Chaos + Form Marc Jacobs FW 2020, Menyatukan Seni & Restraint

Minggu fesyen New York disudahi pertunjukan yang dinanti-nantikan pencinta fesyen sejagat : Marc Jacobs musim luruh dingin 2020!

Karole Armitage keluar membuka pentas, bertandak, mengiramakan jasmaninya dengan pantas sebelum bermulanya gesekan biola daripada runut bunyi pertunjukan Marc Jacobs hari itu. Kemudian datang sekumpulan penari mengganasi lantai pentas dan mereka tarikan tarian kontemporari unik. Bagai ada komunikasi tanpa lisan yang terbentuk menerusi aksi tubuh serta mimik muka penari-penari ini.

marc jacobs fw 2020

Dalam pada gerak penari-penari tidak selesai, model pula mendudu-dudu berjalan melewati pentas. Berserakan ke sana-sini dalam helaian musim luruh dingin 2020 Marc Jacobs. Tercari-cari juga erti di antara aksi tari dan model-model, kerana kelihatan ribut di atas pentas. Tak tertumpu perhatian, mengabui pemikiran dan ‘menyesakkan’ kita.

marc jacobs fw 2020

Namun itulah yang Marc mahu. “Chaos + Form” menjadi temanya dan dia mengamati “Chaos + Form” itu dengan cara penuh ekspresif. Mengeluarkan apa yang terkunci jauh dalam lubuk jiwa. Mengaitkan ia dengan yang lampau dan yang semasa, ikon fesyen, kecintaan pada dunia fesyen, membajakan sesuatu yang bersifat peribadi dan tersemat sekali gambaran kehidupan manusia.

Menariknya, Marc meneroka ilhamnya itu menerusi tarian. Dia benar-benar memanfaatkan makna tarian yang mencungkil nilai sosial dan kemasyarakatan. Pentingnya seni tari kerana ia diumpamakan sebagai ‘medium’ atau saluran komunikasi dan tidak cukup dengan aksi model sahaja, Marc mengisi ruang lantai pentasnya dengan ragam 54 penari, untuk mengukuhkan lagi penceritaannya. Dengan sentuh badan yang kelihatan penuh intensiti dan distingtif – yang dicedok daripada konsep tari Karole yakni ‘Drastic-Classicism’ – Marc mewujudkan aspek yang kami kira bercorak “avant-garde-ish”. Dia jatuh cinta pada tenaga Karole yang berani mencabar kenormalan serta konvensional, dan menjadikan ia seperti ‘dialog’ untuk berhubungan dengan New York yang lampau.  

marc jacobs fw 2020

Penuh artistik. Marc menyandiwarakan kesemua itu dengan barisan himpunannya yang rata-ratanya mencerminkan Hollywoodism, The New Look dan glam. Dengan bayangan sosok First Lady Jackie O, Lee Radziwill serta gaya ala-ala suri rumah subbandar, Marc menghidupkan siluet-siluet klasik. Seratus peratus feminin, disimbahi rekaan-rekaan yang seolah-olah bersandarkan pola pakaian yang dipelajari dalam semester satu di sekolah fesyen. Dress shift, kolar Peter Pan, pea coat, swing coat, dress mini dengan princess line dan ada juga pengaruh sartorial, menjadi penghayatan Marc kali ini. Berbanding musim-musim terdahulu, di mana hasilan-hasilannya penuh drama.

marc jacobs fw 2020

Seperti mana yang kita ingat tentang siluet klasik gaya 50an ke 60an, istilah dekonstruksi bukan satu ‘congak’ dalam pemikiran pereka fesyen, namun Marc tidak gentar menculik perhitungan ini sebagai sendi ilhamnya. Mengapa? Kerana dia mahu memfokus sepenuhnya pada proportions, fabrik serta mutu buatan pada rekaan-rekaannya. Adalah juga beberapa look yang memperlihatkan Marc tidak meminggir terus dayanya berinovasi – seperti contoh dress tube yang sarat kuntuman mawar tiga dimensi juga headpiece ciptaan Stephen Jones yang juga berupa bunga mawar tiga dimensi.

Barangkali itulah yang terbetik menerusi tema “Chaos + Form” di mana (menurut pemahaman kami) model-model digayakan dalam aspek form – berkaitan dengan siluet-siluet klasik – manakala penari-penari adalah chaos – berkaitan dengan lagak tari mereka. Seperti yang dinyatakan, dia mahu mengekspresikan apa yang terkandung dalam ‘form’.  Tidak semuanya pengakur atau penurut, tidak seharusnya terikat dengan peraturan.

marc jacobs fw 2020

What do you think?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

No Comments Yet.

Previous
Percutian Kelamin Paling Sempurna Sempena Bulan Cinta
Chaos + Form Marc Jacobs FW 2020, Menyatukan Seni & Restraint