UNIQLO SS20 – Bergerak Mengikut Tema Kehidupan Manusia & Alam

Seyojana mata memandang, bak melayang jauh di ‘bingkai jendela’ menyaksikan replika alam semulajadi yang dibangunkan oleh UNIQLO. Terbuai kita dengan grafik ombak bersabung ala alfamosaik yang disaingi bunyi di atas lantai pentas, set hidroponik serta mimik kafe hipster berseni yang menyuasanai pertunjukan UNIQLO SS20. Sesekali mencemburukan, kerana mencungkil rasa seperti mahu mengembara jauh tanpa tuju!

Digenangi interaksi manusia dengan alam semulajadi dan gaya hidup. Menyandiwarakan manusia dan alam bahu-membahu – merencanakan keunggulan komuniti, dengan menyembuhkan alam, lalu mewujudkan wadah yang penuh saksama. Itulah wawasan 2020 UNIQLO LifeWear, untuk mengaitkan perihal himpunannya bukan sahaja bersifat manusiawi, malah berbalik kepada alam. Bagaimana sesebuah ekosistem yang ada hubungan manusia dengan alam bisa memulihara cara hidup untuk jangka masa panjang.

UNIQLO mengembalikan konformis musim bunga panas : yakni rekaan-rekaan lembut, palet rona pun lembut, helaian-helaian asas dan fabrik-fabriknya melambangkan musim bunga panas seperti kapas juga linen. Bermain dengan siluet longgar, santai dan yang bersahaja. Namun tidak meminggir terus sifat inovatif yang signifikan buat UNIQLO. Fasal keselesaan pula? UNIQLO masih memelihara keselesaan sebagai salah satu faktor utama untuk musim bunga panas 2020.

Terbahagi kepada tiga fragmen berbeza-beza, yakni Outdoors, Work & Craft dan Arts & Crafts yang menjadi citra terpenting dalam kehidupan manusia.

OUTDOORS

uniqlo ss20

Dua entiti yang berselisih corak gayanya namun mampu beriringan menerusi rekaan. Outdoors dipengaruhi oleh lanskap semulajadi dan kebandaran, memperlihatkan kefungsian yang bersandarkan panorama kota tersemat sekali bersama persekitaran alam semulajadi. Matlamatnya? Untuk memperbaiki kehidupan. Rangkaian ini memfokus sepenuhnya kepada siluet yang agak rounded shape, rekaan-rekaan yang berkadar saiz besar, kembung dan mengutamakan kemudahan. Ia turut memperkenalkan jaket kalis air serta parka dalam fabrik yang ultra-ringan, menjadikannya senang untuk dilipat dan disimpan di dalam beg kala mengembara.

“Creating new hybrids in innovative performance fabrics,” yang bukan sahaja untuk aktiviti sukan, malah bisa dipakai sebagai gaya rutin hari-hari.

WORK & CRAFT

uniqlo ss20

UNIQLO dan perihal asas ‘bagai kuku dengan isi’. Payah untuk dipisahkan kerana UNIQLO menjadikan perihal asas sebagai sendi. Untuk menghidupkan inspirasi asas, UNIQLO memandang ke dasar yang bertunjangkan tema Work & Craft, di mana tumpuan utamanya adalah berkaitan dengan kefungsian dan memperincikan butiran-butiran. Rangkaian Work & Craft menguji cabaran UNIQLO untuk tidak gentar pada butiran-butiran seperti efek pudar, kedut-kedutan, lisu juga gather yang mencerminkan kepelbagaian gaya dan penuh tenaga.

ARTS & CRAFT

uniqlo ss20

Gerak hati dan gerak minda UNIQLO mengamati dunia Arts & Craft adalah untuk rangkaian rekaannya yang berilhamkan kreativiti bertembung keindahan di balik sesuatu kefungsian. UNIQLO menyalin semula nada gaya minima yang sudah sinonim dengannya, untuk digabung padan dengan bentuk-bentuk bersifat kesenibinaan atau arsitektur (istilah Indonesia). Siluet ‘bersih’, bentuk-bentuk angular dan yang tak makan dek zaman disimbah rona-rona mineral – rona-rona yang tidak menyempadani pilihan gaya manusia, sesuai buat segenap usia, fizikal dan keperibadian.

What do you think?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

No Comments Yet.

Previous
Extra! Extra! Extra! Billy Porter Sebagai Fairy Godmother, Cinderella 2021
UNIQLO SS20 – Bergerak Mengikut Tema Kehidupan Manusia & Alam