Tone Deaf! Jenama Fesyen Dikutuk Berat Sebelah, Tetapi Memperjuangkan #BLM 🤷‍♂️

Perbuatan mereka diselar, lalu dicemuh dengan kata-kata makian! Dipanggil tone deaf kerana tidak sedar bahawa selama ini mereka tidak pernah mengetengahkan diversifikasi dan bersikap pilih kasih, namun ada hati memperjuangkan ‘Black Lives Matter’. Hanya semata-mata mahu berada atau mengikut ‘sampan tunda Black Lives Matter’?

Rasisme dan diskriminasi terhadap perkauman sudah lama terjadi, malah hampir berkarat dalam industri fesyen. Dari dulu lagi, hal ini sebenarnya menjadi isu dan polemik umum dalam makalah di mana wujudnya penyisihan atau pemisahan kaum. Contohnya, lapangan modeling dalam industri fesyen antarabangsa yang sebelum-sebelum ini terlalu Anglo-centric atau berpusat sepenuhnya kepada wajah Inggeris berkulit putih. Pada masa itu, bila menyebut saja nama-nama model bangsa lain terutama sekali model-model berkulit hitam, ‘menggeliat’ dan bagai bungkam masing-masing pabila mendengarnya.

Peliknya, peluang model-model berkulit hitam dalam industri fesyen lebih baik atau hebat sewaktu era 70an. Berdasarkan kajian Scarlett L. Newman, “Black Models Matter : Challenging the Racism of Aesthetics and the Façade of Inlcusion in the Fashion Industry” – yang membicarakan tentang sama ada industri fesyen bersikap rasis dan isu yang melibatkan model-model berkulit hitam perlu dibangkitkan – peluang model-model berkulit hitam menjadi tipis bila memasuki era 80an. Pada era 90an, terus berlakunya penyingkiran dan hanya menggunakan model-model berkulit putih atau yang Anglo-looking. Kealpaan ini diteruskan sehinggalah era 2000-an. Menurut Scarlett lagi, secara purata, hanya enam peratus sahaja model-model berkulit hitam yang beraksi di atas pentas peragaan setiap kali minggu fesyen dianjurkan dan bilangan ini sama sahaja dalam iklan mahupun lembaran editorial majalah-majalah.

tone deaf celine black lives matter

Ada beberapa jenama fesyen antarabangsa yang masih lagi digenangi model-model berkulit putih, berpusatkan wajah-wajah Inggeris & ‘alah’ kepada model-model berbangsa lain

Namun sebelum melangkah masuk ke 2020, ada beberapa pihak dalam industri fesyen yang seperti sudah cemus dengan isu tersebut dan mengubah terus sistem fesyen. Mereka memperjuangkan diversifikasi dan memenangkan inclusivity. Malah, ada yang mengambil kesempatan ini untuk memanfaatkan orang dengan ilmu dan mendidik generasi baharu tentang mengabur terus timbangan berat sebelah. Contohnya, British Vogue yang kali ini mengungguli yang lain dalam memperjuangkan diversifikasi.

Sayangnya, masih ada lagi segelintir jenama fesyen yang apatetik terhadap hal-hal diversifikasi. Barangkali tidak mahu melibatkan diri, tidak membenarkan isu perkauman dibincangkan sepanjang keberadaanya dalam industri fesyen, bersikap menafikan keadaan semasa mahupun bak kata orang, ia sebenarnya tone deaf.  Entahlah. Asalnya, tidak berani untuk mentohmah, tetapi ia sudah jelas kelihatan. Malah kebenaran sudah terbongkar jua setelah mereka being called out sebaik sahaja isu perkauman kini hangat diketengahkan. Apatah lagi hal-hal yang berkaitan dengan representasi model-model bangsa lain atau people of color, baik di atas pentas peragaannya, kempen fesyen atau promosi.

tone deaf celine black lives matter

Jenama Celine yang dipandu oleh Hedi Slimane dikecam teruk baru-baru ini kerana dikatakan bersikap ‘talk is cheap’. Sepanjang berlakunya demonstrasi Black Lives Matter yang diwujudkan selepas penindasan menjadi-jadi terhadap kaum berkulit hitam (Afrika-Amerika) – terutama sekali selepas kematian Breonna Taylor, Ahmaud Arbery dan George Floyd – beberapa jenama fesyen, pereka fesyen serta insan-insan berpengaruh dalam industri fesyen sederap melangkah menjulang harakah tersebut. Marc Jacobs, Burberry, Givenchy, Valentino dan beberapa lagi jenama fesyen bersuara dalam menentang rasisme. Termasuklah jenama Celine. Seperti yang dinyatakan awal tadi, barangkali mahu mengikut ‘sampan tunda Black Lives Matter’, tanpa disedari, Celine selama ini tidak pernah memenangkan inclusivity. Lebih-lebih lagi sejurus selepas dipimpin oleh Hedi Slimane yang menjadi pengarah kreatif semenjak dua tahun lalu.

Ada yang beranggapan posting mereka bersempena #BlackOutTuesday pada 2 Jun yang meletakkan gambar kotak segi empat berona hitam siap dengan kata-kata “menentang semua jenis diskriminasi” itu tidak memaksudkan apa-apa. Pabila tindakan mereka dihentam lagi oleh penata gaya selebriti Jason Bolden yang menulis di bawah posting tersebut – “@celine wait really, u guys dnt dress any black celebs unless they have white stylist @celine FACTS” – ia terus mendapat perhatian umum. Tambahan pula, Hedi sendiri pernah menjadi perdebatan industri fesyen sebelum-sebelum ini yang melihat dia sepertikan tidak menyukai model-model berkulit hitam.

tone deaf celine black lives matter

Diet Prada seperti lazim tidak mahu berdiam diri. Mereka mengambil insitiatif ekstra dengan menyusun peratusan model berkulit hitam yang digunakan oleh Hedi sepanjang pertunjukan Celine. Hasil selidik Diet Prada menunjukkan jumlah model-model berkulit hitam sewaktu pertunjukan fesyen Celine yang bermula dari musim bunga panas 2019 sehinggalah musim luruh 2020, tidak melebihi 12 peratus pun. Bryan Boy pun turut menyelar, dengan menunjukkan aksi menggelakkan Celine dan Hedi yang dikatakan tidak nampak cacat cela sendiri. Bryan Boy malah memuat naik video yang memperlihatkan arkib Hedi (Instagram Hedi) yang tidak ada satu pun mencerminkan representasi.

Sampai sekarang tidak ada sebarang komen dalam menjernihkan keadaan atau mengaku kesilapan diri daripada pihak Celine atau Hedi sendiri – seperti pengakuan kesilapan diri yang dilakukan oleh jenama Zimmermann. Sebaliknya, Celine menikus. Bermakna, adakah industri fesyen akan terus berdepan dengan masalah perkauman, seandainya masih ada satu dua jenama fesyen yang tidak mahu mengubah sistem?

What do you think?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

No Comments Yet.

Previous
Strip Lancar Kempen Help Our Heroes #StripSupportsYou
Tone Deaf! Jenama Fesyen Dikutuk Berat Sebelah, Tetapi Memperjuangkan #BLM  🤷‍♂️