Posted on December 14, 2020
Gaya watak The Prom, Emma Nolan yang memeran protagonis dalam filem ini membawa elemen tomboi tetapi sungguh stylish
Sudahkah kamu tonton filem The Prom yang mula ditayangkan di Netflix minggu lalu? Sebuah cereka muzikal arahan Ryan Murphy, cedokan daripada teater muzikal Broadway yang pernah tercalon untuk Tony Awards dan dipersembahkan kepada audiens bermula pada 2018. Sandiwara muzikal yang berteraskan inclusivity, mengisahkan perjuangan cinta homoseksual antara dua pelajar perempuan. Ia membariskan pelakon-pelakon seperti Meryl Streep, Nicole Kidman, Kerry Washington, James Corden serta Andrew Rannells dan menampilkan wajah baharu yakni Jo Ellen Pellman, yang memerankan watak protagonis juga Ariana DeBose, yang berlakon sebagai teman wanitanya.
The Prom mendekatkan nilai kesedaran dan mengangkat tema ‘cinta selalunya menang’. Berlatarkan Edgewater, Indiana, The Prom menyulam jalan cerita tentang percintaan dua pelajar perempuan – Jo Allen Pellman sebagai Emma Nolan dan Ariana DeBose sebagai Alyssa Greene – di Edgewater High School yang cuba melawan kelaziman dan bercita-cita untuk hadir ke majlis prom sebagai pasangan. Namun percintaan mereka seakan-akan tidak diterima masyarakat dan pihak sekolah pula cuba untuk ‘menenggelamkan’ kehendak dua pelajar perempuan itu. Lalu muncullah empat watak utama yang juga bintang-bintang Broadway dari New York – Meryl Streep sebagai Dee Dee Allen, James Corden sebagai Barry Glickman, Nicole Kidman sebagai Angie Dickinson dan Andrew Rannells sebagai Trent Oliver – yang datang ke Edgewater kerana mahu mengubah nasib serta membantu Emma dan Alyssa.
Serba-serbi cantik, segala macam indah! Begitulah pengolahan filem muzikal The Prom yang berhujung dengan gabungan warna-warni dan gemerlapan, kerana Murphy mahu menterjemahkan keraian cinta. Pelet rona neutral tersisip sekali di sepanjang jalan cerita The Prom untuk memperlihatkan perbezaan antara orang New York yang berfikiran lebih terbuka dan bebas, dengan orang di Edgewater yang sedikit konservatif. Bagi menjayakan watak-watak serta pancarona filem muzikal The Prom ini, Murphy bekerjasama dengan pereka kostum Lou Eyrich – pereka kostum yang sudah lama menjalin kerjasama dengan Murphy menerusi siri Ratched, Pose dan filem The Boys In The Band.
Usah cakaplah fasal gaya-gaya glitz and glamour Dee Dee, Barry, Angie dan Trent yang sejelas-jelasnya menggambarkan karakter masing-masing. Tumpuan kali ini adalah pada watak Emma Nolan (lakonan Jo Ellen Pellman) yang bukan hanya mencerminkan remaja Gen-Z masa kini, namun juga keberanian dia untuk tidak tampil biasa. Ada dua babak yang memperlihatkan gaya watak The Prom, Emma yang mencuri perhatian kami – babak ketika Emma menyarung boilersuit berona biru yang dipadankan bersama tali leher dan tuksedo vintaj biru yang dipakai Emma dalam babak terakhir.
Menurut Eyrich, dia mahu menunjukkan watak Emma yang tidak gentar menjadi unik dan menyanggah sifat tradisional masyarakat Edgewater. Emma disifatkan sebagai gadis yang suka thrift shopping, mencintai fesyen-fesyen vintaj dan berani meletakkan apa-apa sahaja di atas tubuhnya untuk mencipta stail tersendiri. Dalam temu ramah Eyrich bersama Refinery29, dia mengatakan bahawa Murphy mengimaginasikan watak Emma ini tomboi dan sedikit maskulin seperti Annie Hall, tetapi berani berfesyen. Maka itulah inspirasi gaya-gaya Emma banyak berasaskan menswear.
Berbicara fasal gaya tuksedo ala vintaj Emma dalam babak finale, Eyrich bersama-sama pasukan rekaan kostumnya mencari-cari apakah rona yang terbaik. Oleh kerana babak finale sarat dengan warna-warni dan gemerlapan, Eyrich memikirkan rona yang bisa menyerlahkan watak Emma – oleh yang demikian, rona biru menjadi pilihan. Semua jenis rona biru berbegar dalam kepala masing-masing, termasuklah rona biru cerah seperti warna biru langit. “About a week before [shooting], we decided we didn’t like the blue,” kata Eyrich.
Lantas, ia bertukar kepada biru muda seakan-akan biru air tetapi lebih tepu dan Eyrich pun menemukan rona yang sempurna untuk babak finale. Dipadankan lagi dengan kemeja dress penuh ropol-ropol pada fastening dan kasut berona perak berkilat bagi menampakkan lagi kecintaan Emma pada fesyen-fesyen vintaj. Manakala dasi reben di kolar Emma pula sebenarnya adalah padanan pada saat-saat terakhir. Kerana asalnya, Eyrich menghendakkan dasi biasa namun ia tidak menjadi dan akhirnya, dasi reben menjadi pilihan.
Apa pandangan anda?