodie dengan pelbagai seleksi menu Santan daripada AirAsia dengan cita rasa Asean, antarabangsa dan vegetarian di dalam kapal terbang. Menu Santan AirAsia turut menawarkan Set Kombo Santan dengan nilai penjimatan yang hebat. Kami sarankan untuk membuat pra-tempahan dan menikmati harga rendah bersama minuman percuma. Pra-tempahan makanan boleh dilakukan melalui laman web sekurang-kurangnya 24 jam sebelum penerbangan. Jangan ketinggalan merasai pengalaman masakan lazat di awangan. Lebih 15 menu Santan boleh kamu pilih antaranya Pak Naseer Nasi Lemak, Chef Hong’s Korean Sweet and Spicy Chicken (Dakgangjeong), Ayam Thai Basil dengan Nasi, Ayam Teriyaki bersama Nasi, Vegetable Rice Bowl, Chicken Tikka Masala dengan Naan Bawang Putih, Ayam Panggang dengan Sos Lada Hitam, Pasta Gulung dengan Sosej Ayam, Nasi Padang dengan Keropok Udang, Gourmet Croissant Sandwich dan banyak lagi di sini.

KATIL RATA PREMIUM AIRASIA

Selepas menikmati jamuan daripada menu Santan, pelanggan boleh berehat dengan penuh selesa di Katil Rata Premium AirAsia. Tempat duduk yang luas ini menjadi ‘singgahsana’ yang diimpikan semua pelancong jarak jauh. Ia juga mempunyai ruang privasi, bahagian kepala dan kaki yang boleh dilaras serta bantal dan selimut untuk keselesaan maksimum. Di samping itu, ia juga dilengkapi dengan lampu baca dan port kuasa untuk kemudahan mengecas.

Kamu juga akan menerima faedah lain apabila memilih Katil Rata Premium AirAsia antaranya;
1. 40 kg elaun bagasi percuma
2. Makanan percuma
3. Pilihan tempat duduk
4. Bantal dan selimut
5. Menukar penerbangan
6. Kemudahan daftar masuk di kaunter premium
7. Keutamaan bagasi
8. Akses ke AirAsia Premium Red Lounge
9. Insurans perjalanan daripada Tune Protect
10.Tablet Xcite untuk hiburan.

#InSTAILgramFoodie Busan

1. HAEMULTANG SEAFOOD

Malam pertama di Busan. Kami ke sini setelah selesai check in di Shilla Stay, hotel berdekatan dengan restoran ini. Haemultang Seafood terletak di deretan jalan popular yang menghidupkan suasana malam dan siang di Busan terutamanya Haeundae Market, SEA Life Busan Aquarium dan pantai Haeundae. Selepas membuat tempahan, kami langsung menuju masuk ke bahagian atas restoran. Mujur membuat tempahan awal kerana restoran ini penuh di bahagian bawah semasa kami memasukinya. Setelah mendapat tempat duduk, seperiuk besar yang diisi dengan makanan laut terdiri daripada lala, kepah, kekapis, udang yang masih bernyawa sedia untuk direbus. Masing-masing teruja ingin mengetahui kesegaran rasa hasil laut hidup ini. Secara tiba-tiba pelayan meletakkan sotong ke atas makanan-makanan laut tadi dan kaki sotong meliar ke luar periuk sehingga hampir terjatuh. Jeritan-jeritan terkejut kami bergema di aras satu. Tidak sempat menghela nafas, kaki sotong dipotong kecil untuk kami rasai kesegaran daging sotong yang sedang menggelupur. Pelayan menyarankan kami merasai keenakan sotong yang dipotong hidup-hidup. Apa yang saya boleh kata, ia cukup manis! Ya, mungkin kerana ia hidup dan belum dimasak? Setelah semua bahagian sotong dipotong, pelayan melemaskan kepala sotong ke dalam sup rebusan. Suatu pengalaman yang kami tak akan lupakan. Barulah kami tahu kelebihan makanan laut Haemultang di Busan. Habis satu periuk kami lapah. Pelayan kemudian memasukkan mi ke dalam sup rebusan untuk dimakan sehinggalah kuali kering.

Alamat: 42-1 Gunam-ro, Jung-dong, Haeundae, Busan, South Korea

2. WAVEON COFFEE

Sebelum ke sini, saya dan rakan sekerja mencari di internet kafe paling stailish yang juga menghidangkan menu hipster tempatan yang menarik. Sebaik tiba di hadapan lokasi saya terpaku dengan keindahan reka bentuk bangunan moden hasil rekaan IDMM Architects dengan warna abu-abu menghadap pantai Gijang. Kafe tiga tingkat ini punya kelebihan pada minuman signature yang sempat rakan saya mencubanya. Antaranya Wollae Latte, Full Moon Coffee dan Sweet Wholegrain Latte. Kami sempat lepak di aras bawah dan duduk di Pyeongsang – sejenis bangku panjang diperbuat daripada kayu mendengar kicauan burung bersiulan sambil ombak menghempas ke bibir pantai. Di hadapan kami pemandangan samudera biru dan boleh melihat pemancing teruja mendapat hasil tangkapannya. Saya boleh labelkannya sebagai kafe moden, mewah dan santai. Keunikannya ialah ia terletak di tebing pantai dengan pemandangan serta deruan angin yang deras. Gabungan manisan bersama kopi latte tadi disegari dengan pemandangan lautan yang indah, oh… pengalaman ini takkan saya lupakan sampai bila-bila. Sebagai seorang yang cukup menitik beratkan pengambilan gula dalam badan, saya mencuba Kopi Vanila tanpa gula dan magisnya rasa kopi tadi kekal enak kerana dapat merasakan kenikmatan manisan semula jadi pada vanila.

Alamat: 286 Haemaji-ro, Jangan-eup, Gijang, Busan

4. GIJANG CRAB MARKET

Kami singgah makan tengah hari di sini. Sebaik kaki melangkah ke tapak pasar, kami terkejut melihat hasil laut yang besar dan segar. Tak pernah kami lihat ketam sebesar itu! Pasar ini cukup terkenal dengan kesegaran hasilnya terutamanya ketam jenis Chionoecetes Opilio (raja ketam atau ketam labah-labah). Tidak hanya kagum dengan saiz ketam, kami mencuba menu yang disediakan di restoran yang terletak di sebalik akuarium ketam. Sebelum menikmatinya, kami harus memilih beberapa ketam untuk ditimbang dan jangan lupa untuk meminta tawaran harga rendah! Harga bahan yang kami pilih tadi termasuk harga siap dimasak. Restoran yang mengetengahkan konsep makan bersila ini mengingatkan kami dengan budaya Melayu. Sempat saya melihat proses melapah ketam oleh pekerja yang sememangnya arif untuk dihidangkan kepada pelanggan. Mereka hanya menggunakan gunting khas tetapi cara melapah juga ada teknik tertentu untuk memudahkan pelanggan menikmati ketam tanpa rasa sukar. Siapa yang gemarkan ketam sememangnya akan berasa puas kerana dapat menikmati isi yang kaya serta kemanisan daging ketam yang segar selain kegemaran saya, Bokkeumbap (nasi goreng) yang dicampur sayuran seperti kacang panjang, Miyeok-guk (sup rumpai laut), Danmuji (jeruk lobak) dan sos pilihan. Lebih teruja makan Bokkeumbap di dalam cengkerang ketam yang telah dikorek isinya.

Alamat: 68-2 Daera-ri, Gijang-eup, Gijang, Busan

5. MOKJANGWON

Buat pengetahuan ramai, restoran bertemakan bufet cukup terkenal di Korea. Ini kerana ia menyediakan kepelbagaian dalam pilihan makanan serta ruang yang besar buat seisi keluarga. Mokjangwon terletak di atas bukit di aras dua, mempunyai ruang besar yang boleh memuatkan 160 kerusi dalam satu-satu masa. Di sudut makanan Ochaedam dihidangkan bufet Sundubu Jjigae (stew tauhu lembut), Enoki (cendawan goreng), Salad Lettuce, Neungi Mushroom Porridge (bubur sihat berintikan cendawan terbaik Neungi), lima pilihan jeruk sayuran. Ada juga sudut makanan berkuah seperti Mi Chlorella sejenis mi makanan laut pedas atau dimasak menggunakan stok tulang lembu, sup kerang bersama sos tomato dan sushi daging. Rakan saya amat menggemari Ssal ro Ppung (biskut beras) kerana rasa dan kerangupannya. Tiba-tiba saya teringin menikmati lauk pedas tempatan, lalu saya mencuba pelbagai jenis kimchi antaranya kimchi Oi Sobagi (kimchi timun), Kkakdugi Kimchi (kimchi lobak), Yeolmu Kimchi (kimchi lobak air). Kimchi-kimchi ini sememangnya akan dihidangkan di semua restoran bertema bufet Korea. Di sudut lain tersedia ais krim coklat dan vanila bersama topping pilihan yang terdiri daripada jeli dan coklat untuk pemanis mulut.

Alamat: 49113 (628-2, Dongsam-dong) 355, Jeoryeong-ro, Yeongdo-gu, Busan

6. BAY 101

Bay 101 terletak di pulau Dongbaekseom, kami ke sini untuk menikmati panorama malam melihat sorot-sorot lampu di badan bangunan yang terletak berhadapan dengan kepesatan pembangunan Busan. Yang menghubungkannya ialah jambatan dari pantai Haeundae, kami menyusuri bahu jalan terus ke Bay 101. Lokasi lepak milenial ini mempunyai tiga aras yang merangkumi dewan makan, atap terbuka dengan panorama bandar Busan, galeri dan ruang acara koktel. Ada juga beberapa kafe yang duduk di bawah satu bumbung di sini antaranya Fingers and Chat Dining Pub terletak di tingkat 1 dalam ruang yang saya anggap mewah. Ia turut memiliki tempat makan di luar patio. Restoran ini menghidangkan makanan Barat antaraya Fish & Chips. Restoran Daedo Sikdang pula terkenal dengan masakan daging yang digoreng menggunakan dapur pan, kiub steak, daging sirloin dan rib eye. Dalam kesuntukan masa sempat saya singgah sebentar di Side Coffee dan menyelak menu di sana. Kafe ini menawarkan pelbagai jenis kopi, minuman, kek, ais krim serta sherbet dan cip bijirin semulajadi yan dihasilkan menggunakan mesin di kafe ini. Kami hanya singgah menikmati kopi, teh hangat dan latte untuk menghilangkan dahaga dan sebagai pemanas badan. Kebetulan malam itu cuaca dingin di rooftop Bay 101 yang bergemerlapan.

Alamat: 52 Dongbaek-ro, U-dong, Haeundae, Busan.

7. NAMCHEON SUTBUL JANGEO GUI

Bunga Ceri gugur berserakan di atas jalan menyambut kami sebaik tiba di hadapan restoran ini. Lokasinya yang strategik, betul- betul menghadap Jalan Suyeong-gu, lereng bukit berdekatan Dalmaji Hill. Kami hanya parkir kenderaan di kotak parkir tepi jalan itu saja. Ada hidangan Jangeo-Gui (belut panggang) yang terkenal di sini jadi kami harus mencubanya. Saya bukanlah penggemar belut tetapi restoran ini menyediakan belut laut bukan belut sungai seperti di Malaysia. Jadi, apa salahnya mencubanya bukan? Mengetengahkan konsep bersila, santai dan interior pula seakan ruang rumah tradisional Korea (Hanok). Belut disiang rapi secara segar sebelum diletakkan ke atas meja untuk pelanggan memanggangnya. Dapur panggang pula diletakkan di tengah-tengah agar mudah kami mencapainya. Sekali lagi keterujaan kami dijentik ketika melihat belut yang telah disiang dan masih hidup diletakkan di atas dapur panggang. Tak senang duduk dibuatnya! Lagi-lagi jika pelayan menunjukkan cara memanggang lantas menyuapkan ke mulut kami satu per satu. Ada antara kami cuba menyelamatkan diri daripada disuap. Resipi sihat ini harus dimakan bersama nasi kukus, sup Doenjang (sup kacang soya) dan sambal belut yang dibikin sendiri bersama sos unagi yang sememangnya wajib dicuba. Oh! Jangan ketinggalan mencuba cara makan daging belut yang dibalut (ssam) bersama salad yang terdiri daripada daun kacang dan daun labu, tambah sedikit sambal dan beberapa potong cili hijau dan makan begitu sahaja. Gaya makan sebegini mengaprisasi cara warga tempatan makan hidangan belut.

Alamat: 71-1, Hwangnyeong-daero 489 beon-gil,Suyeong-gu, Busan, South Korea

8. GWANGBOK-RO

Sesekali ke bandar lama Busan, kami ke kawasan terkenal seperti dataran BIFF yang sering dijadikan arena perfileman pada bulan Oktober. Dalam kesesakan ramai orang lalu lalang, akan nampak banyak gerai kecil menjual makanan jalanan yang berdekatan dan berlainan antara satu sama lain. Penjual yang rata-rata golongan pertengahan umur membuatkan kami percaya mereka bakal memberi sesuatu yang asli pada makanan jalanan tempatan. Kami mencuba Udang Panggang Keju yang sangatlah sedap dan pedas. Ia merangkumi beberapa ekor udang ditusuk lidi dan dimakan seperti sate. Cuba sekali, kami beli lagi. Ada juga sotong Takoyaki yang besar dan mampat isinya. Antara yang kami sarankan ialah Ssiat Hotteok (roti berinti labu dan biji bunga matahari), Kimbap (sushi Korea) dan Odeng atau Eomuk berasaskan makanan laut yang dicucuk pada lidi seperti steamboat, Gochu Twigim (lada hijau goreng), Chamchi Kimbap (sushi tuna bersama sayuran), Gyeranppang (telur mata kerbau bersama roti mini) dan banyak lagi. Terdapat juga restoran makanan halal di satu lorong di sini yang menyediakan makanan selera kita iaitu Restoran Bakso Bejo Korea diusahakan oleh warga Indonesia.

Alamat: Jung-gu, Busan, South Korea

#InSTAILgramFoodie Seoul

9. HAE CHO SEOM HYUNDAI CITY OUTLET CAWANGAN DONGDAEMUN

Setiba saja sampai ke Seoul, kami singgah ke pusat beli-belah yang dioperasikan oleh Hyundai Department Store. Masuk ke aras bawah yang menjual pakaian dan wangian, kami meluru terus ke lif untuk ke aras makan. Restoran yang terletak di aras 9 pusat beli-belah ini memperkenalkan kami selera asli tempatan. Ada dua bahagian tempat makan sama ada tempat terbuka atau di dalam bilik. Kami memilih untuk makan di dalam bilik lalu hidangan disusun satu per satu sehingga penuh meja kami. Saya menggemari Bibimbab (nasi putih yang dicampur dengan bahan-bahan di dalam mangkuk), antara bahan-bahan yang saya gaulkan ialah Haecho (rumpai laut), pes sos Gochujang, Cendawan Enoki, Cendawan Shitake dan Sigeumchi (bayam). Pada mulanya agak kekok untuk menggaulkan kerana saya fikir harus menggaul ketika mahu masukkan ke mulut seperti makan nasi Melayu. Tapi tidak, cara makan Bibimbap ialah harus menggaulkan kesemua bahan dalam nasi sehingga gaulan rata. Apa yang menarik ialah Ikan Makarel panggang, cara potongannya cukup ‘bergaya’ pada saya. Ia dipotong separuh dan dilapah menjadi sama belah. Perah sedikit lemon untuk hilang rasa muak. Namun hati-hati untuk memakannya, kerana tulang masih melekat di badan ikan. Antara lain Edible Seaweed dibalut dengan rumpai laut juga enak dimakan begitu sahaja, seperti makan sireh versi lembab dan Pajeon (lempeng bersama daun bawang). Kami diberitahu oleh pemandu pelancong, ini hidangan sihat yang selalu diamalkan terutamanya wanita yang sedang berpantang dan ia juga baik untuk diet.

Alamat: 20, Jangchundan-ro 13-gil, Jung-gu, Seoul

10. KAFE-KAFE DI IKSEON-DONG

Selamat datang ke era Dynasty, itu yang rasa rasakan apabila melihat di sudut tinggi ke arah bumbung-bumbung di kejiranan lama Ikseon-dong yang kini telah dikomersilkan menjadi kedai kopi, pakaian, aksesori dan roti. Pada mulanya saya fikirkan semua kedai kelihatan sama, tapi ketika turun berjalan di lorong-lorong ternyata setiap kedai mempunyai konsep-konsep tersendiri. Jadi tidak hairanlah kawasan ini acap kali dijadikan zon bergambar. Kami menjelajah ke lorong-lorong kecil sambil menghayati seni bina lama di sini kerana konsep lorong ini dikekalkan luarannya. Tetapi, dalaman di setiap kedai cukup moden dan tersendiri, boleh dikatakan kawasan ini cukup hipster. Antara kafe yang kami cadangkan ialah Ssal Sanghoe yang khusus menjual Hotteok (penkek) yang disediakan dalam cawan kertas. Penkek di sini dibuat daripada 90 peratus beras dan apabila memakannya perlu sedikit usaha untuk mengunyah. Masuk pula La Reine, tiba-tiba seperti di Paris! Konsep kedai dan makanan bertema Perancis vintaj. Maka tidak hairanlah menu di sini berkonsepkan ‘english tea time’. Antara teh yang disorotkan ialah Earl Grey Imperial, Rose D’himalaya, skon dan Seasonal Fruit Tart. Hampir lelah kaki berjalan, dengan perut yang sudah kenyang kami menelusur pula ke kedai The Summer, walaupun cuaca masih dingin ketika itu, semangat musim panas tersemat lagi-lagi melalui hiasan dalaman bertema tropikal. Terdapat kolam air biru di dalam kafe ini. Menunya pula Black Pepper Chicken Fries, Piza Pastri Tom Yum dan minuman koktel The Summer Slush dalam perisa tembikai. Burbbb! Alhamdulillah, perut pun sudah kenyang, kami berjalan ke lokasi menarik seterusnya.

Alamat: Jongno-gu, Seoul

11. MADANG FLOWER CAFÉ IKSEON-DONG

Unik dan itu yang kami mahukan. Melihat kedai yang penuh dengan elemen flora bermula dari sudut tajam persimpangan-T di lorong kecil Ikseon-Dong, lebih indah daripada dalam gambar. Kafe dan kedai bunga ini semakin popular setelah drama Goblin, Black Knight: The Man Who Guards Me, The Grim Reaper dan banyak lagi produksi membuat penggambaran di sini. Sebab itu jugalah kami memilih untuk ke sini selain kafe ini beroperasi lebih awal daripada kafe-kafe sekeliling. Bukan saja menjadikan tema bunga pada hiasan dalamannya, ia juga menjadikan bunga sebagai salah satu bahan dalam kopi dan menu. Terasa aneh tetapi enak jika kamu merasai minuman coklat panas yang ditabur hirisan mawar di pagi hari. Selain itu, rakan saya memesan teh hangat wangi yang cukup membuatkan pagi lebih tenang. Sambil melihat tumbuh-tumbuhan berwarna-warni meliar di dinding dan atap, tumbuhan mini di para jendela juga mencuri tumpuan seperti kaktus, kekwa, dahlia dan bunga-bunga dalam jambangan sememangnya kesegaran yang ternyata asli.

Alamat: 33-12, Supyo-ro 28-gil, Jongno-gu, Seoul

12. HANGANG PARK

Bersantai sambil makan mi segera buatan tempatan menghadap Sungai Han dan kapal persiaran yang lalu sungguh menyamankan. Kadang kala tak perlu hidangan mewah untuk mendapatkan momen makan terbaik lagi-lagi di luar negara. Cukup dengan adanya makanan yang enak, pemandangan mempesona dan teman di sisi. Sesuatu yang mesti dicuba untuk menyuntik elemen tempatan di kala bercuti, kami cadangkan Mi Ramen segera tempatan yang boleh dibuat sendiri dengan dapur panas yang disediakan di kedai serbaneka ini. Pelbagai jenama dan perisa Mi Ramen dalam bekas aluminium boleh dibeli. Saranan kami ialah Samyang Su Tah Ramen. Gementar juga pertama kali mahu memasak di dapur awam, pertama sekali buka penutup mi dan taburkan perencah di atasnya, setelah itu masukkan air mengikut sukatan sendiri dan tunggu selama tiga minit atau mendidih. Saya tidak gemar mi yang kembang lantas saya meneruskan proses seterusnya seperti memasukkan telur sebelum mematikan dapur elektrik dan bawa makanan ke tempat makan. Cukup layan menikmati mi ramen segera yang hangat menghadap Sungai Han sambil mencuci mata.

Alamat: 330 Yeouidong-ro, Yeoeuido-dong, Yeongdeungpo-gu, Seoul, South Korea

13. SOLGAHEON HEALING CAFÉ

Bukan kafe yang biasa-biasa, kerana kepakaran lain di sini ialah spa kaki. Amatlah sesuai untuk pelancong yang penat berjalan seperti kami. Solgaheon menghidangkan bersama pakej teh herba daripada Hanbang (farmasi tradisional) yang turut menyediakan perkhidmatan spa kaki selama 20 minit. Kafe ini dibina hampir 90 peratus daripada kayu pokok Pine dari siling ke dinding hingga lantai. Elemen alam ini penting untuk persekitaran yang tenteram. Rakan saya memilih Teh Bohsin, saya difahamkan oleh pekerja di sini, teh ini amatlah sesuai apabila kita kurang kekuatan di bahagian kaki dan mengalami lemah di bahagian bawah tubuh badan. Baru saya tahu teh juga mempunyai fungsi pengubat melalui pelbagai perisa. Antara yang menarik di dalam menu ialah Teh Chaegam khusus untuk tubuh yang mempunyai bengkak-bengkak dan berasa berat. Selain itu, penyakit yang boleh dilegakan melalui teh di Solgaheon ialah insomnia, mata letih, kebimbangan, tangan dan kaki yang sejuk serta banyak lagi. Nyatakan sahaja apa keperluan tubuh kamu kepada pakar di sini. Kelebihannya, Solgaheon memberikan suntikan kesegaran terutamanya pada tubuh badan yang keletihan. Untuk spa kaki pula boleh memilih mahu di hadapan (luar) atau di dalam. Pilih dua jenis perubatan herba untuk kaki sama ada jenis kaki yang sejuk atau panas. Kedua-dua jenis perubatan ini disiram dengan air 45 darjah panasnya.

Alamat: 54, Jahamun-ro, Jongno-gu, seoul

14. HONGDAE STREET

Dakkochi (sate ayam panggang), Kimbap (Sushi Korea) dan Twist Cone (ais krim kon panjang hampir 32cm) antara yang sempat kami cuba di jalan Hongdae. Mengapa tidak mencuba semua? Terlalu ramai orang di sana-sini dan banyak tarikan lain yang kami harus fokuskan seperti hiburan jalanan, membeli-belah, rumah dimensi dan banyak lagi. Jalan-jalan di Seoul tidak lengkap jika tidak ke tempat penuh lampu-lampu dan skrin LED yang banyak ini. Tersorot lampu-lampu yang mempersonakan, fesyen yang unik dan seni bina tempatan yang dikekalkan. Seperti di bandar-bandar lain seluruh dunia, makanan jalanan adalah perkara paling ringkas dan utama untuk mengenali budaya masakan dan makanan sesuatu tempat. Menariknya budaya makanan di Seoul kebanyakannya digoreng dan dihidang panas selain tersangatalah pedas. Jadi, latih lidah kalian atau pilih menu yang tidak mengancam rasa kamu.

Alamat: Eoulmadang-ro, Mapo-gu, Seoul

15. MYEONGDONG

Di sebalik kemeriahan kedai jualan, Myeong-dong adalah kunci utama makanan jalanan di Seoul yang kamu boleh dapatkan dengan banyak dan bermacam-macam jenis. Masakan yang panas, pantas dan sedap berharga dalam lingkungan ₩2,000 hingga ₩5,000. Kebanyakan gerai-gerai di sini menyediakan menu berbahasa Inggeris untuk memudahkan pelancong faham untuk memesan makanan. Kami cadangkan Hottang (sosej kentang), Odeng/ Oemuk (kek ikan) Toneido Gamja (tornado potato), Guun Nagji Kkochi (sotong panggang) dan Ais Krim. Egg Bun (almond, kacang, biji bunga matahari), Roast Lobster With Cheese, Sugar Pancake, Bungeoppang (berintikan kacang merah atau pilihan Nutella dan ais krim di dalamnya). Bagi mengetahui tahap halal sesuatu makanan, setiap gerai halal pasti tertera logo di satu sisi gerai. Jadi usah risau.

Alamat: Myeong-dong, Jung-gu, Seoul

16. VILLA DE SPICY GANGNAM

Hampir sesat mencari di mana letaknya kedai ini, dari atas bukit ke bawah lorong, rupa-rupanya ia terletak di lereng bukit di jalan Sinsa-dong. Siapa sangka di tengah-tengah lorong berhampiran butik-butik mewah menempatkan restoran hebat ini. Menu Rabokki popular di sini, ia seakan sup dengan bahan-bahan pilihan seperti sayuran, makanan laut, telur, mi yang diadun ke dalam kuali. Berkonsepkan steamboat, kami belajar satu perkara menarik semasa makan di sini. Orang Korea kebanyakannya tidak gemarkan pembaziran. Buktinya, setelah mi dalam Rabokki tadi habis dimakan, disarankan memakan sup Rabokki dengan nasi putih pula sehingga dulang licin! Tapi ingat, terdapat banyak aras kepedasan berbeza. Jika kamu berani mencuba kepedasan tahap tertinggi, sediakan saja tuala untuk mengelap peluh dan air minuman bagi meredakan kehangatan lidah kamu. Kami juga mencuba Teokbokki (nasi) dan tempura sotong hangat yang sememangnya enak di kala melawan cuaca dingin di luar. Rasa juga Sup Gochujang (diperbuat daripada serbuk beras pulut bercampur dengan kedua-dua tepung, kacang soya dan lada merah). Kami memilih aras kepedasan sederhana, tapi masing-masing sudah tak tahan hingga terpaksa berulam air. Rupa-rupanya teknik memberikan rasa kurang pedas ialah dengan mencampurkan air ke dalam Gochujang dan pedas itu akan merosot.

Alamat: 14-3 Dosan-daero 13-gil, Sinsa-dong, Gangnam-gu, Seoul

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE